Pas Gantung Keluaran Jualan Arak Hingga Isu Pemandu Mabuk Selesai
MALAYSIAKINI
PAS  menggesa agar kerajaan segera menggantung pengeluaran dan penjualan  arak sehinggalah isu kemalangan melibatkan pemandu mabuk dapat  diselesaikan.
Ketua Penerangan PAS Kamaruzaman Mohamad berkata,  dalam tempoh penggantungan itu, kerajaan juga perlu menubuhkan  jawatankuasa khas Kabinet bagi menangani masalah tersebut.
"Tragedi  pemandu mabuk bukan perkara yang boleh dipandang remeh. Kesalahan ini  berpunca daripada kelemahan perundangan dan penguatkuasaan, selain sifat  pentingkan diri dan degil pemabuk. Lebih malang (mereka) menjadi  pembunuh apabila telah menggadaikan jiwa yang tidak bersalah.
"Melihat  kepada kekerapan isu kemalangan membabitkan pemandu mabuk ini, PAS  mencadangkan kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin  segera menggantung semua pengeluaran, perniagaan dan penjualan arak  sehingga semua langkah baru dapat diambil untuk menghalang pemandu  memandu dalam keadaan mabuk," katanya dalam kenyataan.
Katanya  lagi, untuk melaksanakan cadangan itu, Jabatan Kastam dan pihak  berkuasa tempatan (PBT) juga diminta menggantung semua lesen penjualan  arak dan minuman beralkohol yang dijual secara terbuka di kedai  serbaneka 24 jam.
Kemalangan maut melibatkan pemandu yang disyaki  mabuk melibatkan satu insiden di Kuantan malam tadi, apabila sebuah  kereta Toyota C-HR yang dipandu melawan arus merempuh sebuah kereta.
Mangsa yang merupakan lelaki berusia 41 tahun meninggal di tempat kejadian, manakala suspek, lelaki berusia 42 tahun, direman empat hari bermula hari ini.
Kamaruzaman  turut memetik laporan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) 2016 yang  meletakkan Malaysia di tempat kesepuluh dalam senarai pengambilan  alkohol terbanyak dunia, dengan 15 liter per kapita pada tahun itu.
"Nyawa  orang awam adalah keutamaan yang harus difikirkan kerajaan secara  serius kerana ia menjadi satu lagi punca pertambahan kemalangan khasnya  kemalangan maut di jalan raya atau di lebuh raya," katanya lagi.
Ketika pentadbiran lalu, bekas menteri pengangkutan Anthony Loke berkata usaha mengetatkan undang-undang berkenaan perkara itu telah  dipersetujui secara prinsip dengan jangkaan dibawa ke sidang Parlimen  pada Jun atau Julai tahun ini.
Antaranya dengan mengkaji  semula Seksyen 41, 44 dan 45 Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang  melibatkan kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu secara  berbahaya, dan memandu di bawah pengaruh minuman yang memabukkan atau  dadah, sehingga menyebabkan kematian atau kecederaan.
Bagaimanapun  kerajaan PH tumbang pada akhir Februari lalu dan tumpuan negara kini  beralih kepada usaha menangani krisis Covid-19.

Sementara  itu, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong memberi isyarat kerajaan akan  menggubal undang-undang yang lebih ketat berkaitan memandu dalam keadaan  mabuk.
Wee berkata beliau sedih dengan siri laporan mengenai kemalangan yang disebabkan oleh pemandu mabuk.
"Pada  1 Jun 2020, saya akan memanggil satu sesi taklimat di Kemenpertian  Pengangkutan bersama JPJ untuk segera meneliti dan menyemak cadangan  pindaan akta berkaitan. 
"Pindaan Akta ini mestilah dimuktamadkan  dalam pertengahan Jun ini dengan mengambilkira pandangan orang ramai  melalui kajian soal selidik yang sedang dijalankan, sebelum ianya  dibentangkan di dalam mesyuarat jemaah menteri.
"Saya akan  bertindak dan komited demi pembelaan kepada mangsa korban dalam  kemalangan maut dan juga menegakkan keadilan untuk keluarga mangsa,"  katanya.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/05/pas-gantung-keluaran-jualan-arak-hingga.html