Melayu Wajib Pertahan Ketuanan Melayu
                                                                                                                         Nasir Othman                                                                                                                                                                                                                      

Parti Putra dilahirkan untuk menjaga dan mempertahankan hak orang Melayu.             JIKA anda seorang Melayu adalah wajib mempertahankan Ketuanan  Melayu. Hakikat dan konsep Ketuanan Melayu perlu dilihat dari  perspektif lebih luas, bukan hanya dilihat dari sudut yang sempit.
Perlu dilihat dalam konteks asal usul sesebuah negara termasuk  kedudukan geografi di permukaan bumi, bangsa atau kaum, bahasa, budaya,  kepercayaan, sifat umum (fizikal dan nilai) serta sifat umum yang lain.
Allah menjadikan planet bumi Timur dan Barat. Dibahagikan kepada beberapa benua yang dihuni oleh bangsa dan kaum asal.
Contohnya, negara China dihuni oleh kaum China, India dan kaum India,  Arab dan bangsa Arab, Eropah dan bangsa Eropah, manakala Kepulauan  Nusantara didiami oleh Melayu Nusantara yang terdiri dari pelbagai  ektnik kaum. Ada Jawa, Boyan, Bugis, Minang, Pattani, Jawi Peranakan,  bumiputera Sabah dan Sarawak serta lain-lain lagi.
Khususnya Tanah Melayu (Malaya) mengikut sejarah asal didiami oleh  orang Melayu. Walaupun terdapat penghijrahan dari Indonesia, asalnya  adalah dari Kepulauan Melayu Nusantara.
Kaum pendatang secara beramai-ramai dibawa masuk oleh Inggeris dalam  abad ke-19 dan awal abad 20 an dari China dan India untuk tujuan  perburuhan perlombongan dan perladangan.
Pada awalnya, kaum pendatang hanya untuk “menumpang kerja” dan  kesetiaan mereka masih di negara asal. Itu tertulis dalam sejarah Tanah  Melayu.
Berbalik kepada Ketuanan Melayu, Tanah Melayu diperintah oleh  Raja-Raja Melayu yang asalnya dari Kesultanan Melaka dan Kesultanan  Johor Riau.
Setelah campur tangan Inggeris yang menguasai pentadbiran dan sistem  percukaian, Raja-Raja Melayu hanya berkuasa ke atas hal ehwal lslam dan  Melayu.
Putar belit lnggeris yang kebetulan perebutan takhta dan ancaman  Siam, memberi peluang kepadanya meluaskan pengaruh pentadbirannya dalam  negeri-negeri Melayu.
Setelah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan atas persetujuan Raja-Raja  Melayu, bangsa Melayu diwakili UMNO, wakil kaum Cina melalui MCA dan  India berpartikan MIC. Mereka ini menerima dan mengiktiraf Perlembagaan  serta “Kontrak Sosial” dan Kewarganegaraan diberi secara “Jus-soli”  kepada kaum pendatang. Ini adalah fakta sejarah.
Tanah Melayu ketika itu berhadapan dengan keganasan komunis. Ramai  yang terkorban terutama orang-orang Melayu dalam mempertahankan negara  ketika itu. Keganasan komunis bukan mengorbankan nyawa, tetapi juga  infrastruktur, bangunan awam dan lain-lain kemudahan.
Barisan hadapan yang mempertahankan Tanah Melayu dari ancaman komunis adalah majoriti bangsa Melayu.
Pengisian kemerdekaan di peringkat awalnya berjalan lancar. Kemelut  politik bermula setelah Singapura berpisah dari Malaysia tahun 1965 dan  tertubuhnya parti DAP serpihan PAP Singapura yang dipimpin oleh Lim Kit  Siang. Di situ politik “perkauman” bermula.
Tercetusnya peristiwa 13 Mei 1969 setelah mereka menang besar dan membuat provokasi terhadap bangsa Melayu.
Pada tahun 1970, kerajaan ketika itu menyedari perpaduan kaum sangat  penting, maka Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan untuk mengimbangi  kuasa ekonomi dengan penyertaan Bumiputera sebanyak 30 peratus, yang  mana sehingga sekarang belum tercapai.
Pencapaian Bumiputera dalam pelbagai sektor pula masih jauh ketinggalan berbanding dengan kaum lain.
Mungkin antara punca kaum lain mempertikaikan Ketuanan Melayu kerana mereka telah berjaya menguasai ekonomi.
Kaum ini perlu sedar, diawal kemasukan di Tanah Melayu, mereka adalah  miskin dan tidak kaya sebagaimana dari negara asal mereka. Melayu  “tidak rasis”, sebaliknya membiarkan mereka mencari kekayaan di bumi ini  tanpa sebarang halangan, malah turut memberi sokongan kaum itu  berniaga.
