Maza Vs Ali Muda


Berikut adalah jawapan balas saya terhadap jawapan Dr Maza kepada persoalan pendiriannya yang dikatakan menyokong al-ghadr atau pengkhianatan perjanjian. Yang bernombor adalah tulisan Dr. Maza dan di bawahnya jawapan balas saya:

 ***************************************************************************

1. Saya bersetuju bahawa manusia berpegang kepada ikrar dan janji. Itu pun hendaklah dilihat, sejauh mana ikrar dan janji bercanggah atau tidak dengan syarak. Adapun saya dan majoriti rakyat tidak pernah terlibat dengan perjanjian atau ikrar antara orang-orang politik tersebut. Itu urusan mereka. Majoriti rakyat tidak terbabit dengan perjanjian ‘memfaraidkan kuasa’ antara orang-orang berkaitan.

Jawapan: Dr. Maza bersetuju manusia wajib berpegang dengan ikrar dan janji yang tidak bercanggah dengan syarak. Baik, jika hari ini Dr. Maza kata harus melanggar perjanjian 4 parti PH itu, sila buktikan di mana perjanjian itu bercanggah dengan syarak. Daripada dokumen perjanjian bertarikh 6 Januari 2018 yang ditandatangani oleh Tun Mahathir Mohamad, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tuan Tan Kok Wai dan Tuan Haji Mohamad Sabu selepas ayat “Maka dengan ini kami bersepakat dan bersetuju dengan muafakat Bersama ini sebagai perjanjian yang mengikat parti-parti kami” itu, perkara yang mana bercanggah dengan hukum syarak wahai mufti? Jika anda tidak tahu akan isi perjanjian itu, atau anda tidak membaca pun perjanjian itu, bagaimana anda memberi fatwa dalam kegelapan? Adakah anda sudah lupa apa yang anda sendiri tulis dalam buku kecil terbitan Jabatan Mufti Perlis itu tentang bagaimana sepatutnya seorang mufti memahami realiti sebelum memberi fatwa?
Anda kata anda dan majoriti rakyat tidak pernah terlibat dengan perjanjian itu? Ya, anda dan minoriti rakyat (bukan majoriti) yang mengundi BN atau Pas dalam PRU14 tidak terlibat dengan perjanjian itu, tetapi anda dan semua rakyat Malaysia telah terikat dengan perjanjian mematuhi Perlembagaan Persekutuan di mana Suruhanjaya Pilihanraya diberi mandat untuk menentukan kerajaan selepas mana-mana gabungan parti politik memenangi PRU secara majoriti. Bagaimana anda mendakwa anda dan majoriti rakyat tak terlibat dengan perjanjian? Atau anda berani mempertikaikan Perlembagaan Persekutuan atas kuasa yang diperuntukkan kepada SPR?

Satu aspek lagi, adakah anda ingin memberitahu bahawa para Sahabah r.a. tidak terikat dengan perjanjian al-Hudaybiyyah yang ditandatangani Rasulullah s.a.w.? Ya, itu perbuatan nabi yang menerima wahyu dan perjanjian PH bukan ditandatangani nabi atau nabi-nabi, tetapi bukankah di sana ada nas yang jelas:
المسلمون على شروطهم
 “Umat Islam itu wajib berpegang dengan syarat-syarat yang dipersetujui bersama di antara mereka”? (Hadis sanadnya Hasan atau Sahih menurut al-Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’ 9/376). Pernahkah ada rakyat Madinah berkata kami tak terikat dengan perjanjian yang ditandatangani Muhammad ketika itu? Kalau ada, sudah tentu itu orang munafik atau Yahudi!
Wahai mufti, orang Arab ada berkata: “Jangan kamu teraba-raba seperti unta yang teraba-raba di waktu malam”!  Kata-kata anda “Majoriti rakyat tidak terbabit dengan perjanjian ‘memfaraidkan kuasa’ antara orang-orang berkaitan” adalah kata-kata orang yang teraba-raba dalam kegelapan tanpa cahaya semata-mata untuk melepaskan diri daripada keputusan syarak dan undang-undang.

2. Perdana Menteri yang ada sekarang dilantik oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong iaitu kuasa tertinggi yang diiktiraf oleh Perlembagaan Negara. Di sisi Perlembagaan, dia merupakan Perdana Menteri yang sah. Apabila ia sah, di sisi syarak ia wajib ditaati selagi dia tidak menyuruh kepada dosa dan maksiat.

