Pemikiran Kritis Melahirkan Puisi
APAKAH PEMIKIRAN KRITIS?
Puisi yang baik bermula dengan munculnya sesuatu pemikiran yang kritis. Pemikiran ini kemudian diolah menjadi isi puisi. Seperti yang telah dinyatakan, Isi adalah apa yang disampaikan melalui puisi yang berupa mesej, amanat dan pemikiran. Puisi tidak boleh ditulis andainya tidak ditetapkan apa yang sebenarnya hendak disampaikan. Setelah menyentuh tentang penggunaan bahasa, perbicaraan seterusnya akan menjurus kepada Isi.
Sebuah sajak yang baik terdiri dari Isi yang besar dan penting yang diolah dalam bahasa dan gaya yang yang indah. Seorang penyair yang baik mengemukakan atau mendebatkan satu pemikiran baharu.
Ada juga yang berkata bahawa dia menulis puisi hanya untuk suka-suka sahaja dan sebenarnya tiada apa-apa yang dimaksudkan. Ini bertentangan dengan prinsip penciptaan karya sastera kerana setiap yang bernama karya sastera mesti dicipta dengan tujuan dan faedahnya. Tanpa isi yang baik, apa yang dikarang akan hanya menjadi permainan kata-kata yang kosong .
Apakah Pemikiran Kritis?
Yang dikategorikan sebagai Pemikiran Kritis, memiliki ciri-ciri berikut:
1. Pemikiran yang baharu dan belum dikemukakan di dalam puisi sebelum ini
2. Menyimpang atau bercanggah daripada pendapat umum yang diterima dan digunapakai selama ini
3. Fikiran baharu ini mestilah lebih bernas dan lebih relevan, misalnya dengan pandangan-pandangan umum tentang isu semasa.
Untuk memberi contoh dikemukakan beberapa buah sajak
Jebat yang Tidak Jadi Menderhaka
Pak Kaduk Di Gelanggang Raja
Pak Pandir.
Jujur Seorang Hamba.
Jebat Tidak Jadi MenderhakaSajak Jebat yang tidak jadi menderhaka ditulis untuk mengemukakan satu persoalan, iaitu andainya Jebat tidak menderhaka adakah Hang Tuah akan menduduki tempatnya seperti pada hari ini.
Jika Jebat tidak jadi menderhaka tentu Sultan tidak perlu memanggil Tuah pulang ke Melaka. Andainya Jebat tidak jadi menderhaka dan Tuah tidak pulang ke Melaka adakah dia akan mati di hutan dan dilupakan begitu sahaja? Tetapi Jebat telah menderhaka dan pertikaman antara Tuah dan Jebat yang masyhur itu telah berlaku. Tuah dikenali hari ini dan puncanya ialah kerana Jebat telah menderhaka.
Jebat yang Tidak Jadi Menderhaka
Sepanjang hidupnya Jebat
mendengar Tuah berkata:
pantang Melayu menderhaka.
Kata-kata itu diulang-ulang
pantang Melayu menderhaka
pantang Melayu menderhaka.
Tuah mengajar mereka menghafalnya
Tuah meminta mereka berjanji
untuk mentaati.
Sehinggalah pada hari itu
Tuah dihukum tanpa usul periksa
Tuah yang setia dituduh menderhaka
Tuah yang dikasihi dihukum mati
siapakah yang dapat berdiam diri.
Dengan marah yang menggelegak
Jebat mahu memberontak
tetapi dia tergamam
terbayang wajah Tuah
bersungguh-sungguh meminta
agar tidak menderhaka
kata-kata orang yang disayang
memang selalu dikenang
amanat orang yang disayang
akan tetap dipegang
jika Jebat menderhaka
akan tercemar persaudaraan mereka.
Kerana kasihnya kepada Tuah
Jebat tidak jadi membantah
dia pun tunduk
menerima segala tugas dan anugerah
yang telah dilucutkan daripada Tuah.
Tidak ada apa-apa
yang berlaku di Melaka
kerana Jebat tidak jadi menderhaka
tidak ada apa-apa yang mengganggu
ketika raja lena beradu
didodoi dayang diulit lagu.
Kerana Jebat tidak menderhaka
Tuah tidak dijemput pulang ke Melaka
hiduplah dia di hutan
sehingga mati dan dilupakan.
Selain bahan Sastera sejarah dan lagenda, cerita jenaka juga mendatangkan pemikiran kritis untuk menghasilkan karya. Sebagai contoh ialah cerita Pak Pandir. Pak Pandir dikatakan manusia yang bodoh pada zaman dahulu. Sudah sekian lama kita mentertawakan kebodohannya. Namun begitu pada hari ini ramai yang mengulangi kesilapan dan kebodohan Pak Pandir. Misalnya pada suatu hari Pak Pandir dan Mak Andeh hendak membuat kenduri arwah setelah kematian anak mereka akibat dimandikan dengan air mendidih. Mak Andeh menyuruh Pak Pandir menjemput Pak Lebai untuk membaca doa. Kata Mak Andeh, Pak Lebai orang alim, warak, doanya cepat dimakbulkan oleh Allah SWT.Pak Pandir tidak mengenal yang mana satukah yang dikatakan lebai. Mak Andeh memberi panduan yang pak lebai itu berjanggut. Pak Pandir terjumpa seekor kambing yang berjanggut lalu Pak Pandir menyangka kambing itulah pak lebai. Pak Pandir tidak dapat membezakan orang warak dengan kambing.
Hal ini dapat dikaitkan dengan situasi semasa. Begitu lah yang terjadi jika seseorang menentukan sifat warak dan alim dengan berpandukan gambaran fizikal semata-mata.
