Netflix Mula Menguji Notifikasi Amaran Untuk Akaun Kongsi
Sudah menjadi tabiat ramai dari kita untuk mendapatkan barang secara percuma atau secara murah. Begitu juga dengan langganan Netflix. Kenapa perlu beli sendiri kalau boleh mintak free dari kawan kan?
Beberapa pengguna Netflix melaporkan mula menerima notifikasi amaran daripada Netflix untuk memasukkan kod pengesahan kerana mengesan akaun yang sedang digunakan mereka sedang diakses daripada dua alamat berbeza.
Namun begitu, bilangan pengguna yang terjejas dilaporkan hanya sebilangan kecil sahaja setakat ini. Pengguna yang terjejas juga melaporkan mereka memilih untuk membuat pengesahan kemudian tetapi Netlfix tetap juga menghantar notifikasi amaran untuk memasukkan kod pengesahan pada kali kedua.
Jika ini berlaku kepada anda, anda perlulah meminta kod pengesahan daripada pemilik akaun sebenar untuk memberikan kod pengesahan kepada anda. Bayangkan, setelah sekian lama anda menggunakan akaun Netflix bekas kekasih anda. Adakah anda sanggup menghubunginya semula semata-mata untuk meminta kod pengesahan Netflix sekaligus anda ‘kantoi‘ mencuri akaun Netflix si dia? Adakah mungkin juga cinta lama akan bertaut kembali?
Bagi saya, notifikasi ini walau nampak remeh, ada juga kebaikannya terutama sekali bagi mereka yang akaun mereka dicuri atau dijual oleh pihak yang mencuri maklumat log masuk anda. Bayangkan, anda membayar akaun Netflix peribadi, tetapi tidak semena-mena rancangan yang dicadangkan pada menu utama kepada anda langsung tidak kena dengan selera anda kerana orang lain telah curi-curi menonton rancangan kegemaran mereka dengan menggunakan akaun Netflix anda tanpa kebenaran.
Tidak pasti sama ada ciri ini akan dilaksanakan secara menyeluruh kepada semua pengguna Netflix ataupun tidak. Tidak dapat dipastikan juga sama ada Netflix akan menghantar notifikasi amaran setiap kali akaun anda dilog masuk di lokasi yang tidak dikenali sepertimana yang dilakukan oleh Facebook.
Apa yang pasti, jika ciri ini diperluaskan secara menyeluruh sebagai ciri keselamatan akaun Netflix, maka ramailah penjual akaun ‘premium‘ Netflix murah akan susah cari makan. Pelik juga, kerana Netflix sendiri mengakui pengguna yang berkongsi akaun adalah penyumbang utama jualan mereka kerana mengikut kajian mereka sendiri, mereka yang berkongsi akaun pada akhirnya akan membeli akaun Netflix peribadi mereka sendiri.
Walaupun aktiviti perkongsian akaun Netflix adalah menyalahi terma dan syarat perkhidmatan Netflix, mereka dilihat agak santai dengan perbuatan tersebut atas faktor mereka yang berkongsi akaun pada akhirnya akan membeli akaun mereka sendiri.
Sumber : Gamma Wire
The post Netflix Mula Menguji Notifikasi Amaran Untuk Akaun Kongsi appeared first on OMG! Hackers?.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://omghackers.com/netflix-mula-menguji-notifikasi-amaran-untuk-akaun-kongsi/