Jawapan: Kita bersetuju dengan kewajipan mentaati YDP Agong sebagai kuasa tertinggi dalam Perlembagaan Persekutuan dalam melantik Perdana Menteri. Namun kenapa anda sebelum ini sangat lancang mempertikaikan dasar Rahmatan Lil Alamin, Maqasid Syariah dan Model Malaysia sebagai gagasan yang telah dititahperkenankan oleh YDP Agong pada 11 Mac 2019 di Dewan Rakyat? Ketika itu anda tidak sedarkah siapa diri anda di bawah Perlembagaan Persekutuan? Ketika itu tidak wajibkah mentaati perkara yang telah diperkenankan oleh YDP Agong dalam Dewan Rakyat?

3. Bercakap tentang ikrar dan janji, adapun saya, bahkan semua rakyat yang sebenar, telah berikrar RUKUN NEGARA yang kedua iaitu ‘Kesetiaan Kepada Raja dan Negara’. Saya percaya saudara pun pernah berikrar. Dengan saudara tidak mengiktiraf perlantikan yang dibuat oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong bererti saudara telah melanggar ikrar dan janji yang saudara telah buat sejak dahulu. Justeru, saya mengiktiraf kerana saya menunaikan janji dan ikrar.

Jawapan: Tiada pertikaian tentang kuasa DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dalam melantik sesiapa yang dipercayai mendapat kepercayaan majoriti wakil rakyat itu. Persoalan bukan selepas perlantikan itu, tetapi sebelum itu lagi di mana usaha-usaha dijalankan secara tersusun di bawah pengetahuan anda (dan mungkin anda sendiri terlibat memberi konsultansinya) untuk melanggar perjanjian yang wajib dipatuhi dalam agama. Bukankah melanggar perjanjian yang disebutkan sebagai al-ghadr dalam agama itu merupakan satu dosa besar? Bagaimana pula orang yang menyokong atau mengharuskannya?

Sukalah saya mengingatkan anda dengan firman Allah s.w.t. daripada Surah al-Nahl 16: ayat 91-94 yang bermaksud:
“Dan sempurnakanlah perintah-perintah Allah apabila kamu berjanji; dan janganlah kamu merombak (mencabuli) sumpah kamu sesudah kamu menguatkannya (mengesahkan, menandatanganinya), sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai Penjamin kebaikan kamu; sesungguhnya Allah sedia mengetahui akan apa yang kamu lakukan. (16:91)

Dan janganlah kamu menjadi seperti perempuan yang telah merombak satu persatu benda yang dipintalnya, sesudah dia selesai memintalnya kuat teguh; dengan kamu menjadikan sumpah/perjanjian kamu sebagai tipu daya (untuk mencabuli perjanjian yang telah dimeteraikan) sesama kamu, disebabkan adanya satu golongan/penyokong yang lebih ramai dari golongan/ penyokong lain. Sesungguhnya Allah hanya mahu menguji kamu dengan yang demikian itu; dan Dia sudah tentu akan menerangkan kepada kamu, pada hari kiamat, apa yang kamu berselisihan padanya. (16:92)

Dan jika Allah menghendaki, tentulah Dia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama Allah yang satu); akan tetapi Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) dan memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan sesungguhnya kamu akan ditanya kelak tentang apa yang kamu telah kerjakan. (16:93)

Dan janganlah kamu jadikan sumpah kamu sebagai tipu daya sesama kamu, kerana dengan yang demikian itu akan menyebabkan tergelincir kaki kamu sesudah ia tetap teguh (di atas jalan yang benar); dan kamu pula akan merasai balasan buruk (di dunia) dengan sebab kamu menghalangi manusia dari jalan Allah; dan bagi kamu juga disediakan azab yang besar (di akhirat kelak).” (16:94)

Ketika mentafsirkan ayat 16:94 itu al-Imam al-Hafidz Ibn Kathir menulis, maksudnya: “(Perbuatan mengkhianati perjanjian sangat tercela) kerana orang kafir melihat orang beriman (Islam) telah mengikat perjanjian dengan mereka, lalu orang Islam itu khianat, tiadalah lagi padanya (orang kafir itu) dia (orang Islam) berpegang pada agama. Dengan sebab perbuatan khianat itu, maka jalan untuk orang masuk Islam menjadi terhalang. Kerana itu Allah berfirman, “...dan kamu akan merasai balasan buruk (di dunia) dengan sebab kamu menghalangi manusia dari jalan Allah; dan bagi kamu juga disediakan azab yang dahsyat (di akhirat)”

