Kuat Kuasa Rentas Daerah Negeri Untuk Elak Virus Covid 19 Merebak
                                  Manzaidi Mohd Amin                                                                                                                                                                                                                      

Ismail Sabri Yaakob              KUALA LUMPUR – Orang ramai yang berada dalam negeri yang  dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tidak boleh  merentas daerah dan negeri bagi mengelak virus Covid-19 merebak terutama  ke negeri yang masih bebas daripada pandemik itu.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata,  peranan dan tanggungjawab kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan dan  Majlis Keselamatan Negara (MKN) ialah untuk melindungi masyarakat yang  masih bebas dari Covid-19 dan mengelak dari bertukar kepada zon merah.
Katanya, apabila satu-satu negeri atau daerah bertukar menjadi  merah, kerajaan atas nasihat KKM terpaksa melaksanakan PKPB atau PKP  Diperketatkan untuk tempoh dua minggu malah mungkin lebih lama daripada  itu.
“Kita ambil pengalaman di Selangor, awalnya kes positif Covid-19  dikesan di Mukim Klang sehingga terpaksa dilaksanakan PKPD sedangkan  daerah lain masih bebas dari kes itu.
“Tetapi kerana kita tidak mengambil langkah mencegah awal, maka virus  ini merebak ke Kapar, Petaling, Gombak, Kajang dan akhirnya seluruh  Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dikenakan PKPB.
“Ketika itu konsep kita tunggu apabila merah baharu kita kenakan  PKPD, akhirnya satu persatu merebak, bertukar jadi merah,” katanya pada  sidang media hari ini.
Menurut Ismail Sabri, bagi mengatasi masalah itu, kerajaan mendapat  pandangan KKM untuk mengambil tindakan lebih awal bagi mencegah  penularan virus Covid-19.
Katanya, KKM lebih arif dengan virus itu kerana mereka tahu jumlah kes dan membuat kajian kebolehjangkitan di kawasan tersebut.
“Maka, KKM membuat penilaian risiko kemungkinan berlaku jangkitan  baru, akhirnya kita buat keputusan besar, menyekat sebelum penularan  berlaku, bukannya tunggu merah baru kita tutup. Kini, kita sekat sebelum  berlaku penularan.
“KKM memberi pandangan, virus itu sudah ada dalam komuniti berkenaan  dan untuk mengelak virus merebak lebih ceopat, kita buat sekatan,”  katanya. – MalaysiaGazette 
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/11/kuat-kuasa-rentas-daerah-negeri-untuk.html