Anak Muda Ini Kumpul Duit Sejak Tingkatan 3 Akhirnya Berjaya Buka Stesen Minyak Sendiri
Kisah seorang anak muda bernama Imran Ariff Mohamed @ Razlan, 34, yang berasal dari Jerantut telah berjaya membuka stesen minyak miliknya sendiri di Perlis membuatkan ramai anak muda yang lain rasa terinspirasi. Korang boleh bayangkan tak yang beliau ni dah simpan impian ni sejak dari zaman sekolah lagi. Sangat inspired kan?
Dengan berbekalkan azam dan kesabaran yang tinggi, Imran Ariff akhirnya boleh berbangga kerana menjadi sorang pengusaha stesen minyak bumiputera paling muda di Perlis. Pada usia 34 tahun, beliau akhirnya membuat keputusan untuk menceburi bidang peruncitan petroleum ini selepas terbaca iklan di laman web Petronas kira-kira lima bulan yang lalu.
Imran Ariff yang sebelum ini merupakan seorang Senior Software Engineer, nekad untuk meninggalkan kerjayanya dan beralih ke bidang peruncitan petroleum selepas diterima menjadi wakil niaga Petronas secara ‘Company Owned, Dealer Operate’ (CODO) pada awal 2019.
Beliau menggambarkan dirinya bernasib baik kerana telah menyimpan modal sejak dari bangku sekolah lagi hasil dari pampasan yang diterimanya kerana terlibat dalam satu kemalangan dan menyimpan wang tersebut selama lebih 12 tahun di dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB).
Imran Ariff turut menceritakan kisahnya ketika masih belajar di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang beliau terpaksa mendisiplinkan diri agar tak menggunakan wang simpanan ASB tersebut biarpun untuk apa sahaja tujuan yang tidak perlu biarpun pada masa tu hampir semua kawan-kawannya berlumba-lumba ingin memiliki smartphones. Hebat bukan? Bukan senang nak lawan nafsu berbelanja ni sedangkan duit ada banyak dalam ASB masa tu. Duit ASB ni hanya dikeluarkan apabila beliau menerima tawaran menjadi wakil niaga Petronas bernilai RM250,000.
Berbalik kepada stesen minyak Petronas Jejawi miliknya, Imran Ariff ini menggunapakai konsep kontena yang merupakan stesen minyak ketiga menggunakan konsep seperti itu di Malaysia. Bukan mudah beliau nak dapatkan kepercayaan dari Petronas tanpa rasa putus asa biarpun permohonannya telah ditolak untuk beberapa kali.
“Pemohonan pertama saya ditolak kerana dianggap terlalu muda untuk menceburi bidang ini, kurang pengalaman dalam pengurusan perniagaan dan latar belakang kerjaya yang kurang sesuai. Usaha saya tidak terhenti setakat itu apabila pemohonan kali kedua saya diterima dan berjaya meyakinkan pihak Petronas dengan kertas kerja bertajuk ‘Bagaimana Seorang Jurutera Boleh Menguruskan Stesen Minyak dan Menaikkan 'Sales',” jelasnya.
Biarpun turut terkesan dengan musim COVID-19 baru-baru ini, namun keadaan bertambah baik kerana usaha beliau untuk menggunakan media sosial bagi menarik minat orang ramai datang ke stesen minyak dan mendapatkan pelbagai cenderahati Petronas di Kedai Mesra dan bukan hanya sekadar untuk isi minyak sahaja.
"Ramai orang muda hari ini cepat mengalah apabila berdepan ujian gentir namun bagi saya perlu ada kesabaran untuk maju dalam perniagaan selain modal dan perancangan kewangan yang mantap. Ada yang datang bukan hanya untuk mengisi minyak tetapi mahu berswafoto di hadapan stesen minyak saya. Untuk perancangan masa hadapan, saya bercadang menghiasi dinding stesen ini dengan lukisan mural bermotifkan negeri Perlis," katanya lagi.
Semoga dari kisah anak muda bernama Imran Ariff ini menjadi inspirasi kepada kita semua untuk berjaya di masa hadapan. Bak kata pepatah lama, Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ketepian, bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian.
- Gambar dari BERNAMA.
+ Baca respon anak muda yang terinspirasi di Facebook Oh! Media.
Sumber: Oh! Media
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.terengganu11.com/2020/05/anak-muda-ini-kumpul-duit-sejak.html