Manakala dalam hadis pula banyak larangan keras terhadap perbuatan al-ghadr yang merupakan dosa besar itu. Antaranya hadis yang bermaksud:
“Bagi setiap pengkhianat perjanjian itu terdapat bendera di punggungnya pada hari kiamat, (bendera itu) diangkat setakat mana pengkhianatannya. Ketahuilah bahawa tiada pengkhianatan yang lebih besar daripada pengkhianatan pemimpin orang ramai” (Sahih, riwayat Muslim)
“Bagi setiap pengkhianat perjanjian itu bendera pada hari kiamat yang tercatat padanya “Inilah pengkhianatan si polan” (Sahih, riwayat al-Bukhari dan Muslim)

“Allah berfirman, “Tiga golongan yang Aku menjadi musuh mereka pada hari kiamat; seseorang yang memberikan perjanjian dengan namaKu kemudian dia mengkhianat, seseorang yang menjual orang merdeka lalu memakan hasilnya, dan seseorang yang mengupah orang bekerja, apabila pekerja itu menunaikan kerjanya, dia tidak membayar upahnya.” (Sahih, riwayat al-Bukhari)

Dengan begini banyak dalil pengharaman al-ghadr yang telah saya suakan kepada anda sebelum ini, adakah anda hanya mahu mendiamkan diri? Di mana penjelasan atau takwilan anda terhadap dalil-dalil ini sehingga anda mengatakan perjanjian sesama PH itu harus dilanggari oleh pihak-pihak terlibat?

4. Untuk pengetahuan saudara, pada 8 Oktober 2019, Perdana Menteri Malaysia ke-7, Tun Dr Mahathir Mohamed telah menulis sepucuk surat peribadi kepada saya. Antara isi kandungan surat tersebut, beliau menyatakan: "Saya buat janji siapa yang ganti saya jika saya jadi PM” saya tidak boleh mungkir janji. Orang lain tidak janji apa-apa. Mereka boleh pilih siapa sahaja. Tetapi saya nak pilih orang lain, ini salah jika saya lakukannya."

5. Dari surat Tun Mahathir itu, ternyata orang lain tidak terikat dengan janji selain dari Tun M sahaja. Sudah pasti DYMM YDPA tidak terikat dengan janji tersebut. Rakyat awam seperti saya juga tidak terikat dengan janji itu. Maka, tiada siapa yang boleh dituduh sebagai khianat kerana mengiktiraf kerajaan yang ada.

Jawapan: Tanpa merujuk dokumen perjanjian itu terlebih dahulu dan tanpa mengetahui siapa sebenarnya yang terlibat dalam perjanjian itu dan menandatanganinya, anda dengan mudah membuat keputusan bahawa ia cuma perjanjian peribadi Tun Mahathir. Ternyata anda tidak melakukan kajian sepatutnya dan anda tiada pengetahuan yang mencukupi sebelum membuat fatwa. Surat peribadi Tun Mahathir kepada anda itu tidak melepaskan anda daripada tanggungjawab membuat semakan dokumen yang lain sebelum berhukum.

Tidakkah anda mengetahui bahawa mengeluarkan hukum atau fatwa tanpa ilmu yang mencukupi itu haram dan berdosa besar kerana dua sebab? Pertama kerana berani berdusta dan berbohong atas nama Allah s.w.t. dan kedua, menipu dan memperdaya manusia ke arah kesesatan.

