Pembangkang Sarawak Tolak Pindaan Definisi Penduduk Negeri Kerana Kabur
Baru Bian meminta DUN Sarawak menjelaskan dengan lebih teliti definisi orang Sarawak.KUCHING: Pembangkang Sarawak berkata mereka tidak menyokong bahagian ke-2 Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2020 yang mentafsirkan “penduduk negeri” kerana kekaburannya.
Adun Ba’Kelalan Baru Bian berkata, beliau bercakap bagi pihak Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan DAP, yang tidak membantah bahagian pertama pindaan yang bertujuan untuk menurunkan had umur untuk bertanding pada pilihan raya negeri dari 21 ke 18 tahun.
“Walaupun kami menyedari bahawa bahagian ke-2 adalah untuk memastikan hanya orang Sarawak layak menjadi Adun, tetapi pindaan terhadap Perkara 16-2(2)(a) dan (b) yang dicadangkan masih kabur.
“Kami tidak boleh mendefinisikan (status) seseorang dengan hanya berdasarkan pada tempat kelahirannya dan tempat kelahiran salah seorang ibu bapanya dan sebaliknya,” katanya semasa perbahasan RUU berkenaan hari ini.
Beliau berkata, seseorang kanak-kanak yang lahir di luar Sarawak, sama ada di Sabah, Semenanjung atau luar negara, dengan salah seorang atau kedua-dua ibu bapanya adalah orang Sarawak, akan menjadikan kanak-kanak itu sebagai orang Sarawak secara semula jadi berdasarkan kelahiran atau definisi lain.
“Sebaliknya, seorang kanak-kanak yang lahir di Sarawak dan kedua-dua ibu bapanya juga lahir di negeri ini tetapi merupakan orang Sabah atau orang Pulau Pinang yang secara kebetulan berada di Sarawak semasa kelahiran bayi dan tidak pernah menjalani proses naturalisasi sebagai orang Sarawak tidak dilihat atau diterima sebagai orang Sarawak (jika) mengikut definisi yang ditetapkan dalam cadangan pindaan sedia ada.
“Selain itu, seorang kanak-kanak yang salah seorang atau kedua-dua ibu bapanya yang lahir di Sarawak tetapi kekal sebagai orang Sabah atau orang Pulau Pinang dan ditdefinisikan sebagai orang Sarawak adalah layak untuk terpilih sebagai seorang Adun,” katanya.
Baru berkata, tanpa pemerihalan lebih jelas berhubung definisi itu melampaui faktor tempat kelahiran dan tempat pemastautin biasa, orang yang sama boleh mengundi dan secara teknikal juga layak menjadi Adun Sarawak dan Sabah pada masa yang sama kerana beliau adalah orang Sabah secara semula jadi (anak kepada salah seorang atau kedua-dua ibu bapa orang Sabah), tetapi juga merupakan orang Sarawak berdasarkan tempat kelahiran dan tempat pemastautin seperti dinyatakan dalam cadangan pindaan.
Memetik penulis dan pemilik laman Sarawak Report, Claire Rewcastle-Brown yang lahir di Sarawak dan dengan andaian beliau mempunyai anak yang lahir dan bermastautin di Sarawak, “bukankah ia menjadikan anak itu layak menjadi Adun”?
“Justeru, kami tidak boleh menyokong RUU ini.” - FMT
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2020/11/pembangkang-sarawak-tolak-pindaan.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+MalaysiansMustKnowTheTruth+%28Malaysians+Must+K