Pengerusi Kuil Ditahan Bantu Siasatan Video Tular Ugutan Jenayah
 Bernama

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang pengerusi persatuan pengurusan  kuil bagi membantu siasatan ugutan jenayah terhadap bekas pengerusi  persatuan kuil itu dan isterinya di tempat letak kereta awam di Petaling  Jaya, susulan rakaman video kejadian tular di media sosial.
Ketua Polis Petaling Jaya, Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata dia yang  berusia 41 tahun itu ditahan di Sea Park pada kira-kira 3 pagi Rabu, dan  polis turut merampas 2 pistol bersama 15 butir peluru yang ditemui di  pejabatnya di Balakong, Cheras pada hari sama.
Terdahulu, polis menerima laporan daripada seorang wanita mendakwa  seorang lelaki dikenali melakukan ugutan terhadap suami dan dirinya  dalam kejadian pada kira-kira 5.30 petang, Selasa lepas.
“Siasatan awal mendapati berlaku perselisihan faham antara suspek  yang merupakan pengerusi baharu dengan suami wanita itu yang merupakan  pengerusi terdahulu persatuan berkenaan. Perselisihan faham itu mengenai  perebutan kuasa dalam pengurusan kuil di kawasan Sea Park,” katanya  dalam kenyataan hari ini.
Selain laporan ugutan itu, terdahulu suami wanita itu pula membuat 2  laporan polis berhubung perebutan kuasa di Balai Polis Sea Park pada 13  Ogos.
Semakan mendapati dia mempunyai lesen senjata api sah yang dikeluarkan IPD Kajang.
Dia direman selama sehari untuk disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun  Keseksaan dan dibebaskan dengan jaminan polis kerana tempoh reman  diperolehi sudah tamat.
“2 pistol dirampas pula masih dalam simpanan polis,” katanya.
Nik Ezanee turut mencadangkan kelulusan lesen senjata apinya dikaji semula demi kepentingan dan keselamatan awam.
Terdahulu, tular rakaman seorang lelaki bertengkar dengan pasangan  suami isteri di tempat letak kereta awam, dan dikatakan berlaku ugutan  yang menimbulkan ketakutan kepada pasangan itu.
Polis masih meneruskan siasatan ke atas kedua-dua pihak bertelagah  bagi meneliti pembabitan “Geng 21” dan “Geng 04″ dalam pertelingkahan  itu.
“Jika terbukti, tindakan pencegahan akan menyusul. Kami akan  melengkapkan kertas siasatan dan merujuknya kepada pihak pendakwa raya  dalam tempoh terdekat,” katanya.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/08/pengerusi-kuil-ditahan-bantu-siasatan.html