Kes Kematian Adib Cadangan Siasat Semula Tidak Beretika
SHAH ALAM – Beberapa cadangan yang dikemukakan oleh kerajaan untuk menyiasat semula kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim dilihat sebagai satu tindakan yang tidak beretika dan tidak berwibawa.
Peguam, Haniff Khatri Abdulla berkata, Mahkamah Koroner Shah Alam pada 27 September lalu sudah pun memutuskan punca kematian Adib bukan disebabkan kemalangan tetapi perbuatan jenayah.
Bagaimanapun, jelas beliau, Menteri Dalam Negeri pada ketika itu iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mengambil tindakan untuk membuat rayuan terhadap pihak yang didapati terlibat dengan kes tersebut.
“Bagi saya (cadangan) ini cacamarba. Sebagai peguam, saya melihat ini adalah saranan yang tidak beretika malah tidak tunjuk kewibawaan Kabinet pada masa ini. Lebih-lebih lagi Perdana Menteri pada ketika ini merupakan Menteri Dalam Negeri pada waktu Adib meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Haniff Khatri berkata, sejak keputusan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Koroner, pihak berkuasa sepatutnya menyiasat semula kes tersebut dan tidak menagguhkan siasatan sejak setahun yang lalu.
Tambahnya, tempoh rayuan terhadap keputusan koroner juga sudah tamat.
“Jadi untuk buka balik kes ini, ia salah dan tidak ikut aturan. Waktu itu Muhyiddin patut meminta pihak berkuasa atas arahan koroner untuk buka semula kes ini.
“Tetapi, soalnya sekarang bukan isu sebab atau punca kematian kerana itu sebab sudah pun dikenal pasti koroner terdahulu. Soalnya adakah sesiapa yang dapat dikaitkan dalam kes ini. Kalau ada kena tuduh di mahkamah, kalau tidak ada suspek, tidak boleh nak bawa ke mahkamah.
“Jadi cadangan Menteri Dalam Negeri yang baharu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin untuk dapatkan pendapat daripada Peguam Negara semula berkaitan kes ini menunjukkan kes ini seperti tidak habis-habis dan tidak akan selesai,” katanya.
Jelas beliau, apa yang perlu oleh kerajaan dan polis lakukan pada ketika ini adalah dengan menjelaskan kepada rakyat tentang kes tersebut.
“Sebenarnya adakah pihak berkuasa mempunyai suspek dan bukti yang jelas termasuk keterangan yang lengkap. Jika semua ini tidak ada maka jelaskan kepada rakyat dan rakyat pasti akan faham. Bukan tolak kes ini ke sana dan ke sini,” tegas beliau.
Sementara itu, seorang lagi peguam, Mohd Firdaus Mohd Razi berkata, Jabatan Peguam Negara mempunyai hak mutlak untuk mengarahkan pihak berkuasa membuka kembali kertas siasatan berhubung kematian Allahyarham Muhammad Adib.
Jelasnya, Peguam Negara juga boleh menerima permohonan daripada mana-mana pihak termasuk ahli keluarga supaya melakukan perkara tersebut atas prinsip mendokong kedaulatan undang-undang.
“Jika Peguam Negara merasakan boleh temui sesuatu sekiranya siasatan dibuka semula, maka beliau boleh arahkan perkara tersebut,” katanya.
Ketika ditanya sama ada inkues perlu dilakukan semula atau tidak, Mohd Firdaus berkata, ia bergantung kepada keperluan kes dan keputusan daripada pihak berkuasa untuk berbuat demikian.
“Jika pihak berkuasa merasakan ia perlu, maka terserah kepada mereka sejauh mana siasatan dapat membuktikan siapa pelaku dalam kes ini,” katanya.
SH
The post Kes kematian Adib: Cadangan siasat semula tidak beretika appeared first on My KMU NeT.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://mykmu.net/2020/08/05/kes-kematian-adib-cadangan-siasat-semula-tidak-beretika/