Allah Bantu Mudahkan Urusan Saya Ke Gaza Ustaz Ebit Lew
 Siti Hafidah
 		 			Sangkal dakwaan sukarkan usaha pihak lain ke Gaza selepas ini

		  			 			BANGI – Pendakwah bebas, Ustaz Ebit Liew menyangkal dakwaan bahawa beliau  menyukarkan usaha pihak lain untuk masuk ke Gaza selepas misi  kemanusiaannya baru-baru ini.
Menyifatkan tuduhan itu sebagai fitnah  besar, beliau berkata, apa yang terjadi adalah sebaliknya kerana  kerjasama dan usaha yang dilakukan antara kerajaan Malaysia dan Mesir,  akan memberi manfaat kepada mana-mana pihak lain yang berhasrat masuk ke  Gaza selepas ini.
Bahkan Ustaz Ebit menafikan beliau dan pasukannya membayar syarikat Hala untuk masuk ke Gaza.
“Saya dituduh menggunakan khidmat  syarikat bernama Hala, sedangkan saya tak tahu dan tak pernah dengar pun  tentang syarikat itu. Kejayaan kami masuk ke Gaza adalah kerana  kerjasama baik dan usaha daripada pihak kerajaan dan kedutaan di bawah  Datuk Seri Hishammuddin Hussein, serta kerajaan Mesir.
“Saya sendiri tak sangka, memang ia satu  keajaiban. Pada mulanya kami mahu guna khidmat Mile of Smiles, kami  diminta bayar RM40,000 satu kepala. Jumlah yang tinggi, jadi saya cakap,  tak mengapalah, kalau dapat saya seorang masuk pun sudah cukup baik.
“Tetapi selepas diberikan nama untuk  urusan masuk, masih gagal dapat kelulusan. Kami tak putus asa, pasukan  saya setiap hari tak tidur, solat hajat dan berdoa, saya yakin Allah  akan bantu.
“Nak masuk ke Gaza kena ada dua  kelulusan, satu daripada kerajaan Mesir dan satu lagi kelulusan tentera.  Dan selalunya nak dapat kelulusan kerajaan Mesir itu yang susah. Tetapi  macam saya cakap, Allah bantu, memang satu keajaiban, kedutaan hantar  dokumen kepada kerajaan Mesir dan ia diluluskan.
“Segala puji bagi Allah, kami kemudiannya  dapat bantuan daripada ejen perisikan tentera Mesir untuk ke Gaza. Kami  ke sana dengan sebuah agensi, Lucky Tour. Kalau dengan Mile of Smiles  kami kena bayar RM40,000, tetapi dengan agensi ini kami bayar RM10,000  sahaja,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.
Selain itu, Ustaz Ebit juga menafikan dakwaan beliau menggunakan duit rakyat Malaysia untuk memudahkan perjalanannya di sana.
“Saya tak pernah buka tabung untuk Gaza.  Saya ke sana dengan duit sendiri, ditambah dengan bantuan  sahabat-sahabat baik yang tak mahu nama mereka disebutkan.
“Jadi saya tak rasa ada keperluan untuk  saya ceritakan dengan terperinci apa yang saya buat dengan duit itu,  kerana itu duit saya,” katanya.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/07/allah-bantu-mudahkan-urusan-saya-ke.html