Pembangkang Tidak Perlu Pertikai Keabsahan Pm Melalui Usul Undi Percaya Kata Pakar
BERNAMA Yang di-Pertuan Agong sangat teliti dan mengambil kira pandangan semua pihak dalam membuat sebarang keputusan memilih pemimpin nombor satu negara itu.
Yang di-Pertuan Agong telah meminta surat akuan bersumpah daripada ahli Parlimen dan memanggil 114 daripada mereka bagi mengesahkan kepercayaan mereka terhadap calon perdana menteri. Gambar: Bernama Tiada keperluan untuk pembangkang mempertikaikan keabsahan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan penilaian dibuat Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dalam memilih perdana menteri menerusi usul undi percaya di Dewan Rakyat.
Pakar Perlembagaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Muhammad Fathi Yusof berkata ini memandangkan keabsahan seseorang perdana menteri itu wujud apabila beliau telah dipilih oleh Yang di-Pertuan Agong, mengangkat sumpah jawatan dan menandatangani surat cara pelantikan.
Perdana menteri yang ada sekarang telah melalui kesemua proses itu, katanya.
“Selepas lalui proses itu maka perdana menteri dapat keabsahan untuk laksana tanggungjawab. Kalau kita kata perlu tunggu usul undi percaya di Dewan Rakyat baru dapat keabsahan, maknanya arahan perdana menteri sebelum pengesahan di Parlimen itu tidak sah dan kedudukannya boleh dipertikai.
“Bahkan (kedudukan) menteri-menteri pun boleh dipertikai kerana perdana menteri yang nasihat Yang di-Pertuan Agong untuk melantik mereka, jadi saya rasa itu satu hujah yang tidak wajar,” katanya ketika menjadi panel webinar Intelektual Negara bertajuk “Usul Undi Percaya: Masih Perlukah?’ malam tadi.
Walaupun Yang di-Pertuan Agong memiliki kuasa yang luas dalam melantik perdana menteri, Fathi menjelaskan bahawa Sultan Abdullah sangat teliti dan mengambil kira pandangan semua pihak dalam membuat sebarang keputusan memilih pemimpin nombor satu negara itu.
Jelas beliau, ini dibuktikan dengan tindakan Sultan Abdullah meminta surat akuan bersumpah daripada ahli Parlimen, memanggil 114 ahli Parlimen bagi mengesahkan kepercayaan mereka terhadap ahli Dewan Rakyat yang telah dicalonkan sebagai perdana menteri serta mengadakan perbincangan dengan Majlis Raja-Raja Melayu.
“Dari sudut Perlembagaan Persekutuan dan sudut moral sah, dari sudut kaedahnya sangat kukuh maka sepatutnya semua pihak terima dan move forward (terus mara) jangan tengok belakang terus bergerak laksanakan tanggungjawab,” katanya.
Menerusi pendekatan diambil Ismail dalam mengadakan perbincangan dengan pembangkang dan memberi ruang kepada mereka untuk berada di dalam jawatankuasa penting kerajaan, Fathi berpendapat ia merupakan satu perkara yang amat besar.
“Jadilah pembangkang baik dengan ruang yang ada ini, kita nak pembangkang yang kuat supaya proses semak imbang berjalan dengan hebat, dalam keadaan pembangkang kuat dan diberi peluang terlibat gunakan ruang ada untuk beri sumbangan pada negara,” katanya.
Senada dengan Fathi, Pengerusi Kelab Usahawan dan Profesional Malaysia (KUPM) Kamarul Rashdan Salleh berkata usul undi percaya tidak wajar diteruskan kerana faktor kestabilan negara, selain kerajaan perlu menumpukan kebajikan rakyat dari pelbagai sudut.
“Pengharapan biarlah usul undi percaya tidak berlaku, bukan kerana takut tapi dalam keadaan semua parti tiada majoriti, tapi berapa kali nak cerita benda sama,” katanya.
Kamarul berkata polemik politik yang melanda negara ini tidak boleh diteruskan kerana ia akan menjejaskan seluruh perancangan kerajaan baru.
“Saya yakin peguam negara akan memainkan peranan beliau dalam menasihati Seri Paduka tentang aspek undi percaya tidak perlu diadakan dan kerajaan perlu fokus dalam menangani pandemik Covid-19,” katanya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://dialograkyat.blogspot.com/2021/09/pembangkang-tidak-perlu-pertikai.html