Lucho Hampir Segala Galanya Buat Perak Fc Pada Pandangan Yusri Che Lah Sukan
Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.
MUNGKIN agak keterlaluan untuk mengumpamakan Luciano Guaycochea atau dikenali dengan panggilan Lucho adalah Perak FC dan begitu juga sebaliknya, Perak FC adalah Lucho.
Tiada pasukan yang berkisar kepada seorang pemain semata-mata kerana lebih tepat lagi, skuad The Bos Gaurus (TBG) itu sudah terbiasa dibina di sekelilingnya.
Bukan menghairankan jika nama Lucho adalah yang pertama ditulis Yusri Che Lah ketika menamakan kesebelasan utamanya dalam setiap perlawanan – kecuali pemain itu tersisih kerana cedera atau menjalani penggantungan.
BACA LAGI: ‘Kalau dunia korporat, dah lama kena pecat’, pakar bimbang Hamidin ‘rosakkan’ FAM jika terus kekal
BACA LAGI: Bukan setakat pemain lokal, Liga Super Bola Keranjang buka peluang bintang luar negara cuba nasib
Ketua jurulatih Perak FC itu lebih daripada bersedia untuk mengakui betapa bernilainya kepimpinan dan sumbangan besar pemain tengah berusia 32 tahun dari Argentina itu kepada pasukan hingga ketiadaannya meninggalkan kerisauan besar.
“Saya bersama dengan Perak mulai 2002 dan beliau merupakan seorang pemain import yang boleh saya katakan yang terbaik pernah dimiliki pasukan Perak.
“Perak dikenali dengan Luciano. Sebagai jurulatih, saya berasa kehilangan beliau,” katanya selepas skuad Seladang itu yang ketiadaan khidmat Lucho disebabkan kecederaan pergelangan kaki menundukkan Kelantan Darul Naim (KDN) FC 3-0 dalam perlawanan peringkat pertama pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Jumaat.
Skuad The Bos Gaurus meletakkan sebelah kaki ke pusingan suku akhir Piala Malaysia selepas melakar kemenangan 3-0 bertemu Kelantan Darul Naim. — Facebook/Perakfc
Perak FC berkelebihan selesa hasil gol-gol Clayton da Silveira (minit ke-23), Azfar Fikri Azhar (m-80) dan sepakan penalti Daniel Hakimi Azmil (m-90+1).
Di sebalik khabar gembira daripada kemenangan itu, Yusri turut berkongsi berita sedih bahawa Lucho mungkin terpaksa direhatkan sehingga enam minggu bagi memastikan pergelangan kakinya benar-benar pulih untuk menghadapi baki pusingan kedua liga yang menjanjikan saingan lebih mencabar.
Dalam pada itu, sudah tersebar khabar angin bahawa kontrak Lucho bersama Perak FC telah dilanjutkan baru-baru ini. Malah, laman Transfermarkt turut mencatatkan kontraknya adalah sehingga 31 Mei 2025.
Ditanya mengenai perkara itu, Yusri menjawab: “Sefaham saya Perak FC telah membuat tawaran kepada beliau untuk menyambung kontrak.
“Butiran selanjutnya sama ada beliau telah menerima tawaran Perak FC, saya belum menerima apa-apa perkhabaran mengenainya. Saya mengharapkan rundingan berjalan dengan baik.”
Tidak sekadar Lucho, jurulatih itu juga mendedahkan bahawa kontrak tiga lagi pemain import — Sunday Afolabi, Jesper Nyholm dan Luka Milunovic akan berakhir dalam sebulan dua bulan ini. Di samping mereka, Perak turut memiliki Luiz Motta, Adilet Kanybekov, Clayton dan Lee Tae-min dalam senarai importnya.
Meskipun kata putus mengenai kedudukan mereka adalah pada XOX Berhad yang memiliki Perak FC, Yusri tidak menyembunyikan harapannya.
Pengendali Perak FC, Yusri Che Lah. — Facebook/Perakfc
“Sudah pasti mana-mana jurulatih tidak mahu kehilangan kerana kami seboleh-bolehnya mahu mengekalkan pemain import sekurang-kurangnya sehingga akhir musim (2024/2025 hingga Mei depan).
“Ini kerana kelebihan kepada sebuah pasukan terutama Perak terletak pada pemain-pemain import yang kita ada,” kata Yusri yang terpaksa berpuas hati dengan tiada penggantian atau penambahan pemain import pada jendela perpindahan kedua September lalu kerana kekangan bajet pasukan.
Sedikit sagu hati buatnya ialah Milunovic dan Mota sudah hampir pulih daripada kecederaan masing-masing dan dijadualkan menyertai semula pasukan minggu depan.
Cuma kepulangan Tommy Mawat Bada yang baru menjalani satu daripada penggantungan tiga perlawanannya angkara pergaduhan dalam perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri pada 10 Nov lalu akan sedikit terlengah.
“Kita risau kerana empat pemain yang kita tidak dapat bawa bersama (dalam perlawanan menentang KDN FC),” kata Yusri sambil menambah sebarang kemungkinan boleh berlaku dalam bola sepak.
Lagipun, katanya, kelebihan tiga jaringan di Kelana Jaya tidak menjamin sebarang peluang cerah buat pasukannya untuk melangkah ke peringkat suku akhir Piala Malaysia dengan mudah selepas ini.
”Walaupun kita dibekal dengan tiga jaringan, kita belum pasti kita memiliki kelebihan untuk melangkah ke peringkat seterusnya,” katanya di sebalik bersyukur kerana Perak FC kembali mencatatkan kemenangan selepas empat perlawanan dan mempertahankan pintu gol daripada dibolosi.
”Alhamdulillah, kami bersyukur diberikan kemenangan dan clean sheet selepas empat perlawanan,” tambahnya.
Perlawanan peringkat kedua pusingan 16 Piala Malaysia akan berlangsung di Stadium Manjung pada 30 November.
“Kita belum lagi menang di Manjung, kita risau perkara itu akan berlaku semula. Jadi, saya berharap pemain jangan dibuai kelekaan atau apa yang berlaku malam ini membuat mereka alpa atau kurang bermotivasi untuk bekerja,” katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
Source link
The post Lucho hampir segala-galanya buat Perak FC pada pandangan Yusri Che Lah – Sukan appeared first on Edisi Viral Plus.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://plus.edisiviral.com/lucho-hampir-segala-galanya-buat-perak-fc-pada-pandangan-yusri-che-lah-sukan/