Pkp Diperketatkan Di 7 Kampung Di Hulu Langat
MALAYSIAKINI    Kerajaan  mengumumkan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di  beberapa kawasan di Hulu Langat selepas sebahagian besar penghuni sebuah  sekolah agama dijangkiti Covid-19.
Menteri Pertahanan, Ismail  Sabri Yaakob berkata, PKPD akan dikuatkuasakan di kawasan Batu 21 hingga  Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat.
Ini selepas Kementerian  Kesihatan mengesahkan terdapat 71 kes positif Covid-19 daripada 274  penghuni Maahad Tahfiz AnNabawiyyah di Batu 23 Sungai Lui.
"Mengambil  kira jumlah kes yang tinggi di sekolah tersebut, kerajaan atas nasihat  Menteri Kesihatan telah memutuskan untuk melaksanakan perintah kawalan  pergerakan diperketatkan di kawasan berkenaan," katanya dalam satu  kenyataan hari ini.
Menurut Ismail, penguatkuasaan PKPD berkenaan melibatkan 3,918 orang penduduk merangkumi 700 buah rumah.
"Ini termasuk tujuh (7) kampung iaitu dua (2) perkampungan Orang Asli dan lima (5) perkampungan Melayu.
"Perintah ini akan berkuatkuasa mulai tengah malam ini, 30 Mac 2020 hingga 13 April 2020," katanya.
Ini merupakan arahan kedua selepas dua kampung di Simpang Renggam dan Kluang dikenakan PKPD pada 26 Mac lalu.
Menurut  Ismail, dengan pelaksanaan perintah ini, semua penduduk dan pelawat  yang telah berada di kawasan tersebut tidak dibenarkan keluar rumah  sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan.
"Bukan penduduk dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke kawasan tersebut sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan.
"Semua  aktiviti perniagaan dihentikan. Makanan asas yang mencukupi untuk  tempoh 14 hari akan dibekalkan kepada semua penduduk oleh Jabatan  Kebajikan Masyarakat," jelasnya.
Tambahnya lagi, Pangkalan  Perubatan (Medical Base) akan dibuka di kawasan PKPD, manakala semua  laluan keluar masuk kawasan PKPD ditutup.
"Bagi memastikan  pematuhan perintah ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera  Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan  Sukarelawan Malaysia (RELA) akan mengawal seluruh kawasan," katanya.
Ismail  meminta semua penduduk bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya  kepada petugas-petugas dari KKM serta mematuhi semua arahan pihak  berkuasa
"Penduduk yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian khas 03-89254809 / 03-89114200.
Sejak  PKP dilaksanakan di seluruh negara, semua perniagaan dan perkhidmatan  tidak penting diarahkan ditutup dan orang ramai tidak digalakkan  meninggalkan rumah kecuali atas sebab penting seperti mendapatkan  bekalan makanan.
PKP yang pada mulanya ditetapkan berakhir pada 31 Mac, dilanjutkan sehingga 14 April.
Bagaimanapun, di bawah PKPD, sekatan penuh dikenakan terhadap pergerakan penduduk dan semua perniagaan perlu menutup.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/03/pkp-diperketatkan-di-7-kampung-di-hulu.html