Obsesi Terhadap Budaya Kuantiti Sebagai Kualiti Yang Merosakkan Gaya Hidup
Soalan pertama yang orang akan tanya apabila anda berniaga adalah berapa sales?
Atau apa saja soalan yang lebih kurang sama makna dengannya.
Berapa ramai pekerja, berapa keuntungan, berapa cawangan, besar mana perniagaan. Rumah kat mana, berapa besar rumah, berapa buah rumah ada, pakai kereta apa, berapa buah kereta, berapa orang isteri, pakai jam apa, pakaian jenama apa ..
Semua itu dilihat untuk mendapatkan gambaran terhadap kejayaan seseorang.
Jika ada RM1000, akan mula kejar dapatkan RM10 ribu. Kejar lagi supaya dapat RM100 ribu, kemudian RM1 juta, lagi dan lagi .. tak akan habis.
Bila dah ada satu cawangan bisnes, buka satu lagi, dah ada 2 buka lagi, ada 10 nak buka lagi. Dah masuk peringkat daerah, masuk pula peringkat negeri, dah dapat, masuk pula peringkat nasional, dan mahu lebih lagi, masuk ke peringkat antarabangsa.
Banyak adalah perkara yang manusia moden terutamanya sangat obses terhadapnya. Apa saja benda mahu ada banyak dan banyak.
Bayangkan jumlah kasut yang dikeluarkan oleh semua kilang kasut yang ada di seluruh dunia. Agaknya berapa pasang kasut yang dibuat setahun?
Dari tahun 2015 sehingga tahun 2021, setiap tahun lebih dari 20 billion kasut yang buat setahun di seluruh dunia. Pada tahun 2019 sahaja, sebanyak 24.3 billion pasang kasut manusia buat.
Jumlah penduduk dunia pada tahun 2021 ada seramai 7.8 billion orang. Kita bulatkan jadi 8 billion la senang sikit. Dengan jumlah kasut yang ada tu, setiap orang boleh pakai 3 pasang kasut setahun.
Bandingkan dengan orang dulu-dulu yang hanya mampu beli kasut sekali atau dua kali seumur hidupnya sebaik saja kakinya dah tamat tempoh membesar.
Itu contoh betapa obsesi terhadap perkara 'banyak' telah membuatkn manusia jadi gila. Pembuat kasut mahu pastikan setiap kasutnya dijual sebab dia mahu lebih banyak lagi duit, lebih banyak lagi keuntungan.
Dan orang ramai terbeli dengan segala pujuk rayu pembuat kasut, terpesona dengan iklan dan akhirnya beli kasut satu almari. Mengenakan pasangan kasut yang berbeza ikut pakaiannya yang juga penuh almari adalah satu kepuasan.
Kuantiti adalah kualiti.Tak memiliki banyak, ertinya tidak berkualiti. Dan semua itu, menghasilkan kuantiti, dapat dilakukan dengan memajukan segala teknologi yang ada dalam industri pembuatan.
Setiap negara di dunia akan diukur status ekonominya berdasarkan GDP dan GNP. GDP merangkumi segala produk dan servis yang dihasilkan oleh setiap negara dan GNP pula adalah segala produk dan servis yang dimiliki oleh penduduk setiap negara samada ianya dibuat dalam atau luar negara.
Semua itu adalah ukuran banyak mana. Lagi banyak lagi hebat !
Dan semua negara, termasuklah negara kita kejar semua ukuran kemajuan zaman moden tersebut supaya tidak ketinggalan. Kejayaan sesebuah kerajaan yang memerintah negara kita akan diukur berdasarkan kesemua itu.
Betapa kita terus obses terhadap banyak dari bawah sampai ke atas.
Siapa yang mampu melawan arus sedemikian apabila setiap hembusan nafas yang masuk dan keluar dalam tubuh badan manusia terikut-ikut dengan semua falsafah kemajuan sedemikian.
Hasil dari obses terhadap banyak itu, mukabumi dipenuhi dengan sampah plastik. Sampai ikan di lautpun tubuh badan mereka ada bahan plastik di dalamnya. Penyu jadi cacat tersarung beg plastik pada anggota badannya adalah perkara biasa.
