Negeri Selangor Salur Insentif Khas Bersasar Secara One Off Kepada Penggiat Industri Pelancongan
Kerajaan Negeri Selangor merupakan antara pendahulu dalam menangani impak pandemik Covid-19 kepada rakyat Negeri Selangor dengan pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi merangkumi dua fasa pelaksanaan, serta Pelan Pemulihan Ekonomi Negeri Selangor, yang telah diumumkan oleh Y.A.B Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Dato’ Menteri Selangor, pada 13 Julai lalu.
Antara yang terkandung dalam Pelan Pemulihan Ekonomi Negeri Selangor adalah Pakej Bantuan Sektor Pelancongan kepada Penggiat Industri Pelancongan Negeri Selangor dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM 2,600,000.00.
Sebanyak RM 553,000.00 dari jumlah ini merangkumi pemberian insentif khas bersasar secara one-offsebanyak RM 1,000 seorang, di mana .Kerajaan Negeri Selangor pada Khamis telah secara rasmi mengagihkan insentif khas ini kepada seramai 553 orang penerima merangkumi 486 pemandu pelancong berlesen dan berdaftar dengan Selangor Tourist Guide Association (SGTA), 16 pengusaha rumah inap atau homestay yang diperakui oleh Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC), serta 51 Hos Komuniti Selangor.
Majlis yang hanya dihadiri oleh wakil penerima dari SGTA, penyelaras rumah inap Negeri Selangor dan Hos Komuniti Selangor telah disempurnakan oleh Y.B Tuan Hee Loy Sian, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau, dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Selangor.
Pelan Pemulihan Ekonomi Negeri Selangor turut menggariskan Pakej Bantuan Sektor Pelancongan melalui penerbitan subsidi “Baucar Pelancongan Negeri Selangor” dengan nilai bantuan peruntukan sebanyak RM2,000,000.00.
Pakej bantuan kedua bagi pemulihan ekonomi Negeri Selangor dalam sektor pelancongan ini sedang dikemaskini pelaksanaannya pada peringkat akhir, dan dijangka akan dilancarkan pada pertengahan bulan Disember tahun 2020, mengikut situasi semasa Covid-19 khususnya di Negeri Selangor.
Subsidi Baucar Pelancongan Negeri Selangor adalah sebuah langkah seiring yang proaktif dengan pelaksanaan Kempen Promosi Pelancongan Domestik, “Pusing Selangor Dulu” yang telah diperkenalkan oleh pihak Tourism Selangor bagi merancakkan semula industri pelancongan Negeri yang terjejas teruk ekoran pandemik Covid-19.
Kempen Pusing Selangor Dulu turut memberi penekanan kepada inisiatif promosi serba mampan dengan melibatkan usahasama dengan penggiat industri pelancongan seperti pihak Hotel, Agensi Pelancongan, Media dan Syarikat Penerbangan bagi mempromosikan tarikan pelancongan Negeri Selangor secara lebih meluas, termasuk pakej pelancongan bersepadu merangkumi 9 Daerah dan 12 PBT di Negeri ini.
Adalah menjadi harapan Kerajaan Negeri dan Tourism Selangor agar tawaran insentif dan inisiatif promosi yang dijalankan dapat membantu penggiat industri pelancongan yang terkesan. Hal ini kerana, sektor pelancongan domestik dilihat mempunyai potensi yang besar untuk dikembangkan dan diberi penekanan ke arah mengukuhkan ekonomi kendiri bagi penggiat industri pelancongan, seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi Negeri Selangor.
Untuk informasi lanjut, layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di Selangor.Travel.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://norminieza.blogspot.com/2020/11/negeri-selangor-salur-insentif-khas.html