Menteri Setuju Sistem Lebih Ketat Ambil Pekerja Bangladesh
   Jason Thomas

PUTRAJAYA:  Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran setuju perlu ada sistem lebih  ketat untuk memudahkan pengambilan pekerja Bangladesh.
 Ia susulan laporan akhbar Bangladesh, Daily Star pada Ahad lalu yang  kerajaan Bangladesh tidak mahu menghantar rakyatnya bekerja di Malaysia  sehingga Putrajaya melaksanakan sistem pengambilan pekerja yang lebih  telus dan berkos rendah.
 “Perlu ada sistem di Bangladesh sendiri untuk menghentikan  penghantaran pekerja tidak diperiksa dan itu yang mereka cuba lakukan,”  kata Kula di luar hari terbuka kementeriannya hari ini.
 “Kami ada kes di mana ramai pekerja asing didakwa didera di  Malaysia atau dieksploitasi ejen yang mengenakan bayaran tinggi kepada  mereka untuk datang ke sini. Apabila kita menandatangani MoU dengan  Nepal, satu daripada syaratnya ialah apabila pekerja datang, ia tidak  patut membabitkan bayaran.
“Kos sifat untuk pekerja – itu bermakna tiket penerbangan dan perbelanjaan lain perlu ditanggung majikan.”
 Walaupun Malaysia melaksanakan moratorium ke atas pengambilan pekerja  Bangladesh pada 2018, masih ada pekerja asing yang datang ke Malaysia  dikenakan yuran pemprosesan kira-kira RM20,000 untuk memudahkan  kelulusan permit kerja dan urusan lain.
 Daily Star melaporkan agensi pengambilan pekerja menyalahkan ejen  haram di kedua-dua negara untuk kos tinggi itu yang turut dipersetujui  Menteri Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan luar Negara, Imran Ahmad.
 Beliau juga bimbang dengan tindakan Jabatan Negara Amerika Syarikat  meletakkan Malaysia di Tahap 2 Pemerhatian dalam Laporan Pemerdagangan  Manusia (TIP) bagi tahun kedua berturut-turut pada 2019, dan memberi  amaran sekatan akan dikenakan jika negara terus berada dalam senarai itu  tahun ini.
 Walaupun Putrajaya menggantung pengambilan pekerja Bangladesh pada  September 2018 sementara menunggu siasatan ke atas sistem yang digunakan  untuk mengambil pekerja, Kula berkata, rundingan dua hala berhubung  syarat baru pengambilan pekerja berjalan lancar.
 Katanya, rundingan untuk menarik balik moratorium itu  dilakukan selama beberapa bulan dan sebuah kumpulan pegawai mungkin ke  Bangladesh bulan ini untuk menyelesaikan perkara itu.
“Ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan. Hanya satu atau 2 perkara daripada 10 hingga 12 perkara.
 “Sebaik saja selesai, kami akan buka semula sektor itu. Kerajaan Malaysia bersedia berbuat demikian (menarik balik moratorium).”
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/01/menteri-setuju-sistem-lebih-ketat-ambil.html