Mahathir Cuba Halang Ph Jadi Kerajaan Semula Jawab Pkr Kepada Mahathir

PKR mendakwa bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad cuba menghalang Pakatan Harapan (PH) kembali berkuasa.
Ini  selepas Mahathir, yang merupakan bekas pengerusi Pakatan Harapan (PH),  secara terbuka mendakwa Presiden PKR Anwar Ibrahim tidak mampu memimpin  negara ini yang sedang berhadapan krisis ekonomi.
Anwar merupakan  pilihan pertama PH untuk menjadi perdana menteri sekiranya gabungan itu  kembali berkuasa setelah ditumbangkan pada bulan Februari akibat  tindakan anggota parlimen yang melompat parti.
"Kenyataan Tun Dr  Mahathir Mohamad yang terkini menggambarkan bahawa beliau terdesak untuk  dilihat relevan dalam arus politik perdana.
"Serangan  beliau terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah tidak berasas dan boleh  disifatkan sebagai cubaan untuk mengkhianati serta menggagalkan usaha  Pakatan Harapan (PH) mendapatkan semula kerajaan," kata ketua penerangan  PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Perseteruan antara Mahathir dan Anwar menghalang pembangkang bersatu.
Mahathir  dilantik kali kedua sebagai perdana menteri setelah PH memenangi  pilihan raya umum 2018 dengan janji akan menyerahkan kuasa kepada Anwar.
Namun, Mahathir menunjukkan dia tidak berencana untuk mengumpulkan sokongan yang diperlukan untuk Anwar untuk mewujudkannya.
Berdasarkan  rakaman audio yang bocor, Mahathir mengakui Bersatu enggan menerima  Anwar namun meminta lebih banyak masa untuk mempertimbangkan perkara  itu.			

				Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin kemudian mengatur langkah dengan menarik parti itu keluar daripada PH.
Mahathir  yang kecewa tindak tanduk Muhyiddin bekerjasama dengan Umno kemudian  meletak jawatan sebagai perdana menteri dan pengerusi Bersatu. 
Bagaimanapun  kerajaan pimpinan Muhyiddin kini dianggap rapuh dengan hanya memperoleh  sokongan 113 ahli parlimen daripada jumlah keseluruhan 222 orang di  Dewan Rakyat.
Mahathir kini memimpin parti baru yang belum didaftarkan - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang). 
Parti itu bukan sebahagian daripada PH tetapi mempunyai hubungan yang baik dengan DAP dan Amanah.
Shamsul  berkata, ketidakstabilan politik yang berlaku pada hari ini disebabkan  tindakan Mahathir tidak meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.
"Mahathir  yang meletak jawatan tanpa sebarang perbincangan dengan pimpinan PH  adalah punca kejatuhan kerajaan seterusnya memangkin rampasan kuasa  secara khianat oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan dukungan gerombolan  pimpinan Bersatu," katanya.			

				Shamsul  berkata, Mahathir perlu menghentikan tindakan beliau yang kini dilihat  sebagai langkahmemecahbelahkan PH ketika Anwar menggembleng sokongan  pelbagai pihak untuk mendapatkan kembali mandat rakyat yang dirampas  pada PRU lalu.
"Tun Dr Mahathir sewajarnya bermuhasabah dan  insaf bahawa punca segala ketidakstabilan politik yang berlaku dalam  negara mutakhir ini berpunca dari tindakan beliau sendiri.
"Beliau  seharusnya menunjukkan sikap sebagai seorang negarawan dan membantu  usaha Datuk Seri Anwar dan PH untuk mengembalikan mandat rakyat dan  bukan menggagalkannya ," kata Shamsul.
Mahathir, dalam wawancara dengan The Malaysian Insight, mendakwa Anwar bukan orang yang tepat untuk menjadi perdana menteri.
Ahli  politik berusia 95 tahun itu membangkitkan keupayaan Anwar ketika  menjadi timbalan perdana menteri dan menteri kewangan pada tahun 1997  apabila cuba mengikut saranan Bank Dunia dan Tabung Kewangan  Antarabangsa (IMF) dalam menangani krisis ekonomi pada masa itu.
“Kita  telah uji kebolehan beliau semasa saya jadi perdana menteri. Saya telah  bercuti selama dua bulan (antara Mei dan Julai 1997) dan Anwar dilantik  sebagai perdana menteri pada masa itu. 
“Sebab itu saya terpaksa  ambil alih kerajaan daripada menteri kewangan dan merancangkan  pendekatan untuk memulih semula negara kita.
“Saya tidak tahu  penilaian yang akan dibuat oleh rakyat tetapi yang jelasnya dalam krisis  kewangan 1997/98 dia tidak berkeupayaan,” Mahathir dipetik berkata.
Sementara  itu, Senator Mohd Yusmadi Mohd Yusoff secara sinis berkata dia  "bersetuju" dengan kenyataan Mahathir bahawa "Anwar tidak layak  menerajui negara".
Dalam ciapan di Twitternya, Yusmadi berkata,  Anwar memang tidak berkemampuan menerajui negara ke arah korupsi,  kronisme, 'klientelisme', perkauman dan sebagainya.
"Ya saya  setuju dengan Tun M. Datuk Seri Anwar tidak berkemampuan menerajui  Malaysia ke arah korupsi, kronism, klientelisme, rasism dan sebagainya. 
"Rakyat Malaysia perlukan Anwar untuk membina Malaysia yang baru dan adil untuk semua," ciapnya.
Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram  https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt
 ............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
[email protected] 
  
  
  


 ©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini  untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://www.mindarakyat.net/2020/11/mahathir-cuba-halang-ph-jadi-kerajaan.html