Mas Benam Rauf Jadi Km Wanita Pertama Di Melaka
 THE PROFESSOR

 Mas Ermieyati  Baru sebentar tadi calon PERIKATAN NASIONAL bagi N02 Tanjung Bidara,  Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin diumumkan oleh Pengerusi parti  gabungan itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Ketua Menteri  Melaka sekiranya parti ini memenangi pilihan raya ini.
   Penulis melihat pengumuman ini menambah derita kepada saingan beliau  iaitu calon BN bagi DUN yang sama yang merupakan Pengerusi BN Melaka,  Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
 Sudahlah sebelum ini Mas Ermieyati dengan ‘langsinya’ pergi ke  kawasan Rauf di DUN Tanjung Bidara untuk berlawan dengannya. Sekarang  Mas Ermieyati diisytiharkan pula sebagai calon Ketua Menteri Melaka bagi  PERIKATAN NASIONAL pula.
Tindakan Mas Ermieyati bertanding di Tanjung Bidara umpama seseorang  yang mahu bertarung dengan ‘seorang gengster besar’ dengan masuk ke  kampung ‘gengster’ itu sendiri dalam keadaan seluruh kampung itu adalah  pengikut dan saudara mara gengster itu. Itu yang ‘langsinya’.
Tindakan berani Mas Ermieyati dikatakan telah menjatuhkan lagi  ‘rating’ Rauf yang sudah sedia rendah. Rauf yang dijangka menang tipis  berubah ke status tewas apabila ditentang Mas Ermieyati.
Ia umpama satu kejutan memandangkan Mas Ermieyati merupakan seorang  banyak berjasa pada penduduk Parlimen Masjid Tanah termasuk di DUN  Tanjung Bidara walau pun beliau penduduk DUN Ayer Limau.
   Mas Ermieyati walau pun cuba diburuk-burukkan dengan imej pengkhianat  Umno dan lompat parti namun beliau disayangi oleh orang ramai walau pun  dalam kalangan ahli Umno sendiri.
Rauf yang terpalit dengan dakwaan terlibat dengan skandal pasir  seperti yang didedahkan oleh mantan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri  Utama Idris Haron sebelum ini pula terpaksa tidak dinamakan sebagai  calon Ketua Menteri Melaka daripada BN untuk mengelakkan parti itu  daripada kalah besar.
Malah, Ketua Menteri Melaka sebelum ini iaitu Datuk Seri Utama  Sulaiman Md Ali pula terpaksa dinamakan sebagai calon Ketua Menteri BN.
   Pencalonan Sulaiman bukan sahaja melangkaui jawatan Rauf sebagai  Pengerusi Perhubungan malah terpaksa melangkaui juga Timbalan Pengerusi  Perhubungan Umno, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad yang turut bertanding  di N11 Sungai Udang.
Pelik apabila dua pemegang jawatan tertinggi Umno ini tidak dinamakan  sebagai Ketua Menteri Melaka walau pun kedua-duanya bertanding dalam  PRN ini. Ia menunjukkan BN memang parti bermasalah dengan pemimpin yang  bermasalah tambah mengurangkan selera rakyat untuk mengundi BN.
Dengan pencalonan Mas Ermieyati sebagai calon Ketua Menteri Melaka  untuk PERIKATAN NASIONAL telah meningkatkan imej beliau dalam kalangan  pengundi. Mungkin Rauf bukan sahaja berkemungkinan kalah, tetapi  dijangka kalah teruk! Dan BN juga dijangka tumbang! SM
(*) PENULIS ADALAH SEORANG EDITOR DAN WARTAWAN SEBUAH AKHBAR TEMPATAN DAN PENGANALISIS POLITIK
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://dialograkyat.blogspot.com/2021/11/mas-benam-rauf-jadi-km-wanita-pertama.html