Ketika menerangkan ayat 116-117 Surah al-Nahl, Ibn al-Qayyim menyatakan: “Allah s.w.t. memberi ancaman seksa terhadap orang yang berdusta dalam menerangkan hukum-hakamNya, iaitu mengatakan apa yang Allah tidak haramkan sebagai haram atau mengatakan apa yang Allah tidak halalkan sebagai halal. Ayat ini adalah keterangan daripada Allah s.w.t. bahawa tidak harus mengatakan “ini halal, ini haram” melainkan dengan secara ilmu yang pasti bahawa Allah taala telah menghalalkan atau telah mengharamkannya.” (I’lam al-Muwaqqi’in ‘an Rabbi l-‘Alamin, 1/38)

6. Kita semua tahu, apa yang berlaku Perdana Menteri ke-7 yang meletakkan jawatan. Maka negara tiada Perdana Menteri. Seorang Perdana Menteri perlu dilantik. Apakah cara? DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong telah mengambil langkah yang wajar dan dipertujui oleh Majlis Raja-Raja. Satu cara pemilihan telah dibuat di Istana Negara. Parti saudara dan ahli-ahli parlimen PH turut menyertai pemilihan tersebut dengan hadir ke Istana Negara dan memaklumkan calon pilihan mereka kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong. Jika pemilihan itu satu pengkhianatan dan tidak sah, mengapa parti saudara dan ahli-ahli parlimen PH turut menyertainya? Tidakkah pemilihan Perdana Menteri sekarang ini hasil dari proses tersebut? Jika diandaikan calon parti saudara menang, adakah sah? Jika calon saudara tidak menang, maka tidak sah?!!! Lojik apakah ini?!

Jawapan: Seperti disebutkan di atas, persoalan yang ingin saya bincangkan bukanlah selepas perlantikan PM8. Tetapi persoalan hukum asal melanggar perjanjian oleh segolongan wakil rakyat itu yang kini berada dalam kerajaan. Anda telah merestui perbuatan mereka tanpa sedikit teguran sebagai orang yang dipikulkan amanah ilmu dalam agama.

Tidakkah anda merenung dan gerun akan firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk.” (Al-Baqarah 2:159)

Berkata al-Imam al-Qurtubi ketika menerangkan maksud ayat ini: “Maksudnya ialah sesiapa sahaja yang menyembunyikan kebenaran, maka ayat itu umum untuk sesiapa sahaja yang menyembunyikan ilmu dalam agama Allah yang diperlukan untuk disebarkan. Hal ini ditafsirkan juga oleh hadis yang bermaksud: “Sesiapa yang ditanya tentang sesuatu ilmu yang diketahuinya tetapi dia menymbunyikannya, maka Allah akan merejamkannya pada hari kiamat dengan rejaman api neraka” (Riwayat Abu Dawud dengan sanad sahih)

Tidakkah anda juga tahu, sebagai mufti, tentang satu kaedah Usul iaitu (  لا يجوز تأخير البيان عن وقت الحاجة إليه  ) “Tidak harus melewatkan keterangan (hukum) daripada waktu (manusia) memerlukannya”. Di zaman sekarang, cukup dibuat pencarian melalui Google sahaja tentang syarah kaedah itu oleh para ulama Usul zaman dahulu dan ulama kontemporari. Sedangkan anda sendiri mengikuti dengan rapat gerakan-gerakan yang dilakukan oleh golongan manusia pengkhianat perjanjian itu sebelum pengkhiatan mereka itu benar-benar berlaku. Sedangkan saya sendiri, dengan keterbatasan liputan pandangan saya, telah beberapa kali memberi amaran tentang keburukan perkara itu pada pandangan agama sebelum ia dilaksanakan. Adakah nanti di akhirat anda sanggup memikul tanggungjawab untuk menjawab bagi pihak para pengkhianat perjanjian itu di depan Allah s.w.t.?

Nampaknya anda sudah pandai mencekik dalil-dalil syarak sehingga tak berbunyi lagi. Ini satu kemajuan baru bagi anda dalam ilmu pusing-pusing dalil setelah sebelum ini anda memulas fakta tentang Ka’b bin al-Asyraf seorang Yahudi kafir harbi anda samakan dengan warganegara Malaysia yang bukan muslim. Bagi sesiapa yang hendak baca pemulasan fakta Ka’b al-Asyraf oleh Dr Maza, boleh baca di wall saya pada 28 Nov 2019 bertajuk "Rahmatan Lil Alamin Tak Ikut Sunnah Nabi s.a.w.?"

