Pdrm Cadang Adakan Semula Inkues Kes Adib Kpn
 Bernama                                                                                                                                                                                                                                                                                                                  

             KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencadangkan satu  inkues diadakan semula berhubung kes kematian Allahyarham Muhammad Adib  Mohd Kassim.
Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata ia berikutan  terdapat saksi baharu yang akan tampil memberi keterangan berhubung  kematian anggota bomba itu.
“Sehingga kini seramai 54 saksi baharu dirakamkan percakapan  melibatkan saksi polis, saksi awam dan saksi pakar yang membawa kepada  115 orang telah dirakam percakapan sepanjang siasatan kes ini  berlangsung.
“Saya mahu berlaku adil kerana tiada apa yang nak disembunyikan, apa  pun siasatan penuh telah dibuat namun kami tidak temui bukti kukuh  menyatakan bahawa ada seseorang yang nampak arwah ditangkap, dipukul dan  sebagainya,” katanya kepada Bernama pada majlis serah terima tugas  Pengarah JSJK yang baharu di Bukit Aman, di sini, hari ini.
Abdul Hamid berkata berikutan dakwaan serta pandangan beberapa  individu bahawa Muhammad Adib diperlakukan sedemikian (ditangkap,  dipukul dan sebagainya) pihaknya sekali lagi mencadangkan supaya inkues  berkenaan dilakukan.
“Saya mohon kononnya pihak yang dakwa dia (Adib) dipukul dan  sebagainya untuk tampil ke depan. Jika betul ada bukti apa nak takut,  inkues tidak akan membuatkan individu yang dirakam percakapan dimasukkan  ke dalam penjara.
“Polis tahu bagaimana cara hendak mengambil keterangan namun apabila  mereka ini diletakkan menjalani ujian siasatan mendapati terdapat unsur  pembohongan jadi kami sarankan inkues dilakukan lagi secara menyeluruh,”  katanya.
Beliau mengingatkan mana-mana individu supaya berhati-hati  mengeluarkan tuduhan yang mendakwa polis tidak melakukan kerja sebaik  mungkin dalam menyelesaikan kes ini.
Abdul Hamid dalam pada itu berkata PDRM masih menunggu arahan lanjut  berhubung kes itu setelah menyerahkan kertas siasatan kepada Jabatan  Peguam Negara pada 23 Julai lalu.
Muhammad Adib, 24, yang bertugas sebagai anggota bantuan kecemasan  Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan di Kuil  Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov 2018 dan meninggal  dunia di Institut Jantung Negara selepas 21 hari menerima rawatan.
Pada 27 Sept tahun lepas, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan  kematian Muhammad Adib, adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan  lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.- BERNAMA
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/08/bernama-kuala-lumpur-polis-diraja.html