Malaikat Pun Boleh Buat Silap
Sifat malaikat sentiasa patuh perintah Allah SWT. Setiap tugas dilakukan dengan tepat dan memenuhi apa yang telah diarakahkan oleh Allah. Bagaimana boleh ada perumpamaan "Malaikat pun kadang-kala melakukan kesilapan". Kalau malaikat melakukan kesilapan, banyak perkara yang ditugaskan kepada malaikat akan jadi kucar kacir. Namun, yang pasti itu tidak terjadi sama sekali.
Malaikat tidak pernah durhaka, bahkan tidak pernah menyimpan hasrat untuk melakukannya. Sifat malaikat digambarkan dalam Al-Quran sepanjang masa bertasbih dan memuji Allah SWT sepanjang masa. Cara bertasbih mereka tidak terbatas pada ucapan, malah merangkumi sikap dan perbuatan.
Setiap malaikat ada perbuatan tersendiri seperti berdiri, duduk, rukuk, sujud dan tawaf mengelilingi Baitul Makmur ketika melakukan ibadat.
Firman Allah SWT bermaksud: "Mereka takut kepada Tuhan mereka yang berkuasa atas mereka dan melaksanakan apa yang diperintahkan kepada mereka." (Surah an-Nahl, ayat 50).
Dalam keadaan itu, malaikat tidak dibebani tugas lain. Mereka hanya taat kepada Allah SWT dan tidak ada 'pilihan'. Hal ini berlainan dengan hakikat kejadian manusia dan jin yang terdedah kepada iman dan kufur.
Satu persamaan malaikat dengan makhluk lain ialah ia juga akan binasa sebelum hari kiamat, termasuk Israfil yang bertugas meniup sangkakala menanda berlakunya kiamat. Israfil akan meninggal sebaik tugasnya selesai dan seluruh dunia dan isi kandungannya musnah.
Malaikat dicipta dari cahaya, tidak ada jantina atau keperluan untuk berkelamin, tidak makan dan tidak minum, tidak memiliki nafsu, tidak tidur dan tidak perlukan rehat.
Kehebatan lain malaikat ialah dari segi kecepatan bergerak dan ketepatan melaksanakan tugas. Contohnya bagaimana Izrail melaksanakan tugas mencabut roh, bukan saja manusia, bahkan semua makhluk di seluruh dunia.
Perlaksanaan tugas itu tepat dan tidak tersilap setelah mendapat perintah Allah SWT. Bayangkan bagaimana Izrail dapat melaksanakan tugas itu untuk mencabut roh manusia dan makhluk lain secara serentak di seluruh dunia yang berlaku setiap detik.
Pada malaikat terdapat sayap sama ada dua, tiga atau lebih sehingga 600 sayap dan tidak terkira jumlahnya. Firman Allah SWT dalam surah Faathir ayat pertama bermaksud: "Segala puji bagi Allah, pencipta langit dan bumi, yang menjadikan malaikat sebagai utusan-utusan yang bersayap. Masing-masing memiliki dua, tiga dan empat sayap."
Mengenai malaikat memiliki 600 sayap dijelaskan hadis yang diriwayatkan Bukhari dan Muslim bahawa Rasulullah SAW pernah melihat Jibril pada malam Israk dan Mikraj dengan 600 sayap yang dimilikinya.
Sayap digambarkan berfungsi untuk pergerakan yang pantas, manakala pada erti lain membawa maksud keupayaan malaikat melaksanakan tugas dengan cepat dan tepat.
Dalam surah al-Maarij ayat 4 Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Malaikat-malaikat dan Jibrail mengadap kepada Tuhan dalam sehari yang kadarnya lima puluh ribu tahun." Maksud ayat itu keupayaan malaikat bergerak dalam tempoh sehari saja, sedangkan jika dibandingkan dengan keupayaan manusia mengambil masa 50 ribu tahun.
Para ulama dalam menjelaskan sayap malaikat, menafsirkan dalam pelbagai aspek. Namun, cukuplah kita mempercayai ia sebahagian perkara ghaib yang wajib dipercayai melalui apa dijelaskan dalam al-Quran dan hadis tanpa membahas lebih panjang. Mempercayai malaikat termasuk dalam Rukun Iman. Tidak percaya kepada malaikat, bermakna keimanan seseorang menjadi cacat.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://bicaramentari.blogspot.com/2018/12/huo.html