Lebih Baik Wang Buat Pru 15 Digunakan Bantu Rakyat Susah Salahuddin
agendaily.com14/06/2022
Datuk Seri Salahuddin Ayub.Rakyat kini sedang berdepan kesempitan hidup dengan kos sara hidup yang semakin meningkat dan harga barang yang semakin mahal, kata Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Timbalan Presiden Parti Amanah itu tidak bersetuju dengan kumpulan ahli politik khususnya mereka yang sedang berdepan kes mahkamah berterusan mendesak supaya pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) disegerakan pada ketika rakyat sedang berdepan kesusahan.
“Polemik ini tidak wajar dipanjangkan dan diteruskan kerana keresahan rakyat yang utama pada ketika ini adalah soal mencari sesuap nasi, menjelaskan hutang dan bebanan kewangan serta harga barangan yang mencanak naik dan merisaukan peniaga-peniaga kecil serta pengguna,” katanya selepas program di Kampung Baru hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, mengadakan PRU-15 dalam waktu terdekat akan menelan perbelanjaan sehingga ratusan juta ringgit.
“Adalah lebih baik sekiranya wang negara digunakan untuk manfaat rakyat yang sedang dihimpit kesusahan, ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang,” katanya lagi.
Sebelum ini, ramai pemimpin politik terutama dalam kalangan parti UMNO menggesa agar PRU-15 dapat diadakan dengan segera.
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan beberapa pemimpin Kluster Mahkamah lain yang sedang berdepan perbicaraan berterusan memberi tekanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar mempercepatkan PRU-15 segera.
Terdahulu, Zahid membidas pembangkang sebagai penakut untuk berdepan PRU-15 dan hanya tahu memberi banyak alasan untuk mengelak daripada ia dijalankan.
Ujarnya, langkah mengadakan PRU-15 adalah jalan sebaiknya daripada berterusan dengan kerajaan campuran yang sedang ditadbir oleh Ismail Sabri, malah mencabar pembangkang untuk berani mendesak supaya ia disegerakan.
“Dulu pembangkang beri alasan Covid-19 oleh itu PRU-15 tidak boleh diadakan, kini alasan inflasi pula. Alasan demi alasan pembangkang sebenarnya mendedahkan kekhuatiran sebenar mereka.
“Kekhuatiran untuk berdepan penentuan rakyat yang pernah mereka perdaya demi mendapat kuasa. Mahu membeli masa untuk mendapatkan ruang mencukupi membohongi dan menipu rakyat sekali lagi. Insya Allah dengan kembali sebuah kerajaan yang mampan apa jua cabaran dapat negara kendalikan dengan lebih baik,” katanya
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wak-labu.blogspot.com/2022/06/lebih-baik-wang-buat-pru-15-digunakan.html