Malaysia Catat 2 649 Kes Berkaitan Penyakit Zoonosis Januari Jun 2020
KUALA LUMPUR, 6 Julai — Bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, Malaysia mencatatkan sebanyak 2,649 kes berkaitan penyakit zoonosis, iaitu penyakit berjangkit yang berlaku antara haiwan dan manusia, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata daripada angka itu, 1,484 kes adalah penyakit Leptospirosis, Malaria Knowlesi (1,156), Japanese Encephalitis (tujuh) dan Rabies (dua), manakala tiada kes dicatatkan bagi Brucellosis dan Q Fever.
“Jika dibandingkan prevalen penyakit zoonosis dari tahun-tahun lepas, didapati terdapat penurunan kes penyakit ini berikutan amalan kebersihan kendiri yang tinggi dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam negara,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 hari ini.
Hari Zoonosis Sedunia disambut setiap tahun pada 6 Julai di seluruh dunia bagi menyatakan komitmen berterusan untuk mencegah, mengawal dan membasmikan penyakit itu dan meningkatkan pengetahuan serta kesedaran orang ramai mengenai penyakit zoonosis.
Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan juga berharap penglibatan orang ramai dalam pencegahan penyakit zoonosis dapat dipertingkat melalui pengamalan kebersihan kendiri yang tinggi dengan kerap mencuci tangan dengan sabun dan air terutamanya selepas mengendalikan haiwan.
“Lindungi diri anda untuk mencegah daripada digigit oleh nyamuk, pinjal dan kutu, elakkan daripada digigit atau dicakar oleh haiwan, selain simpan, masak dan kendalikan makanan dengan cara yang betul dan selamat dan pastikan daging atau bahan mentah yang lain dimasak secukupnya sebelum dimakan,” katanya.
Aktiviti riadah atau rekreasi perlu dilakukan di tempat yang diselenggara dengan baik dan memastikan ia berada dalam keadaan yang bersih, kata Dr Noor Hisham.
Penyakit zoonosis boleh disebabkan oleh pelbagai patogen penyakit seperti virus, bakteria, kulat dan parasit dan dijangka satu daripada tiga orang di dunia akan dijangkiti penyakit zoonosis setiap tahun.
Sumber: BERNAMA
The post Malaysia Catat 2,649 Kes Berkaitan Penyakit Zoonosis Januari-Jun 2020 appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2020/07/06/malaysia-catat-2649-kes-berkaitan-penyakit-zoonosis-januari-jun-2020/