Penipuan Forex Datuk Antara Ditahan 5 Kilo Emas Dirampas
                                Oleh UtusanTV                                                                                                                                                                                                                                             

Mohd  Kamarudin Md Din menunjukkan sebahagian rampasan daripada sindiket  penipuan yang berselindung dengan nama Pelaburan Forex GCG Asia pada  sidang media di Bukit Aman hari ini. Gambar FB JSJK Bukit Aman             POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menahan 10 individu, termasuk seorang  bergelar “Datuk”, yang disyaki terlibat dalam skim penipuan pelaburan  forex di sekitar Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Johor, Sabtu  lepas.
      Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Mohd  Kamarudin Md Din berkata mereka terdiri daripada sembilan lelaki dan  seorang wanita berusia dari 29 hingga 64 tahun.
   Beliau berkata, pihaknya turut merampas pelbagai barang antaranya  sembilan kenderaan mewah, 64 jam tangan dan lima jongkong emas seberat  lima kilogram, dianggarkan bernilai hampir RM127 juta.
          “Sindiket ini dikenali sebagai Pelaburan Forex GCG Asia dan aktif  sejak 2018 dan kesemua suspek berperanan sebagai broker, ejen pencari  pelabur, pengurus kewangan dan pemilik akaun.
   “Sindiket ini menyasarkan warga tempatan sebagai mangsa dan mereka  mempromosikan pelaburan berasaskan forex dengan kadar pulangan secara  mingguan antara 12 hingga 14 peratus daripada jumlah modal yang  dilaburkan,” katanya dalam satu sidang media khas di Bukit Aman hari  ini.
   Mohd Kamarudin berkata sindiket berkenaan memberitahu para pelabur  mereka bahawa wang pelaburan akan dilaburkan oleh syarikat GCG Asia  dalam pelbagai medium untuk menjana keuntungan yang besar.
   Menurutnya, pelabur akan diberi pautan laman sesawang pelaburan  bersama dengan kata laluan dan akan dapat melihat jumlah keuntungan yang  diterima namun keuntungan tersebut tidak dapat dipindahkan atau  ditunaikan.
   “Sindiket ini kemudian akan memutuskan perhubungan komunikasi dengan  pelabur setelah mendapat jumlah pelaburan besar dan memberhentikan  operasi skim pelaburan berkenaan secara tiba-tiba. Pelabur yang tidak  berpuas hati akan merasa diperdaya kerana tidak mendapat pulangan  keuntungan yang dijanjikan.
   Sehingga kini, sejumlah 23 kes sedang disiasat berkait penipuan  Pelaburan Forex GCG Asia melibatkan kerugian berjumlah RM2.9 juta,”  katanya.
   Beliau berkata sembilan daripada suspek direman sehingga hari ini  manakala seorang lagi direman semalam dan permohonan untuk melanjutkan  reman mereka sedang dilakukan.
   Empat daripada suspek juga didapati mempunyai rekod jenayah dalam kes penipuan.
   Kamarudin berkata, hasil siasatan setakat ini, tiada sebarang orang kenamaan (VIP) yang terlibat dengan sindiket ini.
   “Dalang berusia 40 tahun bergelar ‘Datuk’ yang menamakan dirinya  sebagai ‘Datuk Seri’ dalam modus operandi mereka. Beliau juga mempunyai  latar belakang pendidikan ijazah sarjana dalam bidang ‘Business  Administration’ (Pentadbiran Perniagaan),” katanya.
   Beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak  mudah percaya dengan iklan-iklan promosi pelaburan di media sosial  seperti Facebook, WhatsApp, WeChat dan sebagainya.
   Katanya orang awam perlu membuat semakan terhadap status skim  pelaburan dan syarikat yang menawarkan pelaburan tersebut sama ada  dilesenkan oleh pihak Bank Negara Malaysia atau tidak dalam menjalankan  aktiviti pelaburan.
   “Membuat pengesahan akaun, dan talian telefon terlebih dahulu melalui  laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ untuk mengenal pasti  sama ada akaun tersebut pernah terlibat dalam kes penipuan ataupun tidak  sebelum membuat sebarang transaksi bayaran.
   Sila laporkan kepada CCID Scam Response Center di talian 03-26101559  atau 03-26101599 jika mempunyai apa-apa maklumat berkenaan sindiket  penipuan yang terdapat di media sosial,” katanya.— BERNAMA
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://dialograkyat.blogspot.com/2022/01/penipuan-forex-datuk-antara-ditahan-5.html