Pak Belang Muncul Di Paka 80 Pekebun Penternak Resah
Oleh NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN KESAN tapak kaki harimau yang sempat dirakam di Kampung Tebing Tembah, Paka di Dungun, Terengganu, baru-baru ini.DUNGUN:  Kira-kira 80 pekebun dan penternak di Kampung Tebing Tembah, Paka di  sini resah dengan kemunculan harimau belang sejak tiga bulan lalu.  
Haiwan liar itu didakwa melintas di  kawasan belukar berdekatan kebun sekali gus menyebabkan rata-rata mereka  kini terpaksa berhati-hati ketika menjalankan aktiviti pertanian dan  penternakan. 
Seorang penduduk, Darani Salleh, 58,  berkata, kejadian terserempak dengan pak belang dialami rakannya ketika  dalam perjalanan pulang dari kebun, kelmarin. 
“Tinggi harimau itu dikatakan separas  pinggang dan kawan saya yang terkejut segera memecut motosikalnya  manakala pak belang terus lari ke belukar berhampiran. 
Selepas kemunculan pak belang, saya  terpaksa melarang isteri dan anak ke kebun kerana bimbang keselamatan  mereka jika harimau melintas lagi,” katanya ketika ditemui pemberita  hari ini. 
Bagi pekebun sayur, Faiz Ikhbal  Entjet, 27, berkata, mereka sekeluarga pernah terdengar bunyi ngauman  harimau beberapa minggu lalu ketika di kebun. 
Katanya, sebelum ini hanya beruang yang menjadi ancaman di kebunnya. 
Sementara itu, Pengarah Jabatan  Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo  Kean Seong berkata, berdasarkan siasatan pihaknya menemukan beberapa  kesan tapak kaki harimau.
“Kita percaya harimau berkenaan  keluar dari Hutan Simpan Bukit Bauk yang terletak kira-kira 500 meter  dari kawasan pertanian dan ternakan penduduk. 
“Setakat ini, harimau berkenaan tidak  mengancam atau mengganggu ternakan penduduk dan kita percaya ia akan  kembali ke habitat asal, namun pemantauan sentiasa dibuat di kawasan itu  demi menjaga keselamatan penduduk,” katanya. – UTUSAN 
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://dialograkyat.blogspot.com/2021/10/pak-belang-muncul-di-paka-80-pekebun.html