7. Adapun sudut ketelusan parti saudara yang tidak akan mengiktiraf lompat parti, mungkin saudara terlupa sejarah parti saudara. Parti saudara muncul hasil dari lompat parti. Bukan sahaja lompat parti, bahkan melanggari baiah dengan parti asal mereka. Bukan baiah biasa, tetapi baiah atas nama Allah dan RasulNYA bahawa isteri tertalak jika mereka lompat. Pun begitu mereka telah melompat. Pemimpin saudara pernah menghantar surat kepada saya selaku Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Perlis untuk memutuskan apakah isteri mereka tertalak. Jawapan yang kita berikan ialah sama ada jatuh atau tidak talak itu berdasarkan niat semasa sumpah talak tersebut dibuat. Saudara boleh rujuk keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri perlis kali ke-24 & 25/2016 pada20-21 disember 2016. Namun, perbuatan menggunakan nama Allah, RasulNYA serta talak isteri untuk berpolitik adalah perbuatan yang keji. Hal itu pernah dilakukan oleh parti saudara.

Jawapan: Kewujudan parti Amanah adalah kerana para pemimpinnya melarikan diri daripada majoriti pemimpin parti lama (Pas) yang telah mengkhianati perjanjian Pakatan Rakyat atas alasan Dap menentang hudud, sedangkan hudud tiada dalam persepakatan PR. Bermakna jika mereka terus duduk bersama Pas, mereka duduk bersama para al-ghadirin. Tindakan Pas keluar dan mengkhianati perjanjian PR juga tidak mengikuti peraturan dan perlembagaan parti itu, iaitu muktamar agung, sebaliknya tindakan diambil berdasarkan keputusan seorang presiden yang memanipulasi walak pengikut. Persoalan baiah dengan talak tiga itu sudah diselesaikan dan ia ada pelbagai pandangan. Anda bukan ahli politik, maka ingatan dan cernaan terhadap peristiwa dalam parti-parti tertentu agak cetek dan dangkal.

8. Jika saudara masih ingat atau membaca, ada percubaan menjatuhkan kerajaan pada 16 September 2008, yang cuba membentuk kerajaan melalui lompat parti. Pemimpin-pemimpin parti saudara juga bersama dengan pemimpin berkenaan. Pemimpin tersebut juga calon PM yang saudara sebut. Saya bukan mahu memburukkan beliau, tetapi jika saudara bercakap soal prinsip yang parti saudara pegang, mungkin saudara boleh menilainya.

Jawapan: Hal itu tidak berlaku pun. Maka hukum tidak tersandar pada perkara yang tidak berlaku. Niat untuk melakukan kemungkaran belum dicatat sebagai dosa selagi ia tidak dilakukan. Seperti anda berniat tidak memberitahu hukum haram al-ghadr tidak dikira berdosa lagi, sehingga anda memang tidak memberitahunya ketika manusia berhajat mengetahuinya.

9. Pengiktirafan saya tiada kaitan dengan perjanjian antara orang-orang politik. Saya mengiktiraf apabila seseorang telah sah sebagai Perdana Menteri dan Kerajaan di sisi Perlembagaan. Jika satu hari kumpulan saudara menjadi kerajaan yang sah, saya iktiraf. Soalan mengkritik, itu perkara kedua. Berbeza antara kritik dan iktiraf. Mengapa saya iktiraf dan taat selagi tidak mungkar? Jawapannya kerana saya bukan orang parti seperti saudara. Saya muslim yang berpegang kepada arahan Nabi s.a.w :
إِنْ أُمِّرَ عَلَيْكُمْ عَبْدٌ حَبَشِيٌّ فَاسْمَعُوا لَهُ وَأَطِيعُوا مَا قَادَكُمْ بِكِتَابِ اللهِ تَعَالَى
“Sekalipun jika memerintah kamu seorang hamba habsyi, dengar dan taatlah jika dia memimpin kamu dengan Kitab Allah” (Riwayat Ahmad, Ibn Majah dll, sahih atas syarat al-Imam Muslim).
Juga sabda Nabi s.a.w:

السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ عَلَى الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ فِيمَا أَحَبَّ وَكَرِهَ مَا لَمْ يُؤْمَرْ بِمَعْصِيَةٍ فَإِذَا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلَا سَمْعَ وَلَا طَاعَةَ
“Dengar dan taat (kepada pemerintah) adalah kewajipan setiap individu muslim dalam perkara yang dia suka atau benci selagi dia tidak diperintahkan dalam perkara maksiat. Apabila dia diperintahkan dalam perkara maksiat maka tiada lagi dengar dan taat. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Jawapan: Telah dijawab dalam perkara no. 2 di atas.