Dibantu pula oleh pelbagai insentif dari kerajaan seperti menyediakan  kemudahan, infrastrutur, kawasan industri, kemudahan perlesenan dan  permit, kontrak kerajaan, insentif percukaian dan banyak lagi yang  memudahkan berkembangnya ekonomi mereka.
Kestabilan politik, keamanan, keselamatan, ekonomi terbuka, kemudahan  perbankan adalah kelebihan peluang mereka membina kekayaan di negara  ini. Dekad akhir 80 an, 90 an, 20 an perkembangan pesat ekonomi Malaysia  memberi kelebihan dalam menguasai ekonomi negara.
Mungkin kerana Melayu ketinggalan jauh penguasaan ekonomi, maka  mereka mula mempertikaikan Ketuanan Melayu. Sikap rasis dan cauvinis  mereka berani mempertikaikan secara terbuka perlembagaan, Bahasa Melayu,  kedudukan Islam dan hak istimewa Melayu ketika Pas dan PKR bersama DAP  dalam Pakatan Rakyat (PR).
Mereka lebih berani secara terang-terangan ketika DAP mendominasi  kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama 22bulan. Mereka menentang tulisan  Jawi hingga ke hari ini, tetapi pada masa sama, mereka sesuka hati  menggunakan bahasa Cina dan Tamil pada papan tanda, iklan kekosongan,  premis perniagaan dan sebagainya.
Mereka cuba mengubah fakta sejarah dalam buku teks, provokasi  menghina Raja-Raja dan agama Islam. Memaksa institusi sekolah menerima  budaya mereka menghiasi dengan tanglung dan ponggal dengan alasan  perpaduan, tanpa menghormati sensitiviti orang lain.
Orang Melayu mempertahankan Ketuanan Melayu adalah untuk menjaga  kepentingan Melayu dan kedudukan lslam sebagai agama Persekutuan yang  termaktub dalam Perlembagaan yang telah dipersetujui sebagai salah satu  syarat untuk mendapat kemerdekaan.
Salahkah dari segi agama, undang-undang dan moral jika Melayu  mempertahankan hak mereka menurut Perlembagaan? Rasiskah Melayu? Jika  Melayu rasis tidak mungkin boleh berkongsi ekonomi, kuasa politik dan  menjaga keselamatan serta keamanan untuk kesejahteraan.
Disebabkan pengorbanan orang Melayu dan toleransi yang diberikan  kepada kaum pendatang minoriti tidak mungkin terdapat bangsa lain di  dunia.
Dari aspek keagamaan, mereka bebas mengamalkan dan dijamin  perlembagaan. Jika Melayu rasis, mana mungkin terdapat patung Buddha  terbesar di Kelantan, tetapi dan DAP tetap menganggap Pas adalah  Taliban.
Zalimkah orang Melayu terhadap kaum minoriti pendatang? Bolehkah kuil  dan patung Hindu terbesar di dunia dibina Gombak, Selangor jika Melayu  rasis? Sekarang kuil dan tokong tumbuh bagai cendawan. Tiada pun  halangan dari orang Melayu. Cuma kuil yang dibina secara tidak sah di  atas tanah orang lain sahaja tidak dibenarkan.
Kaum minoriti Cina dan India warganegara kelas dua di Malaysia hanya  persepsi mereka sahaja. Realitinya, mereka tinggal di rumah dan  apartment mewah. Mereka mempunyai gedung perniagaan besar. Mereka  monopoli setiap sektor perniagaan dan industri. Sektor peruncitan,  pakaian, perkilangan, industri makanan, hardware, pelancongan,  pengangkutan, perhotelan dan sebagainya.
Penguna terbesar ialah Melayu. Apakah Melayu rasis? Segala keperluan  dibeli dari kedai mereka. Industri makanan halal pun bukan dikuasai  Melayu.
Berbeza rasis kaum minoriti berbanding dengan “dianggap” rasis orang  Melayu. Mereka rasis mempertikaikan hak Melayu, manakala Melayu dianggap  rasis mempertahankan haknya tanpa “mengusik” sedikit pun hak mereka.
Ketuanan Melayu dijamin oleh Perlembagaan. Mereka yang mempertikaikan  perlembagaan adalah warganegara yang mengkhianati negara, tidak mengira  kaum dan tidak ada jati diri serta semangat patriotism. –  MalaysiaGazette
* Penulis Nasir Othman, Ketua Penaja Putra Pulau Pinang
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/08/melayu-wajib-pertahan-ketuanan-melayu.html