Nik Nazmi Perkahwinan Pas Umno Berpaling Dari Perjuangan Tokoh Parti
MALAYSIAKINI    
Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad menyifatkan  perkahwinan Umno dan PAS sebagai berpaling dari perjuangan tokoh  kedua-dua parti masing-masing.
“Tindakan pemimpin Umno dan PAS  hari ini, serta apa yang dipanggil perkahwinan, bermakna kedua-dua  pihak telah berpaling dari semangat serta warisan tokoh-tokoh lama  mereka,” kata Nik Nazmi dalam kenyataannya, hari ini.
Ahli  parlimen Setiawangsa itu memetik nama 'Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman,  Abdul Razak, Dr Burhanuddin Helmy, Fadzil Noor dan Nik Abdul Aziz Mat  sebagai pemimpin yang bekerjasama dengan masyarakat berbilang kaum dan  mempunyai taraf integriti.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan pengumuman Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan bahawa PAS dan Umno sudah rasmi ‘bersanding’ selepas dua jam bermusyawarah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.
Nik  Nazmi berkata dengan pengumuman semalam akhirnya Mohamad mengesahkan  hubungan antara PAS dan Umno walaupun bertahun-tahun menafikannya.
Kata  Nik Nazmi, walaupun Mohamad menggambarkan kedua-dua parti itu baru  berkahwin, Umno dan PAS telah lama bersama iaitu sejak pilihan raya  kecil (PRK) Seri Setia, Ogos tahun lalu.
Tanpa menyebut secara  khusus, Nik Nazmi juga menyorot dakwaan penyaluran dana RM90 juta oleh  Umno kepada PAS yang menurutnya menunjukkan hubungan antara kedua-dua  parti itu "bukan sekadar cinta semata-mata".
“Tetapi  setelah didedahkan perjanjian kepimpinan PAS dengan Umno membabitkan  pampasan kewangan, nampaknya perkahwinan ini bukanlah kerana cinta  semata-mata, tetapi perancangan komersial yang melibatkan pembayar dan  penerima yang melakukannya dengan rela hati.
“Ia tidak jelas apa  manfaat, jika ada, percaturan baru akan membawa kepada masyarakat Melayu  yang lebih luas memandangkan kedua-dua pihak baru-baru ini seolah-olah  lebih peduli dengan bersusah-payah untuk kuasa politik, cuba membela  dosa terdahulu dan cuba mencetuskan perasaan perkauman.
“Kedua-dua  pihak hanya menyediakan retorik tanpa sebarang alternatif yang jelas,  dan telah menjadi lebih seperti parti politik kenegerian, dan bukannya  bersifat nasional,” katanya. 
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/03/nik-nazmi-perkahwinan-pas-umno.html