10. Prinsip rakyat dalam urusan pemerintahan ialah kita menyokong yang baik dan ijtihad yang tidak berdosa dalam pentadbiran. Kita memberikan pandangan balas dan kritikan jika perlu. Kita membantah dan tidak menyokong hal-hal yang mungkar. Apa yang penting, negara mesti stabil dan memelihara kepentingan rakyat dan agama.

Jawapan: Dasar Rahmatan Lil ‘Alamin, Maqasid Syariah dan Model Malaysia yang anda dan rakan anda lancang memperlekeh sehingga ke tahap mengatakan ‘Rahmatan Lil Kafirin’, ‘Rambutan Pak Amin’ itu di mana maksiat dalam dasar-dasar itu? Apa bukti ia rahmah kepada orang-orang kafir selagi pengamalannya menurut undang-undang dan Perlembagaan? Persepsi negatif yang dicipta oleh anda dan rakan-rakan bukanlah satu bukti ia bercanggah dengan syarak. Apatah lagi ketidakpuasan hati anda tentang Dr. Zakir Naik tidak dibenarkan berceramah umum itu bukan keputusan dasar RLA itu, sebaliknya keputusan kabinet dan di bawah kuasa Kementerian Dalam Negeri yang menterinya sekarang telah menjadi PM8. Sebagai bukti RLA bukan penghalang atau penindas Dr. Zakir Naik, sampai sekarang sudah bertukar kerajaan pun beliau masih belum dibenarkan berceramah umum dan berdebat dengan penganut agama lain. 

11. Telah berlaku pertukaran kerajaan dalam sepanjang sejarah manusia melalui pelbagai cara. Ada yang melalui cara terpuji dan ada yang melalui cara yang keji. Kerajaan ‘Abbasiyyah ditegakkan hasil rampasan kuasa dari Kerajaan Umawiyyah. Pun begitu, rakyat terus hidup. Berkurun-kurun kerajaan itu berlangsung. Para ulama yang fakih terus dengan sikap jujur mereka. Mereka mentaati hal yang patut ditaati dan membangkang hal yang patut dibangkang. Para imam yang empat, hidup di bawah Kerajaan Abbasiyyah. Demikianlah kebanyakan ulama dan sarjana pelbagai bidang. Mereka khidmat dalam hal yang perlu dan membantah perkara yang perlu. Sebahagian buku yang parti saudara baca juga dari ulama-ulama kerajaan Abbasiyyah.

Jawapan: Tiada takwilan tentang kewajipan mentaati pemerintah semasa hatta pemerintah kafir di United Kingdom wajib ditaati orang Islam di sana. Begitu juga tanpa pertikaian, semua rakyat Malaysai mesti mentaati kerajaan semasa termasuk Perintah Kawalan Pergerakan Covid19 sekarang. Itu bukan soalnya.

Soalnya sekarang ialah anda sebagai ilmuan agama hebat dan mufti yang dilantik yang sangat lantang sebelum ini tentang halal, haram dan isu-isu politik semasa tiba-tiba diam tidak berbunyi tentang hukum haramnya al-ghadr, sedangkan ia bukan suatu yang terpencil dalam agama. Sedangkan al-Imam al-Nawawi mengkhususkan satu bab dalam kitab Riyadhus Solihin yang anda gunakan untuk berkuliah itu, iaitu Bab Tahrim al-Ghadr. 

12. Jika saudara menyatakan parti saudara hidup atas prinsip Islam berpegang pada janji, mungkin saudara boleh semak semula. Selain dari apa yang saya sebutkan di atas, tidakkah pemimpin parti saudara juga yang pernah cuba menjustifikasikan perlanggaran janji politik dengan membuat satu kenyataan yang menghina Nabi s.a.w bahawa ‘Nabi s.a.w pun pernah tak tunai janji’. Mungkin kemudian dia bertaubat, saya harap begitu.

Jawapan: Perkara itu telah dijelaskan oleh pemimpin itu iaitu YB Khalid Samad bahawa beliau tidak bermaksud menghina Nabi Muhammad s.a.w. ketika itu, sebaliknya beliau menyebutkan hal itu sebagai respon kepada ahli-ahli Amanah yang lantang mengkritik kerajaan PH dalam konvensyen tahunan di Ipoh tahun 2018 yang dikatakan tidak menunaikan janji manifesto PRU14. Beliau menerangkan bahawa Rasulullah s.a.w. pun berjanji hendak mengerjakan umrah tetapi tidak dapat menunaikan janji itu kerana tidak mampu akibat disekat oleh puak Quraisy Makkah. Tidak menunaikan janji kerana tidak atau belum mampu, bukan menghina baginda sengaja tidak menunaikan janji.