Sungguh banyak perkara yang mengelirukan kita. Berapa ramai lagikah yang terkeliru dengan gambaran fizikal dan sifat luaran seseorang? Setiap hari kita mendengar pemimpin berpidato dan merasa sukar untuk menentukan yang mana benar yang mana palsu, yang mana jujur yang mana menipu. Maka tidak berbezalah kita daripada Pak Pandir. Cerita ini sepatutnya memberi iktibar. Mengapa kita harus ketawa terbahak-bahak ketika Pak Pandir memandikan anak? Mengapa kita tidak menolong menyelamatkan anak Pak Pandir dari mati tercelur air panas? Ternyata kita seronok melihat kebodohan orang lain.
Bila terfikir begini, saya pun menulis sajak yang berjudul "Jangan Risau Pak Pandir". Sajak ini dimuatkan di dalam antologi Salasilah (DBP.2005 hlm 101)
Jangan Risau Pak PandirJangan risau Pak Pandir
kebodohan bukan hanya milikmu
ia sebenarnya sering berlaku.
Seperti pada hari itu
Mak Andeh menyuruhmu
Menjemput Pak Lebai
mencari alim yang pandai
untuk berdoa mintakan berkat
pada kenduri doa selamat
kau yang dungu
membawa pulang seekor kambing
kerana ia berjanggut di dagu
seperti gambaran isterimu.
Ah, Pak Pandir jangan tak tahu
kesilapan seperti itu
memang mudah berlaku
seumpamanya kami tak arif membezakan
yang tulen dengan yang palsu
yang warak dengan yang tamak
kerana ramai yang pandai menyamar
di sebalik pakaian dan ucapan
mentafsir ayat suci
mengikut agenda peribadi.
Kami pun mudah terpedaya
dalam seni retorika
kreativiti pengiklan
dan putar belit media
yang membingungkan dunia.
Kau tidak keseorangan
sesiapun mudah menjadi keliru
sepertimu.
Sebuah sajak lagi yang ingin diutarakan sebagai contoh ialah “Pak Kaduk Di Gelanggang Raja”. Sajak ini sudah tentu berasal dari cerita rakyat atau cerita jenaka Pak Kaduk yang kehilangan kampung halaman . Selama ini masyarakat menganggap Pak Kaduk sangat bodoh kerana bertukar ayam dengan raja. Apabila ayamnya si kunani menang di dalam persabungan Pak Kaduk bersorak riang. Dia lupa bahawa rajalah yang menang kerana si kunani telah ditukar dengan ayam raja. Pak Kaduk terpaksa menyerahkan tanahnya kepada raja.
Cerita Pak Kaduk boleh dilihat dari sisi yang lain. Masyarakat menganggap Pak Kaduk sangat bodoh kerana bertukar ayam dengan raja. Namun saya berfikir, adakah Pak Kaduk boleh membantah bila Raja mengajak dia bertukar ayam. Cerita ini sangat menyentuh perasaan saya. Adakah seorang raja yang sudah kaya raya sanggup mengambil tanah rakyat miskin yang tidak mempunyai apa-apa lagi selain rumah dan tanah sekangkang kera. Masyarakat mengejek Pak Kaduk kerana kebodohannya bertukar ayam dengan raja. Tetapi apa yang akan jadi jika Pak Kaduk tidak setuju? Dia mungkin dibunuh kerana dianggap menderhaka. Oleh itu saya menulis “rela atau terpaksa tentu tak ada beza”
Hingga ke hari ini, kemenangan sentiasa berada di pihak orang yang lebih kaya dan berkuasa
Pak Kaduk di Gelanggang Raja
Aku medengar mereka mencaci
Pak Kaduk tidak pandai
Ayam menang kampung tergadai
Pak Kaduk tidak bijak
Alah sabung menang sorak
Pak Kaduk memalukan bangsa
Tidak sedar ditipu raja.
Itu tidak benar
Kerana aku terlalu sedar
Bila raja berkata
“Mari kita bertukar ayam”
Itu bukan satu candangan
Tapi satu perintah
Bagaimana aku membantah
Apa hakku untuk tidak setuju
Rela atau terpaksa tentu tak ada beza
Seribu ayam boleh mengalahkan ayam raja
Tetapi rakyat tidak akan menang sampai bila- bila
Gelanggang ini milik raja
Semua kampung pun kampung raja
Segala ayam pun ayam raja
Jadi apa benar yang aku tukarkan
Apa benar yang aku gadaikan
Segalanya sudah tergadai sejak mula
.Hal ehwal Pak Kaduk kehilangan tanah kerana dimangsai oleh raja atau pemimpin sendiri sering berada di dalam fikiran saya. Selepas sajak “Pak Kaduk di Gelanggang Raja” saya tulis cerpen ‘Si Kunani’ (Menjelang Pemilihan, dbp 2004). Cerpen si Kunani diikuti oleh cerpen “Kaduk, Ayam dan Raja”. Cerpen ini disiarkan buat pertama kali di akhbar Mingguan Malaysia, Cerpen ini memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan dan kemudian dijadikan teks untu KOMSAS. Cerita berkisar kepada cucu Pak Kaduk yang mengambil langkah undang-undang untuk menuntut hakmilik tanah yang telah dirampas oleh raja itu. Cucunya menang dalam perbicaan dan tanah pak kaduk diambil kembali. Tanah itu dicagar kepada bank untuk membuat pinjaman perniagaan. Apa akan jadi jika perniagaan itu tidak menguntungkan dan pinjaman tidak dapat dibayar?. Sudah tentu tanah akan dirampas. Maka saya menyifatkan bank sebagai raja atau perampas tanah yang baharu.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://zurinahhassan.blogspot.com/2020/06/pemikiran-kritis-melahirkan-puisi.html