Mahathir Pun Terima Rm2 6 Juta Dari Uksb
SHAH ALAM: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad didakwa menjadi antara salah seorang penerima dana daripada syarikat Ultra Kirana Sdn. Bhd. yang dikaitkan dengan pertuduhan rasuah terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Dr. Mahathir dikatakan menerima dana sebanyak RM2.6 juta secara tidak langsung daripada anak saudaranya, Tan Sri Rahmat Abu Bakar seperti didakwa saksi pendakwaan ke-17, David Tan Siong Sun ketika lejar UKSB dirujuk dalam prosiding hari ini.
Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Ahmad Zahid, Datuk Ahmad Zaidi Zainal, beliau mengakui wang tersebut diberikan sebagai dana politik, walau bagaimanapun tidak menyatakan bila jumlah tersebut diberikan kepada bekas Pengerusi Parti Bersatu itu.
“Catatan ‘Kedahan’ adalah merujuk kepada Rahmat dalam buku lejar UKSB. Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menerima dana politik daripada UKSB melalui kawan baiknya, Datuk Teo Wee Cheng,” katanya di hadapan Hakim Datuk Mohd. Yazid Mustafa.
Ahmad Zaidi: Datuk Teo merupakan salah seorang pengarah syarikat SHH Resources Sdn. Bhd.?
David Tan: Ya
Ahmad Zaidi: Tan Sri Rahmat tiada kaitan dengan UKSB Sdn. Bhd.?
David Tan: Ya
Ahmad Zaidi: Kamu nampak Dr. Mahathir dan Muhyiddin dalam mahkamah?
David Tan: Tidak
Ahmad Zaidi: Tan Sri Rahmat adalah salah seorang pengarah dalam Giro Makro Sdn. Bhd. (GMSB)?
David Tan: Tak pasti
Ahmad Zaidi: Apa kaitan antara GMSB dengan SHH?
David Tan: Itu adalah syarikat kontraktor.
Dalam prosiding sama, David Tan sekali lagi mengesahkan pemberian dana sebanyak RM1.3 juta kepada Muhyiddin seperti dilaporkan sebelum ini.
Malah, bekas Pengurus Pentadbiran UKSB itu memaklumkan pemberian dana tersebut adalah melalui David Teo yang merupakan salah seorang pengarah syarikat SHH Resources Sdn. Bhd. yang mana abang Muhyiddin, Tan Sri Abdul Aziz Mohamad Yassin sebagai pengerusinya.
Ahmad Zaidi: Datuk Teo merupakan salah seorang pengarah SHH?
David Tan: Ya
Ahmad Zaidi: SHH adalah syarikat yang berasal dari Pagoh, Johor?
David Tan: Ya
Ahmad Zaidi: Kamu berada dalam lembaga pengarah syarikat tersebut?
David Tan: Ya.
Ahmad Zaidi: Pengerusi SHH adalah Tan Sri Abdul Aziz?
David Tan: Ya.
Ahmad Zaidi: Beliau adalah abang kepada Muhyiddin?
David Tan: Saya rasa ya.
Ahmad Zaidi: Datuk Teo adalah kawan rapat kepada Muhyiddin?
David Tan: Ya.
Ahmad Zahid yang juga bekas Menteri Dalam Negeri dalam tujuh pertuduhan didakwa menerima sejumlah wang tunai S$1,150,000; RM3 juta, 15,500 Swiss Franc dan AS$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasminya.
Dalam 33 pertuduhan lain berjumlah S$13.56 juta, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa terima wang tersebut daripada UKSB sebagai dorongan untuk dirinya melanjutkan kontrak pengendali Perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan Sistem Visa Luar Negara (VLN) serta mengekalkan kontrak perjanjian membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN). – UTUSAN
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.anaksungaiderhaka.com/2022/07/tun-mahathir-pun-terima-duit-dari-zahid.html