Negeri Paling Popular Dalam Kalangan Pelancong Tempatan

HarapandailyJune 22, 2025Perak ialah negeri paling popular dalam kalangan pelancong tempatan sepanjang tahun 2024.
Pencapaian itu adalah berdasarkan laporan Survei Pelancongan Domestik 2024 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, kata Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee.
Seramai 10.2 juta pelancong domestik direkodkan berkunjung ke Perak pada tahun 2024, mengatasi Selangor (9.6 juta) dan Pahang (9.5 juta).
“Sebelum ini, Perak merekodkan peningkatan ketara kehadiran pelancong antarabangsa sebanyak tiga kali ganda. Kali ini, kita berjaya pula menjadi juara dalam kategori pelancongan domestik.
“Kejayaan ini adalah hasil kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan, termasuk pemain industri pelancongan, pihak berkuasa tempatan (PBT), pejabat daerah dan tanah (PDT) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menerusi kempen Tahun Melawat Perak 2024,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena program Perarakan Kebudayaan Kampar dan Hari Tanpa Kenderaan anjuran Majlis Daerah Kampar di sini pada Sabtu.
Antara daerah tumpuan pelancong di Perak ialah Kinta, Larut Matang dan Selama, Manjung, Kuala Kangsar serta Batang Padang.
Beberapa destinasi pelancongan utama yang mencatat kehadiran tinggi termasuk Teluk Batik, Lumut Waterfront, Pasar Malam Ipoh, Taman Rekreasi Gunung Lang serta Pulau Pangkor.
Kempen Tahun Melawat Perak 2024 terbukti berjaya apabila ia mencatat peningkatan 36.1 peratus pelancong domestik berbanding tahun sebelumnya.
“Sudah tentu kita perlu mengekalkan momentum ini kerana tahun lepas kita kurang cabaran. Semasa Tahun Melawat Perak, saingan kita yang paling sengit adalah daripada Melaka. Namun, tahun hadapan merupakan Tahun Melawat Malaysia.
“Jadi, dari negeri paling utara hingga ke timur Malaysia, semua akan berebut dalam Tahun Melawat Malaysia ini. Maka, kita harus mengekalkan momentum ini, memang tiada pilihan lain,” katanya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2025/06/negeri-paling-popular-dalam-kalangan.html