Pelawak Terkenal Indonesia Sule Dilaporkan Sakit

Jakarta – Pelawak terkenal Indonesia, Sule, dilaporkan sedang mendapatkan rawatan selepas mengalami masalah kesihatan sehingga terpaksa ditahan dengan infus.
Sebuah video yang tular di media sosial memperlihatkan pelawak berusia 48 tahun itu dalam keadaan lemah, terbaring di atas katil sambil mengaduh kesakitan. Malah, beliau kedengaran menyebut nama Allah ketika menahan sakit.
Menurut rakaman penuh yang dimuat naik di saluran YouTube Diary Sule Family pada 1 September lalu, doktor yang merawatnya menjelaskan bahawa Sule berkemungkinan menghidap penyakit tifus selain faktor kurang rehat.
“Kayaknya kemungkinan ke situ (tifus), Dok. Sebab ada riwayat, Dok,” jawab Sule dengan suara lemah ketika ditanya mengenai keadaannya.
Jururawat yang bertugas turut menjelaskan bahawa ubat yang dimasukkan melalui infus boleh menyebabkan rasa sakit, dan menasihatinya untuk banyak berehat.
Anak Datang Ziarah, Bawa Buah-Buahan
Beberapa hari kemudian, anak perempuannya, Putri Delina, sempat menjenguk bapanya yang masih pucat namun tetap tersenyum menerima kunjungan itu.
Sule berkongsi momen tersebut di Instagram Story dengan ucapan terima kasih atas buah-buahan yang dibawa Putri.
“Kalau ke rumah ayah tak lengkap kalau tak bawa makanan. Kali ini sebab ayah tak boleh makan macam-macam, jadi kami belikan buah yang banyak,” tulis Putri.
Masih Sempat Berjenaka
Meskipun sakit, Sule tetap sempat berjenaka di hadapan kamera. Dalam rakaman yang dimuat naik anaknya, beliau bergurau bahawa dirinya sedang dalam proses pemulihan sambil menunjukkan wajahnya yang mengenakan topeng.
Pernah Tumbang Sebelum Ini
Dilaporkan Kapanlagi.com, Sule sebenarnya sudah beberapa kali mengalami masalah kesihatan sebelum ini. Pada Ogos lalu, beliau dilihat terbaring dengan infus di sebuah hotel di Indramayu selepas tetap memaksa diri bekerja walaupun tubuh tidak sihat.
“Akhirnya ya sudah, saya paksakan ke Indramayu pada 14 haribulan dan 15 haribulan saya tumbang,” katanya.
Ketika ini, Sule masih dalam proses pemulihan dan diminta untuk banyak berehat.
Apa Itu Penyakit Tifus?
Tifus atau demam kepialu merupakan penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria Salmonella typhi. Ia lazimnya berpunca daripada makanan atau minuman tercemar serta persekitaran yang tidak bersih.
Antara gejala utama termasuk demam berpanjangan, sakit kepala, keletihan, sakit perut, cirit-birit atau sembelit, dan hilang selera makan.
Pakar perubatan menasihatkan agar pesakit mendapatkan rawatan segera kerana tifus boleh menjadi serius jika tidak dirawat. Rawatan biasanya melibatkan pemberian antibiotik, rehat yang mencukupi dan pemakanan yang teratur. – The Malaysian Update
The post Pelawak Terkenal Indonesia, Sule, Dilaporkan Sakit appeared first on The Malaysian Update.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.malaysianupdate.my/2025/09/07/pelawak-terkenal-indonesia-sule-dilaporkan-sakit/