Pengkhianat Itu Zahid Bukan Ismail Sabri Penganalisis
KUALA LUMPUR: Tidak wajar untuk Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu mengenakan tindakan ke atas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di atas tuduhan melanggar mana-mana peraturan yang terdapat dalam UMNO.
Penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Kartini Aboo Talib berkata, Presiden UMNO itu juga tidak boleh melabel Naib Presiden parti itu sebagai pengkhianat hanya kerana menentang keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan tampil berdiri bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam sidang media baru-baru ini.
Jelasnya, tindakan Ismail Sabri adalah kerana kepatuhan kepada tugas dan tanggungjawab yang diberikan kerajaan dan adalah tepat sebagai Timbalan Perdana Menteri.
"Ahmad Zahid harus membezakan antara keperluan tugas-tugas Jemaah Menteri berbanding parti. Jika beliau sendiri tidak berupaya membezakan tanggungjawab ini, itu petanda Ahmad Zahid harus meletakkan jawatan kerana tidak lagi peka dan tidak sihat dalam membuat keputusan kerana dipengaruhi emosi.
"Dalam hal ini, isunya bukan Ismail Sabri khianati parti, sebaliknya Ahmad Zahid yang jelas mengkhianati parti dan membelakangkan ahli UMNO apabila bersekongkol dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PKR," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Dalam pada itu, Kartini berkata, Ahmad Zahid kini seolah-olah menjadi diktator yang cuba mengarah apa yang perlu ahli buat dan turuti.
Justeru, katanya, taat setia dan rasa hormat ahli UMNO kepada Presiden tidak perlu membuta-tuli kerana jelas dalam situasi politik ketika ini, kepimpinan Presiden dipertikai dari segi dedikasi dan kewibawaan setelah beberapa siri kesalahan melibatkan integriti terhadap UMNO dan ahli-ahli UMNO.
Katanya, Ahmad Zahid sebaik-baiknya meletakkan jawatan secara terhormat, tidak perlu mendabik dada menegakkan benang yang basah dan berterusan bersekongkol dengan Pakatan Harapan untuk menjatuhkan kerajaan memandangkan usaha ini adalah sia-sia.
"Jika benar perjuangan Ahmad Zahid selama ini untuk bangsa, agama dan negara, maka beliau perlu dengan secara terhormat melepaskan jawatan Presiden UMNO, menumpukan tenaga dan usaha menjawab kes mahkamah beliau.
"Saya memuji Muhyiddin dan kerajaan kerana benar-benar mahu mengembalikan keluhuran separation of power dengan tidak campur tangan dalam urusan kehakiman dan keadilan," katanya.
Sebelum ini, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, Ismail Sabri berdepan akibat dari tindakannya menentang keputusan MKT dan menyerahkan kepada Lembaga Disiplin UMNO untuk mengenakan tindakan ke atas beliau berpandukan Perlembagaan parti.
Ahmad Zahid turut mendakwa, Ismail Sabri pada mulanya bersetuju untuk akur kepada keputusan parti untuk menarik sokongan daripada Perikatan Nasional (PN), malah memberitahu ahli MKT yang beliau akan menuruti segala keputusan parti.
Bagaimanapun, dalam perutusan khas Muhyiddin sebelum ini, Ismail Sabri berdiri di belakang Muhyiddin ketika Perdana Menteri menyatakan bahawa beliau masih mempunyai majoriti dan kekal memegang jawatan itu.
Sebelum ini, Penganalisis Politik dan Geostrategis Azmi Hassan berkata, adalah "amat janggal" bagi UMNO menasihatkan ahli parlimennya dan menteri serta timbalan menteri daripada parti itu untuk menarik sokongan kepada Muhyiddin dan Kerajaan PN.
Jelasnya, ini adalah kerana sebilangan menteri UMNO memegang portfolio penting dan penarikan sokongan mereka boleh menjejaskan program pemvaksinan kebangsaan seperti yang dipertanggungjawabkan kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba lapor AstroAwani
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.anaksungaiderhaka.com/2021/08/zahid-itu-pengkhianat-parti-bukan.html