Mendedahkan Wajah Hantu Covid 19 Di Kawasan Pedalaman Sarawak
Nur Shazreena Ali Masyarakat luar bandar di Sarawak memerlukan pendekatan berbeza dalam pendidikan kesihatan dan penyebaran maklumat mengenai virus dan cara melawannya.
Suasana perumahan di kawasan berbukit Kampung Sapit, Padawan, sebuah daerah pedalaman Kuching. Pendekatan berbeza perlu diketengahkan dalam menyampaikan maklumat mengenai pandemik Covid-19 di kawasan pedalaman berbeza dari kawasan bandar. Orang ramai yang keluar dari rumah kini sudah terbiasa dengan pelbagai prosedur ketika mereka tiba ke destinasi yang dituju.
Sampai sahaja ke destinasi, tangan terus mencapai telefon bimbit untuk mengimbas kod QR yang yang terpapar di pintu masuk premis sementara dahi disua pada alat pemeriksa suhu.
Tapak tangan segera disanitasi, pelitup muka pula dikemaskan biar selesa dan menepati prosedur.
Selesai semua itu, barulah kaki melangkah masuk ke dalam premis bagi menyelesaikan apa-apa urusan.
Kesemua SOP itu kini menjadi sebahagian dari kehidupan harian, seakan memberi peringatan penting bahawa Covid-19 wujud di mana-mana.
Virus yang tidak dapat dilihat mata kasar itu meragut lebih dari 1,300 nyawa di seluruh negara setakat ini.
Namun di kawasan pedalaman jauh dari bangunan dan kesibukan kota yang terkenal dengan bangunan pejabat dan pusat membeli-belah, hanya segelintir sahaja menyedari kewujudan wabak itu sememangnya memberi bahaya kepada nyawa walaupun setelah setahun pandemik diumumkan.
Perbezaan sikap antara masyarakat bandar dan luar bandar sangat ketara di Sarawak, berpunca daripada halangan geografi yang menyulitkan usaha untuk menyedarkan masyarakat di kawasan pedalaman.
Ahli antropologi sosial Poline Bala mengingatkan sistem penjagaan kesihatan yang buruk di kawasan pedalaman akan menyukarkan usaha membendung penularan wabak jika ia berlaku lebih-lebih lagi jika pihak berkuasa gagal memberikan respons yang lebih inklusif.
“Ramai orang di kawasan luar bandar, mereka tahu Covid-19 adalah satu penyakit. Tetapi kefahaman mereka tentang virus itu kurang, dan mungkin ada yang tidak tahu langsung bagaimana ia menular.
“Mereka anggap virus itu semacam hantu kerana ia adalah sesuatu yang tidak dapat dilihat mata kasar manusia,” katanya kepada MalaysiaNow.
Sarawak ketika ini mengalami lonjakan kes baru Covid-19 sehingga menjadikannya antara negeri yang mencatat angka jangkitan harian tertinggi setiap hari.
Pada Selasa, jumlah kes hariannya mencatat 607 kes baru daripada 1,767 yang dilaporkan di seluruh negara.
Sementara semalam, kes yang dicatatkan negeri itu mencecah angka 960 daripada 2,551 kes baru.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata peningkatan kes di Sarawak adalah disebabkan pertambahan kluster dalam kalangan komuniti termasuklah rumah panjang.
Beliau turut berkata faktor yang menyumbang kepada peningkatan kes adalah daripada acara keramaian dan aktiviti sosial seperti upacara pengebumian, perkahwinan, dan lain-lain keraian.
Poline mengakui kekurangan pematuhan SOP dalam masyarakat, namun katanya ia berpunca daripada kurangnya pemahaman mereka untuk memahami langkah-langkah yang ditetapkan.
“Terdapat kumpulan WhatsApp Covid-19 di Sarawak, tetapi kumpulan perbualan itu pada dasarnya adalah untuk mereka yang tinggal di kawasan bandar untuk berbincang mengenainya.
“Bagaimana pula dengan penduduk di luar bandar?”
Poline berkata di kawasan seperti itu penjelasan mengenai sains di sebalik penyakit tersebut dari perspektif budaya adalah sangat penting bagi membendung wabak.
Beliau turut berkata wujud perbezaan layanan dalam dasar-dasar kerajaan dan pelaksanaannya.
“Jika anda lihat semua dasar itu dengan teliti, selalu ada berat sebelah kepada bandar sama ada dalam dasar sosial atau ekonomi mahu pun perkembangan teknologi.
“Ini adalah jurang yang wujud antara masyarakat luar bandar dan bandar, ia termasuk dari sudut kesihatan. Kekurangan kemudahan asas, kadar kemiskinan yang tinggi, kepelbagaian geografi yang besar dan keadaan alam persekitaran, selain kadar buta huruf yang tinggi – ini adalah antara masalah besar yang menyebabkan mereka terpisah.”
Di Sarawak, katanya, hampir 60% penduduk tinggal di kawasan luar bandar.
Menurut Poline, selain menumpukan perhatian pada langkah-langkah teknikal untuk membendung wabak di negeri ini, dia menyarankan agar kerajaan menekankan cara komunikasi lebih jelas yang boleh membantu semua orang memahami keperluan mematuhi SOP Covid-19.
Poline yang juga merupakan seorang profesor di Universiti Malaysia Sarawak berkata hal ini dapat dilakukan melalui pengedaran kit pendidikan di samping mengeratkan hubungan dengan komuniti luar bandar bagi menjelaskan kepentingan mematuhi SOP termasuk penggunaan pelitup muka yang selamat dan mencuci tangan.
“Kit pendidikan harus dilancarkan dalam pelbagai bahasa dan dalam bentuk yang berbeza, di platform media sosial yang berbeza – apa sahaja yang boleh digunakan,” katanya.
“Berkomunikasi melalui kain rentang juga berkesan kerana dapat mengingatkan orang ramai mengenai penjagaan kesihatan kendiri. Maklumat dalam bentuk gambar, atau dalam bentuk audio juga boleh disebarkan,” tambahnya.
Susunan rumah di lereng bukit Kampung Sapit. Kerajaan perlu mengambil pendekatan berbeza dalam kempen memerangi Covid-19 di kawasan pedalaman.
Beliau mengingatkan wujud beberapa batasan dalam pendekatan dari sudut epidemiologi semata-mata.
“Kita perlu pertimbangkan sudut keagamaan, lokasi, dan latar belakang pendidikan,” katanya.
“Jika kita berbicara tentang norma baru, norma adalah sesuatu yang anda tanamkan. Anda bukan guna polis untuk budayakan norma. Kita perlu beralih dari guna pengawasan polis kepada pemantauan berakarkan masyarakat.”
Poline bagaimanapun memuji usaha kerajaan setakat ini namun berkata kerangka kerja yang lebih kondusif perlu diusahakan.
“Tahap kejayaan pematuhan SOP bergantung pada tingkah laku orang. Satu-satunya cara adalah melalui pendidikan yang betul.”
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/04/mendedahkan-wajah-hantu-covid-19-di.html