Pas Harap Langkah Tak Langgar Kerusi Umno Akan Cetus Kesedaran
FMT Reporters
-November 3, 2021 6:30 PM
Keputusan tidak bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri yang disandang Umno dapat membangkitkan kesedaran dalam kalangan kepemimpinan parti itu mengenai hala tuju politik PAS, kata Mursyidul Am PAS Hashim Jasin. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Keputusan PAS tidak bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandang oleh Umno diharap mampu membangkitkan kesedaran dalam kalangan kepemimpinan parti itu berhubung hala tuju politik PAS, kata Mursyidul Amnya Hashim Jasin.
Katanya, apabila hala tuju PAS difahami, kepemimpinan Umno akan lebih mudah berlapang dada dengan keputusan besar yang perlu dibuat pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
“Apabila kita tak bertanding di kawasan Umno menang sebelum ini, maka itu bererti matlamat kita bukan nak rebut kerusi itu tetapi (demi) matlamat yang lebih besar perpaduan ummah.
“Ini supaya dengan cara kita bersikap demikian, kesedaran akan timbul dalam kalangan sahabat kita daripada Umno, ke mana hala tuju yang PAS nak bawa,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Dalam pada itu Hashim berkata, tindakan PAS bersama Perikatan Nasional (PN), termasuk menggunakan lambangnya pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka, tidak bermakna parti itu membelakangkan Umno dalam kerjasama politik.
Katanya, PAS berpendapat keputusan itu adalah jalan terbaik pada masa ini bagi menghadapi PRN Melaka dan menjelang PRU15.
Katanya, sebagai manusia, kepemimpinan PAS hanya mampu berusaha dan menyerahkan kepada Allah SWT untuk menentukan hasil keputusan itu.
“Dalam konteks politik hari ini, nampaknya Umno dengan cara Umno, Bersatu cara Bersatu. Jadi, kita melihat dari sudut kita bersama PN tanpa membelakangkan Umno.
“Itulah jalan terbaik setakat ini yang boleh kita ikuti terutama ujian (PRN) di Melaka dan juga PRU15,” katanya.
Isnin lalu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengumumkan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat memutuskan untuk menggunakan lambang PN di Melaka dengan mengambil kira pandangan Majlis Syura Ulama parti itu.
Media melaporkan, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan menghormati keputusan PAS memilih lambang PN dan beliau juga dipetik berkata, Muafakat Nasional (MN) kekal utuh, meskipun dengan keputusan terbaru itu
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://wak-labu.blogspot.com/2021/11/pas-harap-langkah-tak-langgar-kerusi.html