Nadir Persoal Ebit Lew Masuk Gaza Bayar Syarikat Hala
Oleh LUQMAN RIDHWAN MOHAMED NOR 
 Muhammad Nadir (kanan) dan Ebit di Gaza.PETALING  JAYA – Pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew digesa untuk memberi penjelasan  mengenai kaedah digunakannya untuk memasuki Gaza, Palestin baru-baru  ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri  Kamaruzaman berkata, Ebit menggunakan syarikat Hala yang mengenakan  bayaran mahal bagi membolehkannya memasuki Palestin.
Dia berkata, dalam tempoh sekitar lapan tahun selepas pertukaran  kuasa di Mesir, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hanya dapat masuk ke  Gaza melalui Rafah dengan melalui NGO antarabangsa Miles of Smiles.
“Jumlah maksimum mungkin 200 hingga 300 orang sahaja dapat masuk  setahun. Kaedah ini telah diamalkan oleh semua NGO yang telah berjaya  beberapa kali keluar dan masuk ke Gaza.
“Kenapa kaedah pasukan EL (Ebit Lew) memberi kesan besar kepada NGO  lain? Kerana kalau sebelum ini banyak NGO boleh masuk melalui cara lama  bersama Miles of Smiles, kini mereka terpaksa menggunakan cara baru  dengan membayar kepada syarikat harga yang tinggi,” katanya
Muhammad Nadir berkata, tindakan menggunakan khidmat syarikat itu  dibuat hasil daripada desakan dan kesungguhan pihak kerajaan membuat  kerjasama dengan Mesir.
Katanya, ia bagi membolehkan pasukan Ebit memasuk ke Gaza tanpa  mengira berapa pun kos yang perlu dibayar tanpa menghiraukan kesan besar  selepas itu.
“Hasil desakan tersebut mereka berjaya masuk dengan syarat penggunaan  khidmat syarikat Hala untuk masuk. Syarikat Hala bukan rahsia untuk  penduduk Gaza.
“Khidmat tersebut boleh digunakan oleh sesiapa sahaja yang mampu  membayar kosnya iaitu $1200 (RM5,090.40) seorang untuk orang tempatan  bagi perjalanan masuk dan keluar ke Gaza,” katanya.
Menurutnya, dengan bayaran tersebut, pembayar akan mendapat layanan  istimewa tanpa perlu berhenti di banyak checkpoint dan berhenti di  ‘bottle neck’ bagi merentas Terusan Suez yang biasanya mengambil masa  dua hingga tiga hari untuk dilalui.
“Untuk orang luar pastinya bayaran yang dikenakan lebih mahal,  lebih-lebih lagi kalau hendak diberi layanan VVIP dengan iringan  kenderaan berperisai dan sebagainya,” katanya.
Muhammad Nadir mempersoalkan sama ada pihak Ebit bersedia memberi  penerangan menganai ratusan ribu ringgit yang dibayar ke syarikat Hala  bagi tujuan seperti penginapan dan barangan sumbangan dibeli untuk  agihan.
“Sekiranya perbelanjaan tersebut datang dari poket sendiri, sahhah wa afiyah, terima kasih dan teruskan usaha murni ini.
“Sekiranya tidak, ambillah tanggungjawab memberi penerangan kepada  semua penderma supaya tidak timbul bibit-bibit fitnah yang lain,”  katanya. – K! ONLINE
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/07/nadir-persoal-ebit-lew-masuk-gaza-bayar.html