Netflix Bakal Ambil Alih Warner Bros Discovery
Netflix Bakal Ambil Alih Warner Bros Discovery
Syarikat penstriman popular, Netflix mengumumkan pada Jumaat bahawa pihaknya akan membeli studio filem dan televisyen Warner Bros. Discovery dengan nilai harga hampir AS$83 bilion.
Memetik laporan AFP, ia menjadi penyatuan terbesar industri hiburan dekad ini.
Pengambilalihan itu memberikan Netflix akses kepada katalog filem yang luas serta perkhidmatan penstriman berprestij HBO Max.
Ketua Pegawai Eksekutif bersama Netflix, Ted Sarandos, berkata penyatuan tersebut juga akan menjanjikan lebih banyak kandungan pada masa akan datang.
“Kami boleh memberikan penonton lebih banyak perkara yang mereka suka dan membantu menentukan penceritaan abad akan datang,” katanya.
Transaksi tersebut menilai Warner Bros. Discovery pada AS$27.75 sesaham, membawa nilai ekuiti keseluruhan kira-kira AS$72.0 bilion dan nilai perusahaan termasuk hutang sekitar AS$82.7 bilion.
Saham Warner Bros. Discovery ditutup pada AS$24.54 di Nasdaq pada Khamis.
Transaksi itu, yang diluluskan sebulat suara oleh lembaga pengarah kedua-dua syarikat, dijangka dimuktamadkan dalam tempoh 12 hingga 18 bulan.
“Netflix menyasarkan untuk mendominasi Hollywood,” kata pengarah penyelidikan di XTB, sebuah firma dagangan dan pelaburan, Kathleen Brooks.
BACA: Netflix Dilapor Bakal Tamatkan ‘Amalan’ Perkongsian Kata Laluan Bermula 2023
Penganalisis itu memberi amaran mengenai beberapa isu berpotensi berkaitan urus niaga tersebut, termasuk kebimbangan terhadap monopoli Netflix apabila syarikat itu menguasai ‘raksasa dalam perniagaan TV dan filem’.
Netflix dengan lebih 280 juta pelanggan global, sedang berusaha mendapatkan pinjaman berjumlah puluhan bilion dolar untuk membiayai pengambilalihan tersebut, menurut sumber yang dipetik Bloomberg.
Dalam pada itu, syarikat induk HBO, CNN dan studio filem Warner Bros tersebut secara rasmi meletakkan dirinya untuk dijual pada Oktober selepas menerima beberapa tawaran tanpa diminta. Ia sekali gus mengetepikan rancangan perpecahan kepada dua entiti berasingan, satu fokus kepada penstriman dan studio dan satu lagi kepada rangkaian kabel tradisional.
Warner Bros Discovery pada asalnya disasarkan oleh Paramount, yang baru-baru ini diambil alih oleh pengasas Oracle dan salah seorang lelaki terkaya dunia, Larry Ellison.
Pemain utama Hollywood menyatakan kebimbangan untuk melihat Warner Bros jatuh ke tangan Netflix, dengan alasan syarikat penstriman itu cenderung mengehadkan tayangan panggung untuk produksi filemnya.
Pengarah “Titanic”, James Cameron, dalam kenyataan sebelum pengumuman Jumaat, menyifatkan sebarang pengambilalihan Warner Bros oleh Netflix sebagai ‘satu bencana’.
Sumber: AFP
The post Netflix Bakal Ambil Alih Warner Bros Discovery appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2025/12/05/netflix-bakal-ambil-alih-warner-bros-discovery/