Pengertian Dua Kalimah Syahadah
Bermula makna dua kalimah syahadah secara keseluruhan ialah “aku mengiktiraf dengan lisanku dan aku beriktikad dan aku patuh dengan hatiku sungguhnya yang disembah dengan sebenarnya ialah Allah Taala sahaja”.
Dan makna syahadah ‘Muhammad Rasulullah’ ialah “aku mengiktiraf dengan lisanku dan aku beriktikad dan aku patuh dengan hatiku sesungguhnya Sayyidina Muhammad saw telah diutus dari sisi Allah kepada sekalian alam daripada manusia dan jin. Benar ia pada sekalian yang ia sampaikan daripada Allah Taala supaya beriman dengan syariat-Nya dan supaya mengikut akan dia”.
Yang dikehendaki dengan dua kalimah syahadah itu ialah menafikan ketuhanan dari segalanya selain Allah dan hanya mensabitkan ketuhanan itu bagi Allah Taala serta berikrar dengan kerasulan Sayyidina Muhammad saw.
Firman Allah Taala:
وَمَن لَّمْ يُؤْمِن بِاللهِ وَرَسُولِهِ فَإِنَّا أَعْتَدْنَا لِلْكَافِرِينَ سَعِيرًا
“Dan barangsiapa yang tidak beriman dengan Allah dan rasul-Nya maka kami telah sediakan bagi orang-orang yang kafir itu akan api neraka.” (Al-Fatah: 13)
Maka ayat ini jelas pada mengkafirkan orang yang tidak beriman dengan Nabi Muhammad saw. Maka barangsiapa membantah pada perkara ini nescaya jadilah dia sungguh telah menentang Al-Quran dan siapa yang menentang Al-Quran maka telah kafir ia.
Telah ijma’ oleh para ulama’ Islam atas mengkafirkan orang yang beragama dengan agama selain Islam dan juga orang yang tidak mengkafirkannya atau syak ia atau tawaquf ia seperti ia berkata aku tidak mengatakan orang itu kafir atau tidak kafir.
Hendaklah kamu ketahui dengan yakin sungguhnya tidak sah iman dan Islam dan tidak diterima segala amal soleh dengan ketiadaan dua kalimah syahadah dengan lafaz “Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan bahawa Nabi Muhammad pesuruh Allah” atau ucapan yang semakna dengan keduanya sekalipun dengan selain bahasa arab.
Dan memadai bagi mengesahkan Islam dengan melafazkan syahadah sekali seumur hidup dan kekal wajib mengucapkannya pada setiap kali sembahyang bagi mengesahkan sembahyang. Syarat ini ialah untuk orang yang tidak berada dalam agama Islam kemudian menghendaki masuk ke dalam agama Islam.
Adapun orang yang telah beragama Islam dan adalah ia mengiktikadkan akan dua syahadah ini maka tidak disyaratkan pada haknya bertutur dengan keduanya bahkan ia adalah Muslim sekalipun tidak menuturkannya.
Rasulullah saw telah bersabda:
قالَ الله تَعالى: وما تقرَّبَ إليَّ عبدي بشىءٍ أحبَّ إليَّ مما افتَرضتُ عليه
“Firman Allah: Tiadalah hamba-Ku mendekatkan diri kepada-Ku dengan suatu yang lebih Aku kasih daripada yang telah Aku fardhukan ke atasnya.” [Hadith Qudsi Riwayat Bukhari]
Dan kefardhuan yang paling afdhal dan paling awal ialah beriman dengan Allah dan Rasul-Nya. Dan bermula iktikad bahawa tiada Tuhan selain Allah tidaklah memadai jika tidak disertakan iktikad bahawa Nabi Muhammad itu Rasulullah.
Firman Allah Taala:
قُلْ أَطِيعُواْ اللهَ وَالرَّسُولَ فإِن تَوَلَّوْاْ فَإِنَّ اللهَ لاَ يُحِبُّ الْكَافِرِينَ
“Katakanlah taatlah kamu sekalian akan Allah dan Rasul-Nya. Maka jika kamu enggan dan berpaling maka sungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang kafir.” (Ali-Imran: 32)
Ertinya Allah tidak menyukai orang yang berpaling dari iman kepada Allah dan Rasul kerana kekafiran mereka. Dan yang dikehendaki dengan taat Allah dan Rasul dalam ayat ini ialah beriman akan keduanya. Maka ini menjadi dalil atas siapa yang tidak beriman akan Allah dan Rasul-Nya Nabi Muhammad saw maka dia adalah kafir dan sesungguhnya Allah tidak menyukainya kerana kekufurannya itu.
Maka barangsiapa yang mengatakan Allah kasih akan orang mukmin dan orang kafir kerana Allah yang menjadikan kesemuanya maka dia telah mendustakan akan Al-Quran. Maka dikatakan kepadanya memang Allah yang menjadikan kesemuanya tetapi Allah tidak mengasihi akan kesemuanya.
Rujukan: Kitab Siratul Mustaqim | Al’-Allamah Syeikh Harari
+ Ustaz Azhar Idrus
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Oh! Makan
Sumber: Oh! Media
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.terengganu11.com/2019/07/pengertian-dua-kalimah-syahadah.html