Solat Fardu Jumaat Aidilfitri Dibenarkan Di Perak Sepanjang Pkp
Bernama Walau dibenarkan, jemaah ditetapkan tidak boleh melebihi 50 orang di masjid dan surau di seluruh Perak. 

Jabatan Agama Islam Perak  (JAIPk) turut menetapkan menetapkan kehadiran menunaikan solat hanya  dibenarkan kepada warganegara lelaki dan berusia 12 tahun ke atas.     Solat fardu, Jumaat,  jenazah dan sunat Aidilfitri dibenarkan dengan tidak melebihi 50 jemaah  di masjid dan surau di seluruh Perak dalam tempoh perintah kawalan  pergerakan (PKP) bermula hari ini.
Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Mohd Yusop Husin berkata  bilangan jemaah itu juga termasuk pegawai masjid dan jawatankuasa kariah  di masjid dan surau yang boleh memuatkan lebih 1,000 orang.
Beliau berkata kebenaran itu termaktub dalam pekeliling pelaksanaan  aktiviti keagamaan sepanjang tempoh PKP 3.0 yang turut memberi kebenaran  kepada 20 jemaah termasuk pegawai masjid dan jawatankuasa kariah di  masjid dan surau yang boleh memuatkan kurang 1,000 jemaah.
  “Ia  termasuk surau-surau yang diberi kebenaran khas, kawasan kem tentera  dan polis, bangunan pejabat, institusi, politeknik, maktab, sekolah,  syarikat dan kilang,” katanya.
Menurutnya, kuliah juga dibenarkan dalam ruang waktu antara selesai  solat maghrib sementara menantikan masuknya waktu solat isyak.
“Tazkirah tidak melebihi 30 minit kepada jemaah yang berada di dalam  masjid dan surau sementara menanti azan solat Jumaat turut dibenarkan,”  katanya.
JAIPk turut menetapkan kehadiran menunaikan solat hanya dibenarkan kepada warganegara lelaki dan berusia 12 tahun ke atas.
Solat sunat Aidilfitri di Perak juga dibenarkan di kawasan lapang dan  terbuka tidak melebihi 50 orang dengan mematuhi penjarakan fizikal.
Takbir raya pula dibenarkan di masjid dan surau namun takbir dari rumah ke rumah serta ziarah kubur tidak dibenarkan.
Semalam, Sultan Perak Nazrin Shah dilapor membatalkan hasrat beliau  untuk berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Ubudiah dan  mengadakan jamuan hari raya di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada  hari pertama Syawal.
  Yang  Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Mohd Annuar  Zaini dalam kenyataan semalam berkata masjid dan surau dibenarkan  mengadakan solat sunat Aidilfitri dengan had jemaah seperti yang  ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.
Bagaimanapun katanya, Sultan Nazrin tidak membenarkan jamuan diadakan  di masjid, surau dan kawasan lapang terbuka selepas solat sunat  Aidilfitri.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/05/solat-fardu-jumaat-aidilfitri.html