Di The St. Regis Kuala Lumpur, Eksekutif Chef Norazizi Taslim mempersembahkan Nasi Lemak Ayam Rendang, hidangan yang mengimbau kemesraan suasana keluarga. “Nasi Lemak bukan sekadar hidangan – ia adalah rasa nostalgia di rumah. Aroma wangi nasi lemak santan, rangupnya ikan bilis goreng, dan pedasnya sambal yang dimasak perlahan membawa saya kembali ke hujung minggu bersama keluarga,” kongsi Chef Norazizi. Resipi beliau mengekalkan keaslian dengan penggunaan santan segar dan sambal tradisional yang diwarisi turun-temurun dari neneknya, ditumbuk menggunakan lesung batu untuk rasa yang lebih autentik.
Sementara itu, di W Kuala Lumpur, Chef Anas Luqman ‘membakar’ semangat Ramadan dengan Ayam Percik, kegemaran bazar Ramadan. “Ketika ayam yang diperap mula mendesis di atas bara, saya teringat kenangan zaman kanak-kanak – melihat peniaga dengan cekap menyapu perapan santan berempah ke atas ayam yang dipanggang,” kata Chef Anas. Sajian yang dihasilkan beliau kaya dengan aroma salai yang unik dan salutan karamel yang sempurna dengan teknik pemanggangan perlahan yang menaikkan lagi rasa dan tekstur hidangan ikonik ini.
Bagi penggemar hidangan jalanan klasik Malaysia, The Ritz-Carlton, Langkawi membawakan Sate Daging oleh Junior Sous Chef Syafiq Ruzi. Terinspirasi dari hujung minggu yang dihabiskan di Kajang yang terkenal sebagai ‘kota sate’ terkenal Malaysia – Chef Syafiq menganggap hidangan ini sebagai satu tribute terhadap kenangan keluar makan bersama keluarga. “Sate bukan sekadar makanan, tetapi pengalaman – menantikan lidi-lidi daging yang sedang dipanggang, dengan aroma rempah yang memenuhi udara, dan gigitan pertama yang dicelup dalam kuah kacang pekat,” katanya. Beliau menggunakan daging lembu Australia grain-fed untuk kelembutan terbaik dan mengadun rempah tradisional dengan teknik memanggang yang teliti bagi mendapatkan keseimbangan rasa yang sempurna.
Di Penang Marriott Hotel, Chef Lee Keen Suaan menyajikan santapan istimewa, Char Koay Teow, simbol sebenar makanan jalanan Pulau Pinang. “Rahsianya terletak pada wok hei – aroma unik dari kuali panas,” jelas beliau. “Setiap helai mi harus menyerap esen salai, sementara telur itik dan lap cheong ayam menambah sentuhan kemewahan pada hidangan ini.”
Di Renaissance Kuala Lumpur, Chef Cheah E Keong menyajikan Nasi Ayam, hidangan nostalgia yang telah diperhalusi oleh komuniti Hainan selama beberapa generasi. “Saya mengekalkan tradisi asal sambil meningkatkan rasa dengan teknik penyediaan moden,” katanya.
Di Aloft Kuala Lumpur Sentral, Chef Elossa Danette mempersembahkan Laksa Sarawak, hidangan yang begitu dekat dengan zaman kanak-kanaknya. “Laksa Sarawak membawa saya kembali ke dapur nenek, tempat saya mula belajar memasaknya. Ia melambangkan keluarga, budaya, identiti, dan komuniti,” kongsi beliau. Versinya mengekalkan keaslian resipi dengan sup kaya yang diperbuat daripada stok udang dan ayam, dimasak perlahan bersama pes laksa dan santan. Hidangan ini mencerminkan kepelbagaian warisan Sarawak, menggabungkan pengaruh Melayu, Cina, dan kaum peribumi Borneo ke dalam semangkuk laksa yang harmoni dan berperisa. Diiringi dengan sambal belacan untuk rasa pedas yang menambah kehangatan, Laksa Sarawak ini menghidupkan kenangan kampung halaman.
Bagi pencinta hidangan Pantai Timur, Perhentian Marriott Resort & Spa menyajikan Nasi Kerabu oleh Chef Fuad Yusof. “Nasi Kerabu sentiasa memikat saya dengan warna yang menarik, herba segar, dan aroma Ayam Percik yang membuka selera,” katanya. Versi beliau mengekalkan resipi tradisional dengan penggunaan nasi biru yang diinspirasikan dari bunga telang, budu asli dari Kelantan, solok lada buatan tangan, dan Daging Percik yang dipanggang dengan arang. “Keaslian bermula dengan menghormati tradisi,” tambahnya. Dari proses memanggang kerisik secara perlahan untuk menambah rasa lemak berkrim, hingga kepada keseimbangan rasa budu yang penuh rasa umami, Nasi Kerabu beliau adalah satu keraian kepada cita rasa asli Pantai Timur Malaysia.|
Kempen Promosi dan Iklan Kami memerlukan jasa baik anda untuk menyokong kempen pengiklanan dalam website kami. Serba sedikit anda telah membantu kami untuk mengekalkan servis percuma aggregating ini kepada semua. Anda juga boleh memberikan sumbangan anda kepada kami dengan menghubungi kami di sini |