Buat apa banyak sangat plastik tu?
Sebab nak isi lebih banyak barang yang tak henti-henti dibuat dan dibeli serta digunakan oleh semua manusia di muka bumi. Dari orang bandar sampai kepada orang bajau laut dan orang asli dalam hutan.
Mampukah kita lawan arus dan tidak ikut fasafah sedemikian?
Fokus kepada kualiti, bukan kuantitiSaya ambil faham suasana yang berlaku kepada manusia sekarang berdasarkan 2 jalan saja. Samada anda mahu memilih jalan syaitan, atau pilih jalan Tuhan.
Keadaan itu pasti berlaku. Tiada sesiapa dapat melawannya. Mungkin anda boleh kawal diri, tapi anak-anak belum tentu. Mungkin keluarga anda dapat kawal, tetapi masyarakat belum tentu.
Kerajaan sekuat manapun tak akan mampu kawal hembusan angin kerosakan ditiup syaitan mengalir dalam arus kemodenan manusia. Saya andaikan itulah sistem thagut yang orang sering perkatakan. Bukan kerajaan, bukan sekumpulan elit, tapi ia tetap wujud berlegar dari masa ke masa semakin membesar.
Syaitan akan menghasut ketakutan dan rasa ketinggalan jika tidak mengikuti jalannya. Iaitu jalan fanatik terhadap kuantiti. Lalu manusia mula membeli dan membeli. Biar banyak, kualiti letak sebelah.
Saban tahun seribu satu macam bahan dibuang. Segala sumber alam dirosakkan untuk memenuhi matlamat menghasilkan kuantiti. Rosakkan dan buang, ambil lagi dan hancurkan alam raya.
Pampers kanak-kanak pakai buang bertambun dalam tong sampah. Selit tepi pagar, sumbat dalam tandas, memenuhi tempat pembuangan sampah. Beli lagi dan buang lagi. Tak pakai, hidup dirasakan susah. Tak ikut, dikatakan ketinggalan zaman. Bila percaya pada bisikan syaitan, begitulah jadinya.
Manakala Tuhan menawarkan jalan yang lurus, yang bakal membuatkan hidup anda selamat dah penuh kemakmuran, iaitu jalan kualiti.
Untuk nekad berada di jalan yang selamat, anda juga perlu nekad terhadap kualiti berbanding kuantiti. Fokus kepada menghasilkan apa saja kerja, apa saja produk dan servis supaya mencapai tahap kualiti tertinggi yang anda mampu capai.
Jangan berkompromi dengan kualiti. Teknologi yang dipilih adalah untuk peningkatan kualiti dan bukannya kuantiti. Apa guna barang yang anda terpaksa beli berkali-kali sebab teknologi yang menghasilkannya hanya mampu hasilkan kuantiti berbanding kualiti.
Pakai tak sampai setahun dah rosak. Perabut yang dibeli untuk diletakkan dalam rumah tak sampai setahun dan hancur.
Katil, kerusi dan meja yang atuk saya beli dan pakai dulu diperturunkan sehingga ke anak cucu. Generasi demi generasi dapat pakai lagi, malah makin mahal jadinya sekarang.
Bandingkan dengan perabut yang anda beli di IKEA sekarang!
Itu baru contoh perabut. Anda boleh lihat sekeliling segala barangan yang ada. Kereta model yang sama bertukar-tukar kepada rupa bentuk baru setiap tahun. Facelift, total change dan seribu satu tipudaya lagi. Dan manusia membelinya !
Jalan ini memang sangat sukar sebenarnya. jalan kualiti perlukan pengorbanan masa dan daya tumpuan yang besar. hanya anda yang percaya pada Tuhan saja mampu melakukannya.
Tapi bagi yang mempercayainya, Tuhan tidak pernah memungkiri janji pada hambaNya.
Sekadar renungan ..
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.hidupringkas.com/2022/11/obsesi-terhadap-budaya-kuantiti-sebagai.html