Mana Ada Tutup Hotel Th Cuma Pindah Pengurusan Kata Kadir Jasin
Wartawan MalaysiaGazette                                                                                                                                                                                                                                                                                          

 A. Kadir Jasin 
KUALA LUMPUR – Kerajaan didakwa tidak ada rancangan untuk  menutup empat hotel Tabung Haji, sebaliknya rangkaian hotel itu akan  beroperasi di bawah pengurusan Urusharta Jemaah Sdn Bhd (UJSB).
 Malah, kebanyakan daripada 278 kakitangan dikekalkan dan bakinya  ditawarkan kepada jawatan lain, menurut Penasihat media dan komunikasi  di Pejabat Perdana Menteri, Datuk A. Kadir Jasin.
 Sebaliknya, beliau memberitahu, hotel terbabit akan melalui  proses penjenamaan semula daripada TH Hotel kepada Hotel Raia dan  operasinya tetap patuh Syariah.
 Proses itu dilakukan kerana Lembaga Tabung Haji (TH) telah menjual hotel terbabit kepada UJSB.
 Empat hotel terlibat adalah TH Hotel Kota Kinabalu, TH Hotel Penang,  TH Hotel & Convention Centre Alor Setar dan TH Hotel &  Convention Centre Terengganu yang sebelum ini diuruskan oleh TH Hotel  and Residence Sdn Bhd (THHR).
 UJSB ini adalah syarikat milik penuh kerajaan yang diwujudkan sebagai  sebahagian daripada pelan pemulihan dan penstrukturan semula TH tahun  lalu.
 “Sejak mengambil alih hotel-hotel berkenaan, UJSB telah menyediakan  modal baru bagi menambahbaik kemudahan sedia ada demi manfaat dan  keselesaan pelanggan.
 “Tidak ada kakitangan akan diberhentikan Sebaliknya 90% akan terus  bekerja dengan rangkaian hotel baharu ini manakala baki 10% akan  ditawarkan pekerjaan di TH Kelana Jaya.
 “Selain itu, 90% kakitangan yang terlibat akan juga menerima saguhati  berdasarkan sumbangan yang telah mereka berikan sepanjang berkhidmat di  THHR,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
 Beliau menjawab pelbagai kritikan dan kebimbangan orang ramai susulan  notis penutupan empat hotel milik anak syarikat TH semalam.
 Tambahnya, laporan berhubung penutupan empat hotel itu adalah fitnah yang dibuat oleh jentera propaganda pembangkang.
 “Masalah dengan jentera propaganda pembangkang ini, khususnya yang  memegang jawatan parti, mereka suka mengelirukan rakyat jelata dengan  mencipta dan menyebarkan berita palsu – fake news,” katanya. –  MalaysiaGazette
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/02/mana-ada-tutup-hotel-th-cuma-pindah.html