Mh370 Isteri Pramugara Yakin Pesawat Dirampas
Selepas lebih 40 hari kehilangan pesawat MH370, isteri kepada pramugara Hazrin Mohamed Hasnan atau lebih dikenali dengan nama Rain, Maizura Othaman hari ini sekali lagi meluahkan perasaannya secara terbuka melalui rangkaian media sosial, Instagram.
Bagaimanapun, kali ini apa yang ditulisnya lebih bermotifkan mencari kebenaran yang didakwa disembunyikan oleh pihak tertentu kepada waris keluarga penumpang pesawat penerbangan MH370 yang hilang pada 8 Mac lepas.
"Hati saya kuat mengatakan suami saya dan yang lain-lain diculik… oleh sebuah kuasa besar," tulisnya.
Intan sebelum ini pernah meluah perasaan menerima kehilangan Rain yang beliau sifatkan "masih ada" dan menyimpan harapan bahawa suatu hari nanti suaminya akan pulang.
Pada 27 Mac lalu, iaitu 2 hari selepas Intan meluah perasaannya di dalam media sosial, Astro Awani melaporkan keperitan Intan untuk menerangkan keadaan kepada anaknya yang bertanya bilakah bapanya akan pulang.
Dalam pada itu, Astro Awani turut dihubungi oleh seorang waris penumpang MH370 yang dipanggil untuk satu pertemuan bersama Kementerian Luar dan pihak berkuasa pada Ahad, 20 April lepas.
Dia yang enggan dikenali menyatakan, keluarga waris seakan-akan tidak boleh mengawal perasaan dan menjerit-jerit sepanjang Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin menjelaskan situasi dan langkah susulan yang akan diambil berhubung insiden MH370 ini.
"Waktu mesyuarat dengan Hamzah itu memang teruk, gaduh jerit-jerit di dalam dewan itu," ujar waris berkenaan.
Katanya, waris juga tidak bersetuju mengenai isu bantuan kewangan dan sijil kematian yang dikemukakan kementerian.
"Keluarga mahu bukti fizikal, walau jumpa satu `body’ pun jadilah.
"Pada masa itu Intan bangun dan kata, bagaimana hendak percaya, tidak ada satu bukti langsung. Intan tanya apakah benar pesawat itu jatuh ke dalam laut dan semua pihak berkenaan senyap seribu bahasa," jelasnya.
Waris itu turut berada dalam pertemuan tertutup selama lebih dua jam di sebuah hotel di Kuala Lumpur itu bersama 40 waris. Sesi penerangan itu juga dihadiri oleh Ketua Pengarah Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya.
"Saya tak tahan dengar dan terus balik," katanya.
Pada sidang media selepas pertemuan itu, Hamzah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Waris Penumpang Malaysia Airlines (MAS) MH370 berkata, pihaknya akan mengemukakan cadangan kepada Jawatankuasa Waris Penumpang berhubung bantuan kewangan yang diperlukan dalam masa terdekat.
Hamzah berkata, perkara itu adalah antara isu utama yang dibangkitkan dalam pertemuannya dengan waris yang dilakukan pada sebelah pagi.
Beliau juga mengumumkan kerajaan sedang mempertimbangkan satu tarikh untuk mengumumkan pengesahan beberapa isu melibatkan penumpang dan anak kapal pesawat itu. -ASTRO AWANI
Boleh saman Boeing di mahkamah AS
Semalam genap 46 hari MH370 hilang di selatan Lautan Hindi. Mengikut undang-undang Amerika Syarikat (AS) keluarga dan waris penumpangnya kini boleh membawa tuntutan mereka terhadap syarikat pengeluarnya, Boeing di mahkamah negara itu.
Ia kerana mengikut undang-undang AS, ada peraturan 45 hari tempoh masa sebelum peguam boleh berurusan dengan keluarga mangsa untuk memfailkan tuntutan saman di mahkamah selepas sesebuah pesawat terbabit dalam kemalangan.
Bagaimanapun, pakar guaman menyifatkan prosiding tuntutan saman berhubung MH370 seperti mengendalikan perbicaraan kes bunuh tanpa sebarang bukti mayat dan peguam bakal berdepan tugas sukar untuk mengemukakan tuntutan mereka di mahkamah.
Usaha rumit
Peguam industri penerbangan, Daniel Rose dari firma Kreindler & Kreindler, berkata ketiadaan kotak hitam dan maklumat kritikal berhubung kemalangan pesawat itu merumitkan usaha untuk memenangi tuntutan terhadap syarikat terbabit buat masa ini.
"Walaupun ada peraturan 45 hari untuk memulakan tuntutan, namun dalam kes MH370, amat sukar untuk membawa tuntutan ke atas Boeing di mana-mana mahkamah di AS jika kita tidak mempunyai kotak hitam atau mana-mana bahagian bangkai pesawat itu," katanya yang dipetik CNN.
Bagaimanapun, situasi itu agak berlainan jika tuntutan keluarga dan waris penumpang pesawat dibuat terhadap syarikat Penerbangan Malaysia (MAS).
Ia kerana Konvensyen Montreal menyatakan mengikut undang-undang antarabangsa, keluarga dan waris boleh mengemukakan tuntutan di negara di mana penumpang membeli tiket, negara tuan rumah syarikat penerbangan atau negara destinasi terakhir penerbangan itu.
Satu kes saman
Sehingga kini, hanya satu kes tuntutan saman terhadap Boeing dan MAS dikemukakan di mahkamah AS membabitkan peguam Monica Kelly yang mewakili Januari Siregar iaitu bapa kepada Firman Chandra Siregar.
Bagaimanapun, tuntutan untuk mendapatkan dokumen dan maklumat berkaitan sudah ditolak Mahkamah Illinois.
Kelly yang mewakili firma Ribbeck Law Chartered, iaitu firma yang pakar dalam kes kemalangan penerbangan, berkata berdasarkan pengalamannya setiap keluarga boleh mendapat ganti rugi di antara $400,000 (RM1.24 juta) hingga $3 juta (RM9.3 juta).
Semoga memberi manfaat.
-Sentiasapanas.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.sentiasapanas.com/2014/04/mh370-isteri-pramugara-yakin-pesawat.html