Mb Kedah Umum Exco Baru
Predeep Nambiar
ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor hari ini mengumumkan jemaah exco 10 anggota, yang turut menampilkan 2 Adun yang keluar PKR baru-baru ini.
Daripada 10 anggota itu, 4 daripada PAS, 3 daripada PPBM, 2 Bebas, dan 1 Umno.
Terdapat 23 wakil rakyat Perikatan Nasional daripada 36 ahli Dewan Undangan Negeri. Daripada angka itu, PAS membentuk majoriti dengan 15 Adun, 4 Adun PPBM yang bersepakat dengan PN, dan Umno dan Bebas masing-masing 2.
Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor akan mempengerusikan perancang negeri; hal ehwal tanah; hasil bumi dan sumber asli; kewangan; Majlis Ekonomi Kedah; dan jawatankuasa syarikat berkaitan kerajaan.
Adun Sidam, Robert Ling yang baru-baru ini isytihar dirinya wakil rakyat Bebas, akan menggalas portfolio perumahan; alam sekitar; perpaduan; dan hal ehwal masyarakat Cina dan Siam.
Seorang lagi wakil rakyat Bebas, Adun Lunas, Azman Nasrudin akan menggalas portfolio pertanian dan industri makanan; perusahaan perladangan dan komoditi; pengangkutan; dan hal ehwal masyarakat India.
Azman merupakan exco dalam pentadbiran Mukhriz Mahathir, dan sebelum ini menggalas portfolio industri utama; pertanian; dan pengangkutan.
Exco pentadbiran Mukhriz penggal 2018, Halimaton Shaadiah Saad dan Firdaus Ahmad turut dilantik.
Halimaton akan terus menggalas portfolio pembangunan wanita, keluarga, dan masyarakat; dan kebajikan.
Firdaus dilantik ke belia dan sukan; pelancongan, seni dan budaya; dan pembangunan usahawan dan koperasi.
Exco dari penggal 2013 turut ditampilkan.
Ku Abd Rahman Ku Ismail menggalas portfolio industri dan pelaburan; sains, teknologi, dan inovasi; dan pengajian tinggi.
Suraya Yaacob pula dilantik ke portfolio kerja raya; bekalan air dan sumber air; dan tenaga.
Rahman keluar Umno untuk sertai PPBM pada 2018, manakala Suraya kekal bersama Umno.
Portfolio penting kerajaan tempatan dan kesihatan dipengerusikan Mohd Hayati Othman dari PAS. 11 kerajaan tempatan bawah jagaannya.
Siti Ashah Ghazali dari PAS mempengerusikan portfolio pembangunan luar bandar; pembasmian kemiskinan; dan pembangunan insan.
Brig Jen (B) Najmi Ahmad dari PAS mempengerusikan portfolio agama, pendidikan, dan sumber manusia.
Wan Romani Wan Salim dari PAS mempengerusikan portfolio penerangan, komunikasi dan multimedia; dan perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/05/mb-kedah-umum-exco-baru.html