Pemuda Pas Yakin Hadi Tak Bohong Walau Tiada Dalam Pertemuan
Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari berkata keputusan muktamad mengenai kerjasama politik parti itu dicapai selepas mesyuarat empat jam setelah pertemuan dengan Umno.PETALING JAYA: Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari yakin presidennya Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man bercakap benar mengenai butiran perbincangan pada pertemuan dengan Umno.
Mengakui dirinya tidak terlibat dalam perbincangan tersebut, Fadhli berkata segala butiran perbincangan telah dimaklumkan kepada ahli Jawatankuasa Harian PAS, sebaik sahaja pertemuan berakhir.
“Untuk pertemuan 12 Okt lalu, hanya empat pemimpin sahaja yang terlibat dalam perbincangan, iaitu Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya Mohamad Hassan bersama presiden dan timbalan presiden PAS.
“Ditularkan gambar tujuh orang hadir, sedangkan gambar di meja makan tersebut adalah ketika tetamu sampai. Selepas duduk berbual sekitar sepuluh minit, tiga orang yang lain pun beredar. Kekanda saya Asyraf juga berada di luar sepanjang perbincangan,” katanya di Facebook.
Penyandang kerusi Parlimen Pasir Mas itu berkata, kehadiran Hadi dalam pertemuan itu adalah “untuk menyelami hati budi Umno” serta mendengar syarat-syarat yang dikemukakan Zahid manakala Tuan Ibrahim hadir sebagai saksi pertemuan, dan mencatit butiran perbincangan.
Katanya, beliau tidak perlu mendedahkan syarat dikemukakan namun Hadi diberikan tempoh singkat iaitu Jumaat 14 Okt untuk memuktamadkan keputusan.
“Esoknya Khamis 13 Okt, mesyuarat PAS Pusat. Penuh bilik mesyuarat walaupun hari bekerja. Tidak timbul soal kerusi, tidak timbul soal perdana menteri.
“Yang dimusyarawahkan adalah soal hukum, apakah masalahnya, apakah mudaratnya. Yang timbul adalah soal nasib, bukan nasib kerusi dan pimpinan (siapa kena charge (dakwa) esok, siapa kena charge (dakwa) lusa, tetapi nasib agama, bangsa, dan negara,” katanya.
Fadhli berkata, keputusan muktamad mengenai kerjasama politik PAS dicapai selepas mesyuarat selama empat jam itu iaitu persetujuan untuk mengukuhkan PN bagi menghadapi pilihan raya umum-15 (PRU15) dengan penyatuan ummah yang terbuka tetap diteruskan.
Justeru, beliau berharap supaya fakta yang dikemukakan itu dapat menjernihkan kekeruhan yang berlaku antara kedua-dua parti berkenaan.
Terdahulu, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki dalam hantaran di Facebook mendakwa, PAS membuat penegasan jika bersama PN, Bersatu menjanjikan 47 kerusi boleh menang kepada parti itu.
“Namun bagi Umno, perundingan untuk kembali mengukuhkan MN (Muafakat Nasional) kali ini lebih besar daripada sekadar perkiraan untung rugi kerusi-kerusi yang bakal dikongsikan bagi menghadapi PRU15,” katanya.
Tuan Ibrahim menyifatkan Asyraf sebagai “merapu” susulan dakwaan PAS bersama Perikatan Nasional (PN) kerana ditawarkan 47 kerusi boleh menang oleh Bersatu.
Katanya, masalah utama bukan berkisar jumlah kerusi kerana tidak diperincikan dalam pertemuan berkenaan. - FMT
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2022/10/pemuda-pas-yakin-hadi-tak-bohong-walau.html