Pengaruh Kuat Faktor Parti Cina Berlumba Bodek Dong Zong
tyrazalhe Haram pertubuhan radikal kerana halang integrasi nasional

BANGI – Kekuatan Dong Jiao Zong (DJZ) menyatukan pengundi Cina untuk mengundi  parti tertentu, antara faktor pimpinan politik dalam kerajaan atau  pembangkang berlumba-lumba membela pertubuhan antinasional itu.
Ahli  Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata, pengaruh DJZ itu  adalah faktor menentukan corak pengundian kaum Cina dalam sesuatu  pilihan raya umum.
Beliau  yakin, pengaruh besar DJZ, selain dua pihak lain menjadi penyumbang  kepada kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14  (PRU-14) lalu, berdasarkan pola pengundian kaum Cina.
“Dalam PRU-14 yang lalu, kesimpulan yang boleh dibuat secara puratanya hampir 92 peratus pengundi Cina mengundi PH. 
“Dengan  sokongan padu pengundi Cina ini, DAP dan parti-parti sahabatnya menang  besar. Manakala, MCA tinggal hanya satu kerusi,” katanya dalam  kenyataan, hari ini.
Sebelum  ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memuktamadkan kandungan  pelajaran tiga halaman tulisan jawi yang hanya memberi tumpuan terhadap  teks pada lambang negara, ringgit Malaysia dan setem.
Secara  keseluruhannya, terdapat empat teks jawi yang berbunyi: ‘Bersekutu  Bertambah Mutu’ dalam jata negara, ‘Bank Negara Malaysia’ dan ‘Ringgit  Malaysia’ pada nota ringgit serta ‘Malaysia’ pada setem.
Namun, DJZ  dilihat memberikan reaksi melampau dalam menentangnya sehingga  merancang untuk mengheret kerajaan ke mahkamah mengenai pembelajaran  itu.
Walaupun  kemarahan pelbagai pihak, termasuk Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir  Mohamad terhadap pertubuhan ultra perkauman itu, Dr Mohd Zuhdi berkata,  DJZ dilihat cukup kebal dan semakin berani menzahirkan sikap  antinasional mereka.
“Oleh  sebab itu, apabila PH membentuk kerajaan, Dong Zong telah mula membuat  tuntutan-tuntutan yang bersifat antinasional termasuklah yang terbaru  isu tulisan jawi dalam pembelajaran Bahasa Melayu. 
“Disebabkan  pengaruh pertubuhan ini sangat besar terhadap kemenangan PH, biarpun  ada beberapa pimpinan PH merungut terhadap sikap ultra perkauman Dong  Zong, pertubuhan ini tetap kebal dari sebarang tindakan,” katanya.
Beliau  berkata, tidak mengejutkan apabila parti-parti pembangkang Cina juga  mengambil kesempatan untuk ‘membodek’ DJZ kerana masih menaruh harapan  supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pertubuhan itu akan berpihak kepada mereka.
“Jika  kitaran seperti ini berterusan, Dong Zong akan berterusan menjadi faktor  yang menghalang integrasi nasional dan ketegangan kaum tidak akan  selesai, justeru ia wajar diharamkan,” katanya.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/12/pengaruh-kuat-faktor-parti-cina.html