Penerangan Tentang Ismail Sabri
Zulqarnain Lokman
Ramai orang tidak puas hati kenapa DS Ismail Sabri tidak didakwa di Mahkamah. Baru-baru ini Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Adlan Adam Muhammad juga telah dilepaskan daripada 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram. Lebih awal sebelum ini, DS Ahmad Maslan pernah dikenakan kompaun pada Oktober 2019 tetapi dia memilih untuk dibicarakan di Mahkamah. Kemudian, dia didakwa dengan dua pendakwaan di bawah Seksyen 4(1) dan Seksyen 32(8)(c) AMLATFPUAA 2001 pada 20 Januari 2020 dan telah mengaku tidak bersalah. Semasa tempoh perbicaraan dijalankan, beliau telah mengemukakan representasi dan bersetuju semula untuk membayar kompaun tersebut sebanyak RM1.1 juta.




Ada orang yang tidak puas hati dengan keadaan sebegini dan menyatakan adakah selepas seseorang itu menyakau duit rasuah dan selepas itu boleh dibebaskan begitu sahaja.
Pandangan ini bukan sahaja berlegar di kalangan orang kebanyakan bahkan ada Ahli Parlimen yang sepatutnya lebih faham undang-undang (kerana mereka penggubal undang-undang) pun menyoal perkara yang sama. Contohnya, YB Rafizi Ramli menyindir hal ini dan menyatakan 'bisnes rasuah adalah paling untung.'
Isu ini pernah dijelaskan oleh Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram SPRM, Mohamad Zamri Zainul Abidin.
https://www.sprm.gov.my/index.php?id=21&page_id=103&contentid=2105&cat=BKH
Katanya, orang sering salah faham mengenai penggunaan kompaun sebagai strategi pemulihan aset. Dalam pemikiran biasa, seseorang yang telah didapati bersalah melakukan pengubahan wang haram perlu dihukum dengan hukuman penjara, denda yang tinggi serta pemulihan keseluruhan aset yang dicuri.
Namun, realitinya jauh berbeza. Pemulihan wang haram menjadi lebih rumit disebabkan perubahan modus operandi penjenayah yang beroperasi dalam sindiket dan mengubah hasil pendapatan haram mereka melalui syarikat yang didaftar secara sah dengan wakil serta penama sebagai topeng untuk menyembunyikan harta mereka.
Ini menjadikan rasuah telah berubah dari ‘duit kopi’ kepada rasuah ‘di bawah meja’ kemudian gratifikasi ‘melangkaui meja’ sehingga menjadi transaksi kewangan rentas sempadan yang bertambah kompleks. Selalunya, ia dilakukan melalui transaksi kewangan yang kelihatan sah sementara hasil pendapatan haram dibelanjakan atau digunakan untuk tujuan sah atau haram bagi meningkatkan lagi hasil pendapatan. Ia juga boleh diderma kepada pertubuhan amal atau dijadikan sebagai bayaran untuk perkhidmatan atau pembelian yang sah ataupun bagi tujuan pembiayaan politik.
Kerumitan dan kecairan pengubahan wang haram ini menjadikan proses pemulihan aset lebih mencabar. Oleh itu, Akta Pengubahan Wang Haram, AMLATFPUAA 2001 telah memberikan mekanisme bagi pemulihan aset. Intipati atau semangat Akta Pengubahan Wang Haram yang berbeza daripada Akta-Akta lain.
Ia berbeza dari segi semangat Kanun Keseksaan yang digunakan untuk mendakwa dan menjatuhkan hukuman setimpal bagi mencegah penjenayah baharu.
Kesalahan kompaun sama sekali tidak menyatakan bahawa tertuduh itu tidak bersalah. Ia merupakan tindakan punitif dan tindakan membayar kompaun tersebut merupakan satu pengakuan kesalahan. Strategi ini menjimatkan kos dan masa mahkamah dengan pemulihan sebahagian aset yang dipertikaikan tanpa perlu melalui proses mahkamah yang panjang. Namun, jika tertuduh gagal membayar kompaun tersebut, dia boleh didakwa dalam perbicaraan penuh dalam mahkamah.
Mengikut Seksyen 92(1) AMLATFPUAA 2001, pihak berkuasa atau agensi penguat kuasa berkaitan, boleh dengan keizinan pendakwa raya, mengkompaun mana-mana kesalahan mengikut akta itu dengan menerima daripada orang yang disyaki secara munasabah telah melakukan kesalahan itu, apa-apa jumlah yang tidak melebihi 50% daripada jumlah denda maksimum bagi kesalahan itu.
*KESIMPULAN*
Jadi bagaimana pandangan tuan/puan. Adakah bersetuju dengan tindakan kompaun sebagai penebus kesalahan atau mahukan orang-orang ini terus didakwa dan dibicarakan.
Jika kompaun dibayar maka pertuduhan boleh ditarik balik atau dalam kes DS Ismail Sabri ini langsung tidak dituduh. Atau kita mahu satu proses yang panjang daripada Mahkamah Tinggi kemudian rayu ke Mahkamah Rayuan dan kemudian rayu ke Mahkamah Persekutuan. Dan juga SPRM mungkin berisiko kalah kes jika berlaku sesuatu perkara terhadap keterangan-keterangan itu.
Jika kita kata biarlah orang politik sahaja dibicarakan dan orang biasa dikompaun ini pula bertentangan dengan hak kesamarataan. Undang-undang tidak boleh pilih kasih. Setiap orang perlu menerima kesan yang sama terhadap undang-undang.
Satu lagi salah faham adalah orang buat perbandingan curi 1 tin milo daripada supermarket kena penjara tetapi sakau duit juta-juta boleh bayar. Ini adalah perbandingan pak pandir sebab yang curi tin milo itu tidak dituduh di bawah AMLATFPUAA sebab itu dia tidak dikompaun.
Sebenarnya perbandingan yang lebih adil adalah berkaitan kesalahan trafik. Contohnya, jika kita melanggar lampu merah dan ditahan oleh polis maka polis boleh mengeluarkan notis kompaun dan jika ingkar bayar maka pemandu tadi diberikan pilihan untuk pergi ke Mahkamah.
Jadi sebenarnya kita perlu lihat keutamaan sama ada ingin wang yang digubah secara haram itu dikembalikan kepada negara atau kita mahu pelaku itu dipenjarakan (dan mungkin dibebaskan jika kes ada kelemahan) dan wang itu hilang begitu sahaja sementara hendak tunggu habis perbicaraan.
Satu hal lagi adalah teguran kepada SPRM. Jika ada kes-kes berprofil tinggi yang dikenakan kompaun sebaiknya SPRM mengeluarkan satu kenyataan media supaya orang ramai faham tindakan tersebut dengan lebih jelas dan tidak hanya berharap kepada maklumat medsos semata-mata.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2025/09/penerangan-tentang-ismail-sabri.html