Muhyiddin Kemudi Badai Krisis Covid 19 100 Hari Dengan Jayanya

Esok genaplah 100 hari pertama Muhyiddin Yassin sebagai  perdana menteri, menerajui pentadbiran negara sejak 1 Mac dengan  menggalas tanggungjawab paling besar di saat negara dilanda krisis  kesihatan akibat penularan pandemik Covid-19 selain badai ekonomi.
Beliau,  yang juga presiden Bersatu, mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana  menteri kelapan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah  Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang telah memberi perkenan  pelantikan tersebut selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a)  Perlembagaan Persekutuan.
Menurut pensyarah di Fakulti Ekonomi  dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Hazrul Shahiri,  Muhyiddin bukan sahaja mengubah isu kesihatan Covid-19 untuk menjadi  peluang membuktikan kemampuannya sebagai perdana menteri malah berusaha  memulihkan ekonomi negara dan menstrukturkan  semula kitaran ekonomi.
“Tindakan  pertama yang dilakukan dalam menghadapi cabaran itu ialah melantik  pakar-pakar ekonomi untuk mengetuai Majlis Tindakan Ekonomi Negara  (MTEN) yang berperanan merangka dasar fiskal jangka pendek dan panjang  bagi menangani krisis kemelesetan ekonomi,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Beliau  berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai 100 hari pertama  Muhyiddin sebagai perdana menteri, khususnya dari segi pemulihan dan  pembangunan ekonomi negara.
Kemuncak krisis ekonomi negara adalah  ketika kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan  Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lepas yang telah mengganggu keseluruhan  kitaran ekonomi domestik berikutan penutupan aktiviti perkilangan,  perniagaan dan pekerjaaan, katanya.

Hazrul  berkata PKP yang dilaksanakan demi membendung penularan jangkitan  Covid-19 bukan sahaja telah menjejaskan permintaan dalam pasaran barang  serta penawaran dalam pasaran faktor yang ditunjangi oleh pekerja malah  memberi kesan negatif kepada pendapatan negara, perniagaan syarikat dan  perbelanjaan rakyat.
“Pelaksanaan PKP merupakan ancaman ekonomi  paling besar dihadapi oleh pentadbiran kerajaan yang diketuai oleh  Muhyiddin. Ia merupakan cabaran ekonomi paling berat yang tidak pernah  dihadapi oleh semua perdana menteri Malaysia sebelum ini.
“Krisis  ekonomi yang disebabkan oleh Covid-19 adalah jauh lebih besar daripada  krisis kewangan 1998 dan kemelesetan ekonomi di era 1980-an,” katanya.
Beliau  berkata bagaimanapun pelancaran Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin  Rakyat (Prihatin) bernilai RM250 bilion yang diumumkan dalam tempoh 10  hari sebaik sahaja PKP berkuat kuasa telah membuktikan komitmen dan  keprihatinan kerajaan di bawah pimpinan perdana menteri untuk memulihkan  ekonomi negara.
"Ia telah disifatkan sebagai satu tindakan yang  pantas dan tepat pada masanya untuk mengimbangi usaha membendung  penularan pandemik Covid-19 dan proses pemulihan ekonomi, dengan jumlah  yang jauh lebih besar daripada peruntukkan kerajaan untuk pelan  pemulihan ekonomi pada 2009 iaitu sebanyak RM67 bilion.
"Pentadbiran  kerajaan Malaysia dengan pimpinan Muhyiddin telah berupaya untuk tidak  bergantung kepada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) ketika banyak  negara (sekurang-kurangnya 80 negara) telah memohon bantuan daripada  tabung berkenaan untuk memulihkan ekonomi negara mereka,” katanya.

Hazrul  berkata menyedari kesukaran usaha pemulihan ekonomi yang melibatkan  perdagangan antarabangsa memandangkan ekonomi dunia juga telah  dilumpuhkan oleh Covid-19, perdana menteri menumpukan aspek pembangunan  ekonomi domestik untuk memperlahan dan mengurangkan penyusutan mendadak  dalam perbelanjaan dan pelaburan swasta.
Selepas pakej ekonomi  Prihatin, Muhyiddin mengumumkan pula Pakej Prihatin Perusahaan Kecil dan  Sederhana (PKS) (Tambahan) bernilai RM10 bilion yang bertujuan  memastikan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dapat meneruskan  operasi mereka dalam keadaan mencabar serta mengurangkan risiko  pemberhentian pekerja secara besar-besaran, katanya.
“Kemudahan  seperti subsidi upah, bantuan kepada PKS dan kredit mikro telah membantu  syarikat-syarikat untuk kekal bertahan dalam industri walaupun tidak  dapat beroperasi sepenuhnya.
“Ia bukan sahaja usaha untuk  melindungi rakyat melalui pengurangan beban serta menjamin pekerjaan  malah sebagai sokongan kepada perniagaan dengan meningkatkan aliran  tunai, walaupun ia tidak dapat menggantikan nilai aliran tunai sebenar  namun masih memberi ruang kepada rakyat untuk berbelanja," katanya.
Beliau  berkata walaupun Covid-19 telah merosakkan ekonomi dunia tetapi  tindakan pantas dan betul oleh kerajaan di bawah pimpinan Muhyiddin  berjaya mengelakkan kesan ekonomi yang lebih buruk. 
Kelonggaran  sekatan pergerakan menerusi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)  dan pembukaan aktiviti ekonomi secara berperingkat telah memberi ruang  dan peluang untuk aktiviti ekonomi bergerak semula dan melakukan  penyesuaian di era pasca Covid-19, katanya.

“Peningkatan  indeks petunjuk pasaran Bursa Malaysia setakat ini merupakan satu  isyarat keyakinan pelabur untuk kembali menyumbang kepada ekonomi dan  mempercepat proses pemulihan,” katanya.
Semalam, perdana  menteri juga mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)  akan berkuat kuasa mulai 10 Jun hingga 31 Ogos, 2020, menggantikan  Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), dengan lebih banyak  kelonggaran diberikan.
Justeru, perjalanan rentas negeri akan  dibenarkan mulai Rabu ini kecuali di kawasan yang diisytiharkan sebagai  Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPB).
Selain itu  aktiviti komersial melibatkan pemasaran bukan dalam premis perniagaan;  lawatan ke muzium; aktiviti ‘indoor busking’; akitiviti perikanan  rekreasi termasuk kolam pancing komersial turut dibenarkan semasa PKPP.
Muhyiddin  berkata selaras fasa penjanaan semula ekonomi negara dan tiada lagi  sekatan rentas negeri, aktiviti pelancongan domestik dibenarkan, namun  bagi yang berhasrat melancong ke luar negara, perlu ‘tunggu dahulu’  kerana sempadan negara masih ditutup buat masa ini.
- Bernama
MR :  Itu adalah pertolongan Allah kepada pemimpin yang tidak meminta jawatan
 Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram  https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt


  ............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
[email protected] 
   
  


 
 ©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini  untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://mindarakyat.blogspot.com/2020/06/muhyiddin-kemudi-badai-krisis-covid-19.html