Pelantikan Pm Baru Akan Hentikan Ilusi Pihak Yang Dakwa Ada Majoriti
KUALA LUMPUR: Pelantikan perdana menteri baharu akan menghentikan dakwaan mana-mana pihak yang selama ini berilusi mempunyai majoriti untuk memerintah negara.
Pengerusi Institut Kajian Dasar (IKD), Datuk Khalid Jaafar menjelaskan, peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin secara terhormat juga menjadikan proses penggantian akan berjalan secara aman selain kepentingan rakyat terjamin.
"Beliau (Muhyiddin) mungkin melakukan tactical move supaya segala perkara kebencian kepada beliau dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan hilang dan segala yang digembar-gemburkan mengenai pihak yang mendakwa ada majoriti dan desakan meletakkan jawatan adalah satu ilusi.
"Jadi kita tidak boleh lagi bermain dengan ilusi tersebut, kita kena berpijak kepada kenyataan dan realiti politik, nampaknya PN akan kembali berkuasa," katanya dalam sidang maya pada Jumaat.
Dalam pada itu kata Khalid, perdana menteri yang bakal dilantik serta barisan Kabinetnya akan mempunyai integriti sekali gus aspirasi rakyat terhadap pemimpinan negara.
Sebelum ini, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengakui bahawa dirinya dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dinamakan oleh Pakatan Harapan Plus (PH) sebagai calon Perdana Menteri.
Mohd Shafie turut memaklumkan, beliau dan Anwar perlu mendapatkan sokongan yang lebih bagi memastikan dapat membentuk kerajaan yang baharu.
Dalam pada itu jelas Khalid, Kabinet baharu kelak diharap dapat dipilih daripada mereka yang benar-benar bersih dari rasuah.
Ujarnya, ia membuktikan demokrasi negara sudah sampai ke tahap yang membanggakan.
"Apabila UMNO terpalit dengan isu rasuah yang begitu besar sekali, yang begitu buruk, unsur kleptokrasi, rakyat mengambil tindakan yang berani untuk membawa haluan yang baharu kepada negara.
"Apa yang disebut oleh Muhyiddin, kita perlu perdana menteri dan Kabinet yang tidak terlibat dengan mana-mana kes jenayah, itu merupakan hasrat rakyat sendiri, beliau merupakan sebagai penyambung lidah rakyat dalam hal tersebut," jelasnya.
Sebelum ini, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata, gabungan itu bersetuju mencalonkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebagai Perdana Menteri yang baharu dengan syarat, pelantikan Kabinet yang dibentuk kelak adalah dalam kalangan mereka yang berintegriti, beramanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah.
Katanya, persetujuan itu dicapai semua 50 Ahli Dewan Rakyat dari parti gabungan PN iaitu 31 Ahli Dewan Rakyat daripada Bersatu, 18 (Pas) dan seorang dari Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang sudah menyerahkan Akuan Bersumpah ke Istana Negara.
Pada Isnin, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan peletakan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri serta seluruh barisan Ahli Jemaah Menteri berkuat kuasa serta merta.
Dalam pada itu, Baginda turut perkenan untuk melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri sementara (caretaker) sebelum calon Perdana Menteri Baharu dilantik semula.
Kerajaan Perikatan Nasional di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin tumbang selepas 15 ahli UMNO termasuk Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datuk) menarik sokongan terhadap Kerajaan PN.
Ahmad Zahid membuat pengumuman itu dalam sidang media khas pada 3 Ogos lalu lapor AstroAwani
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.anaksungaiderhaka.com/2021/08/pelantikan-pm-baru-akan-hentikan-ilusi.html