Lebih Setengah Bilion Dollar Belanja Barang Kemas Jho Low Tuding Najib
MALAYSIAKINI
Dokumentari penyiasatan khas Al Jazeera berjudul Jho Low: Hunt For A Fugitive melaporkan mengenai percubaan terdesak ahli perniagaan dalam buruan itu  untuk merundingkan perjanjian dengan kerajaan Malaysia dan mengelakkan  dirinya masuk penjara kerana skandal kewangan 1MDB yang bernilai  berbilion dolar itu.
Dokumentari kendalian wartawan Mary  Ann Jolley memaparkan rakaman telefon baru Low Taek-Jho dengan pihak  berkuasa Malaysia dari Mei hingga November 2018 ketika dia berusaha  membuat perjanjian dengan pentadbiran Pakatan Harapan pimpinan Dr  Mahathir Mohamad yang baru dipilih.
"Saya tidak dapat untuk  sekurang-kurangnya bertemu dengan orang tetapi sekarang saya berada  dalam keadaan terkurung," kata Low sebelum meneruskan tuduhan 1MDB  dengan menuding kepada bekas perdana menteri Najib Razak, yang juga  menteri kewangan ketika skandal itu syarikat pelaburan negara berkenaan  terdedah.
"Saya tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan ...  Ini adalah fakta yang cukup diketahui bahawa ... semua kelulusan mesti  dipersetujui oleh menteri kewangan," kata Low memberitahu kontaknya dari  Malaysia yang tidak dapat dikenalpasti.
Walaupun  membelanjakan sejumlah besar wang untuk membeli hartanah, jet peribadi,  kapal persiaran mewah, Low berkata dia tidak melakukan sebarang  kesalahan.
"Saya tidak percaya ada kesalahan," katanya dalam rakaman.
"Semua  ini pastinya adalah pinjaman, secara langsung atau tidak langsung,  tetapi, akhirnya, saya rasa sudah tiba masanya, kami ingin membantu  mengembalikan aset ini sebagai balasan untuk bekerjasama dan dapat  meneruskan kehidupan tanpa, anda tahu, dibicarakan," kata Low.
"Saya  ingin anda sampaikan jika mungkin kepada Mahathir bahawa saya  benar-benar percaya bahawa perubahan dalam kerajaan memberikan peluang  yang nyata untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan 1MDB ini.
"Saya komited untuk mencapainya," katanya.
Dia  kemudian menuduh lebih setengah bilion dolar wang 1MDB dibelanjakan  untuk perhiasan buat isteri bekas perdana menteri, Rosmah Mansor.
Dokumen  Jabatan Kehakiman AS telah memperincikan pembelian Jho Low untuk  berlian merah jambu bernilai AS$27 juta untuk Rosmah, tetapi dalam  rakaman perbualan itu dia menuduh ada banyak lagi.
"Bernilai lebih setengah bilion dolar". Itu jumlah yang sangat besar," kata Low merujuk kepada nilai barang kemas tersebut.
Pada  Julai, Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun, dan didenda sebanyak  RM210 juta atas kesalahan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan  wang haram yang berkaitan dengan RM42 juta dari SRC International Sdn  Bhd.
Perbicaraan rasuah 1MDB bernilai RM2.28 bilion atas empat  tuduhan penyalahgunaan kuasa dan 21 tuduhan pengubahan wang haram telah  ditangguhkan kerana perintah kawalan pergerakan bersyarat (MCO) di  Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur hingga awal Disember.
Dalam  dokumentari ini juga, selepas Low melemparkan tuduhan terhadap Najib,  dia kemudian mengaitkan rakan perniagaan 1MDB di Emiriah Arab Bersatu.
"Realitinya,  orang di Abu Dhabi memang ambil duit. Perbincangan antara saya dengan  mereka adalah, lihat, apa sahaja yang saya selesaikan dengan DOJ yang  digunakan untuk membayar bon 1MDB, anda semua harus selaras dengan  jumlah yang sama, yang mungkin hampir satu bilion dolar,” katanya.
Lolos rentas sempadan, walau ada notis Interpol
Semasa perbualan, Low mendedahkan dia berada di China dan bahkan membincangkan kemungkinan pertemuan di Hong Kong atau Macau.
Tetapi ketika penyiasat 1MDB Malaysia mahu mengadakan pertemuan di Macau, dia berubah hati dan melarikan diri.
"Kerana  semua waran tangkap itu, anda tahu, secara efektif orang-orang UAE  tidak menganggapnya selamat, jadi saya baru saja masuk ke Dubai," kata  Low mengenai cubaannya memasuki negara itu.
Low kemudian  menjelaskan bagaimana UAE berada dalam keadaan "sangat paranoid"  sekarang, jadi saya rasa ia suatu yang sangat mencabar bagi saya  mendapatkan izin untuk bertemu para penyiasat.
Keupayaan  Low untuk merentas sempadan antarabangsa walaupun Interpol telah  mengeluarkan dua Notis Merah terhadapnya, serta waran tangkap AS yang  aktif dan sejumlah pasport yang dibatalkan juga turut disorot dalam  dokumentari ini.
Al Jazeera mengatakan telah melihat dokumen pelepasan penerbangan rasmi yang mengesahkan laporan sebelumnya oleh Asia Times yang berpusat di Hong Kong, bahawa baru-baru ini pada November 2019 Low  terbang dari Bangkok ke Dubai dan berhenti selama tiga hari di  Ahmedabad di India. 
Dia dilaporkan menggunakan pasport dari Grenada.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/11/lebih-setengah-bilion-dollar-belanja.html