Pahang Benar Individu Belum Vaksin Hadir Solat Jumaat Fardu
                                Oleh Afiq Mohd. Shah                                                                                                                                                                                                                                             

GAMBAR: Abd Razak Aid             KERAJAAN Negeri Pahang membenarkan individu yang belum lagi menerima  vaksin untuk hadir mengerjakan aktiviti ibadah solat fardu dan Jumaat di  masjid negeri, masjid daerah, masjid kariah dan surau kebenaran Jumaat  negeri itu.
      Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang,  Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, ketetapan itu merupakan  antara keputusan dalam prosedur operasi standard (SOP) baharu aktiviti  ibadat berkuatkuasa semalam.
   Kata beliau, SOP baharu itu juga sejajar dengan peralihan fasa Pahang ke Fasa 3 di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).
          Antara SOP yang dibenarkan, menurut Syed Ibrahim adalah had jemaah  mengikut keluasan kapasiti masjid atau surau kebenaran Jumaat tertakluk  kepada kemampuan dan kawalan kepada jemaah.
   “Solat Jumaat dan solat fardu dalam kawasan Perintah Kawalan  Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dengan solat Jumaat dibenarkan dengan  bilangan jemaah seramai 40 individu tidak termasuk pegawai dan ahli  jawatankuasa masjid.
   “Keutamaan jemaah adalah daripada kalangan mereka yang telah lengkap menerima suntikan vaksin.   
   “Solat fardu di kawasan PKPD secara berjemaah juga dibenarkan dengan  bilangan jemaah seramai 12 orang sahaja,” katanya dalam kenyataan hari  ini.
   Mengulas lanjut, Syed Ibrahim berkata, SOP lengkap yang akan  dijadikan panduan kepada semua pentadbir masjid dan surau akan  disediakan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).
   Selain itu, beliau berkata, aktiviti pengajian ilmu di masjid dan surau melibatkan kuliah maghrib serta subuh sahaja dibenarkan.
   Beliau memaklumkan, pengajian ilmu juga dibenarkan pada tempoh masa kuliah maghrib antara waktu maghrib sehingga azan isyak.
   “Aktiviti jamuan di masjid atau surau dengan mengikut SOP semasa yang dikeluarkan pihak berkuasa.
   “Majlis akad nikah juga dibenarkan di masjid negeri dan daerah dengan kebenaran Pejabat Agama Islam Daerah.
   “Bagi pengurusan jenazah di masjid dan surau adalah dibenarkan dengna  mengikut SOP pengurusan jenazah bukan pesakit COVID-19 yang  disediakan,” jelas beliau.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://dialograkyat.blogspot.com/2021/09/pahang-benar-individu-belum-vaksin.html