Menteri Kesal Hos Bernama Tv Kutuk Al Jazeera Al Jahiliyah
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah kesal dengan tindakan hos sebuah program bual bicara Bernama TV mengutuk saluran berita Al Jazeera sebagai Al-Jahiliyah, susulan laporan kontroversinya yang mendakwa Malaysia mendiskriminasi pendatang asing dalam usaha menangani Covid-19.
Katanya, beliau dimaklumkan tindakan sudah diambil terhadap hos terbabit.
Beliau merujuk Herleena Pahlavy, seorang daripada 2 hos dalam program Malaysia Petang Ini disiarkan Isnin lalu, yang berkata Al Jazeera sepatutnya dinamakan semula sebagai Al-Jahiliyah.
“Kita tak setuju dengan satu laporan saluran berita itu, tapi kita tak boleh menggelarnya dengan panggilan itu.
“Saya dimaklumkan oleh pengerusi Bernama yang tindakan telah diambil,” tulis Saifuddin di Twitternya.
FMT difahamkan hos itu sudah digantung tugas dan sedang mendapatkan pengesahan daripada Bernama berhubung tindakan berkenaan.
Terdahulu, Herleena berkata: “Saya rasakan Al Jazeera, atau selepas isu ini, saya boleh katakan bahawa Al Jahiliyah ini tidak mempunyai asas ataupun mungkin etikanya kurang. Kalau kita google pun, mereka memang banyak kontroversi dan kritikan yang melanda dirinya.”
Beliau kemudiannya mengakhiri program itu dengan berkata: “Saya Leena Pahlavy, Al Jazeera, ‘you shut up’.”
Jumaat lalu, Al Jazeera menyiarkan dokumentari bertajuk “Locked Up in Malaysia’s Lockdown” selama 25 minit menerusi program 101 East, yang mendakwa Putrajaya menggunakan alasan kesihatan dan keselamatan awam untuk menahan pendatang asing tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
Polis kemudiannya menyiasat saluran berita itu di bawah Akta Hasutan 1948, Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana menyiarkan berita fitnah serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyalahgunakan rangkaian perkhidmatan secara tidak wajar.
Jabatan Imigresen pula sedang mengesan lelaki Bangladesh yang ditemubual program itu.
FMT
The post Menteri kesal hos Bernama TV kutuk Al Jazeera ‘Al-Jahiliyah’ appeared first on My KMU NeT.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://mykmu.net/2020/07/08/menteri-kesal-hos-bernama-tv-kutuk-al-jazeera-al-jahiliyah/