Ai Makin Menguasai Tapi 3 Pekerjaan Ini Diramal Akan Selamat
AI Makin Menguasai, Tapi 3 Pekerjaan Ini Diramal Akan Selamat
Jika dahulu kecerdasan buatan (AI) mungkin hanya dipandang remeh dan tidak dianggap sebagai ancaman, kini AI berkembang dengan sangat pesat dan dilihat boleh mengubah pelbagai aspek dalam kehidupan.
Seperti yang diketahui, kewujudan AI kini dianggap memudahkan kehidupan manusia termasuk membantu melakukan pelbagai pekerjaan.
Bagaimanapun, kepakaran mereka dalam bidang tertentu turut mengancam mata pencarian manusia.
Pelbagai pekerjaan berisiko digantikan oleh AI dan tidak lagi menggunakan khidmat manusia. Ia menimbulkan perdebatan terutama dalam industri pekerjaan yang boleh dikatakan sangat ‘rapuh’ ketika ini.
Beberapa bulan lalu, bilionair teknologi, Bill Gates telah memberi amaran bahawa AI akan memberikan kesan kepada banyak pekerjaan pada tahun-tahun akan datang.
Beliau juga telah mendakwa bahawa terdapat tiga profesion yang dikenal pasti mungkin akan bertahan dalam revolusi AI, sekurang-kurangnya buat masa ini.
Tiga pekerjaan yang tidak dapat digantikan oleh AI
1. Pengekod (Coders)
Ironinya, orang yang membina sistem AI adalah mereka yang paling berkemungkinan mengekalkan pekerjaan mereka. Walaupun AI telah mencapai kemajuan yang ketara dalam menjana kod, ia masih kekurangan dari segi ketepatan dan kemahiran menyelesaikan masalah yang diperlukan untuk mencipta perisian yang kompleks.
Walaupun AI mampu menjana kod dengan baik, setakat ini ia masih belum sempurna. Manusia masih diperlukan untuk memantau hasilnya, membetulkan kesilapan dan pepijat, serta mereka bentuk sistem yang lebih canggih.
Dalam erti kata lain, AI memerlukan manusia untuk membina dan menguruskannya.
2. Pakar tenaga
Sektor tenaga bidang yang terlalu rumit untuk difahami dan dikendalikan sepenuhnya oleh AI pada masa ini.
Industri tenaga nuklear, minyak, dan tenaga boleh diperbaharui memerlukan strategi serta kepakaran yang kompleks. Ia merupakan sesuatu yang sukar ditangani oleh sistem automasi sepenuhnya.
Untuk mengurus infrastruktur, memahami cabaran harian, serta terus berinovasi, akan sentiasa ada peluang pekerjaan untuk jurutera, juruteknik dan penyelidik dalam sektor tenaga.
BACA JUGA: AI Ubah Hidup Manusia Dalam Tempoh Lima Tahun Akan Datang – Bill Gates
3. Ahli biologi
Ahli biologi boleh dianggap bernasib baik, kerana AI tidak mampu mencetuskan penemuan saintifik baharu, walaupun kini ia merupakan alat yang amat bernilai dalam industri perubatan.
Oleh itu, para pakar dijangka akan terus menggunakan AI terutamanya untuk analisis data dan diagnosis penyakit.
Pun begitu, AI kurang berkemampuan untuk merumuskan hipotesis yang inovatif atau membuat lonjakan intuitif dalam penyelidikan.
Gates meramalkan bahawa ahli biologi akan terus memainkan peranan penting dalam memajukan perubatan dan memahami kerumitan kehidupan, dengan AI berfungsi sebagai alat yang berkuasa dan bukannya pengganti
Selepas meramalkan tiga bidang yang dianggap selamat ini, Gates mengakui beliau mungkin tersilap. Namun, cara teknologi yang mengagumkan dan sedikit menakutkan ini berkemungkinan akan membentuk semula kehidupan kita, sama seperti internet suatu ketika dahulu.
Sumber: The Economic Times, UNILAD
The post AI Makin Menguasai, Tapi 3 Pekerjaan Ini Diramal Akan Selamat appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2025/12/16/ai-makin-menguasai-tapi-3-pekerjaan-ini-diramal-akan-selamat/