Sekali lagi anda sebagai pemerhati politik di tepi gantang dangkal dan gagal memahami scenario sebenar  politik kepartian, tetapi sibuk hendak membuat komentar di luar maksud si penutur asal. Adakah anda tak tahu kaedah yang masyhur dalam kalangan ulama Usul (   العبرة بالمقاصد والمعاني ليس بالألفاظ والمباني ) “Perkiraan hukum adalah berdasarkan tujuan dan maksud (penutur), bukan berdasarkan lafaz dan binaan ayat”? Boleh dan sempat lagi mengaji dengan carian Google.

Akhir kritikan saya, sebagai mufti yang sepatutnya anda bercakap dan mengupas secara mendalam tentang dalil-dalil syarak dan tafsirannya berkaitan hukum al-ghadr atau pengkhianatan perjanjian yang merupakan satu dosa besar, malangnya kali ini anda hendak cuba-cuba menjadi pensyarah Perlembagaan Persekutuan atau guru subjek Pengajian Am pula. Sekali lagi anda kelihatan bagai melukut yang gagal memberi jawapan yang tuntas kepada persoalan sebenar orang ramai. Kenapa anda malu-malu untuk menyentuh dalil-dalil syarak yang saya sebutkan di atas seolah-olah ia tidak wujud dalam agama?

Sekian, semoga anda sedar dan bertaubat.

*Ustaz Ali Muda - Abu Mishkat*





Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :

http://wrlr.blogspot.com/2020/05/maza-vs-ali-muda.html

Kempen Promosi dan Iklan
Kami memerlukan jasa baik anda untuk menyokong kempen pengiklanan dalam website kami. Serba sedikit anda telah membantu kami untuk mengekalkan servis percuma aggregating ini kepada semua.

Anda juga boleh memberikan sumbangan anda kepada kami dengan menghubungi kami di sini
Mengidam Balak Hutan Simpan Ulu Muda Mengapa Tidak Wajar

Mengidam Balak Hutan Simpan Ulu Muda Mengapa Tidak Wajar

papar berkaitan - pada 31/5/2020 - jumlah : 431 hits
Menteri Besar Kedah yang baharu Sanusi Md Nor heboh kononnya kerajaan Kedah menanggung beban kerana dituntut syarikat pembalak sejumlah RM1 5 bilion Namun bekas Menteri Besar Kedah Dato Seri Mukhriz Mahathir menafikan ada tuntutan daripada ...
9 Tips Urus Kewangan Bagi Cikgu Muda

9 Tips Urus Kewangan Bagi Cikgu Muda

papar berkaitan - pada 30/5/2020 - jumlah : 311 hits
Pengurusan kewangan bagi cikgu muda yang baru posting memang merupakan satu cabaran Baru pegang gaji sendiri duit sendiri maka banyaklah benda yang nak rasa dan beli Apatah lagi komitmen pada awal karier nih memang lain macam sket Masa nih ...
Anak Muda Ini Kumpul Duit Sejak Tingkatan 3 Akhirnya Berjaya Buka Stesen Minyak Sendiri

Anak Muda Ini Kumpul Duit Sejak Tingkatan 3 Akhirnya Berjaya Buka Stesen Minyak Sendiri

papar berkaitan - pada 28/5/2020 - jumlah : 417 hits
Kisah seorang anak muda bernama Imran Ariff Mohamed Razlan 34 yang berasal dari Jerantut telah berjaya membuka stesen minyak miliknya sendiri di Perlis membuatkan ramai anak muda yang lain rasa terinspirasi Korang boleh bayangkan tak yang b...
Pelakon Muda Larikan Bini Orang Ditahan Polis

Pelakon Muda Larikan Bini Orang Ditahan Polis

papar berkaitan - pada 27/5/2020 - jumlah : 2910 hits
Pelakon muda larikan bini orang ditahan polisPolis menahan seorang pelakon lelaki berusia 23 tahun yang didakwa menjalinkan hubungan dan melarikan isteri orang Suspek ditahan pada jam 9 malam tadi ketika hadir memberi keterangan di IPD Ampa...
Saya Cinta Sama Dia Gadis Muda Serah Seks 4 Kali

Saya Cinta Sama Dia Gadis Muda Serah Seks 4 Kali

papar berkaitan - pada 31/5/2020 - jumlah : 1064 hits
PALEMBANG Sumatera Selatan Tindakan jahat itu dilakukan oleh ED seorang penduduk Kabupaten Sukarami Palembang Sumatera Selatan Sebabnya walaupun sudah mempunyai dua anak lelaki itu bertekad untuk melakukan hubungan seks dengan seorang gadis...
Menpora Kaum Muda Tidak Boleh Lepas Dari Pancasila

Menpora Kaum Muda Tidak Boleh Lepas Dari Pancasila

papar berkaitan - pada 1/6/2020 - jumlah : 199 hits
Hari Lahir Pancasila Menpora Zainudin Amali menyampaikan Kuliah Umum Kepemudaan yang diselenggarakan Maritim Muda Nusantara bekerja sama dengan Keasistendeputian Peningkatan Kapasitas Pemuda Kemenpora melalui Video Conference Zoom Senin sia...
Makan Budu Jadikan Anda Lebih Bijak Dan Awet Muda

Makan Budu Jadikan Anda Lebih Bijak Dan Awet Muda

papar berkaitan - pada 4/6/2020 - jumlah : 861 hits
Gabungan budu cili padi limau nipis dan tempoyak memang meletup Jenama budu paling glamerSiapa yang tak suka makan budu sila angkat tangan eh ramai tak angkat tangan maknanya ramai rupanya yang suka makan budu Budu ni adalah makanan tradisi...
Penang Water Body Warns Of Dry Taps If Logging Resumes In Ulu Muda

Penang Water Body Warns Of Dry Taps If Logging Resumes In Ulu Muda

papar berkaitan - pada 3/6/2020 - jumlah : 285 hits
The Ulu Muda forests serve the water needs of over four million people in Penang Kedah and Perlis PETALING JAYA The Penang Water Supply Corporation today warned that the resumption of logging activities in Ulu Muda Kedah would affect the wa...
Pasar Bisik Kuala Muda Di P Pinang Ditutup 7 Hari Kerana Langgar Sop

Pasar Bisik Kuala Muda Di P Pinang Ditutup 7 Hari Kerana Langgar Sop

papar berkaitan - pada 3/6/2020 - jumlah : 516 hits
Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Jabatan Kesihatan Pulau Pinang Mohd Wazir Khalid memberi amaran akan menahan mereka yang didapati ingkar dan menceroboh premis itu hari ini KEPALA BATAS Pasar Bisik Kua...
Salam Dalam Salat Jenazah Sekali Atau Dua Kali

10 Praktik Keberlanjutan Yang Wajib Diterapkan Di Tahun 2025

Whatsapp Tak Lagi Sokong Peranti Android Lama Mulai 1 Januari 2025

Melawat Ke Sand Dunes Di Tottori Jepun

10 Perusahaan Rental Mobil Pontianak Resmi Update 2025

Nigeria Tragedi Rempuhan Sempena Agihan Makanan Pra Krismas Ragut 67 Nyawa

Helikopter Terhempas Di Hospital Di Turkiye Empat Maut

Pelajari Kesalahan Trader Pemula Untuk Persiapan Trading Profit Maksimal 2025


echo '';
5 Insiden Jalan Sesak Yang Berlaku Lebih 24 Jam Durasinya

Senarai Lagu Tugasan Konsert Minggu 6 Gegar Vaganza 2024 Musim 11

Keputusan Markah Peserta Konsert Minggu 5 Gegar Vaganza 2024 Musim 11

10 Filem Drama Seram Melayu Berhantu Terbaru 2024 2025 Mesti Tonton

One In A Million 2024 Senarai Peserta Juri Format Pemarkahan Hadiah Dan Segala Info Saksikan Live Di TV3 Malaysia Dan Tonton Calpis Soda OIAM


Watercolor Apartment For A Young Family With A Maine Coon

10 Myanmar Nationals Found In Car After Crash

Actress S Car Household Items To Be Auctioned Tomorrow To Pay Off Debt

Muslims May Wish Non Muslims On Religious Holidays Says Penang Mufti

The Benefits Of A Learning Management System For Every Organization

W69 Slot