Kronologi Kes Tuduhan Rasuah Syed Saddiq Yang Anda Perlu Tahu
Kontroversi kes melibatkan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tercetus pada Mac 2020, ia bermula dengan satu laporan polis dibuat beliau sendiri berhubung kehilangan wang di rumahnya.
Ahli Parlimen Muar tersebut merupakan Ketua Armada, sayap pemuda dalam BERSATU sebelum digugurkan keahlian kerana keengganan duduk di bangku kerajaan malah duduk di bangku pembangkang ketika persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei.
Syed Saddiq akan dihadapkan di Mahkamah Sesyen Rasuah Jalan Duta, Kuala Lumpur pagi 22 Julai 2021.
Kronologi kes Syed Saddiq - 29 Mac 2020 Laporan polis dibuat oleh Syed Saddiq (SS) di Balai Polis Sg. Way, Petaling Jaya pada jam 8.42 malam, 29 Mac 2020.
Dalam laporan tersebut menyatakan beliau menyedari duit telah dicuri/hilang/berkurangan anggaran sebanyak RM250,000.00 daripada peti besi dalam rumah tersebut pada jam lebih kurang 7.00 petang 28 Mac 2020.
Tiada kesan umpil dan keadaan rumah/bilik kemas.
Ada kod rahsia peti besi dan orang tertentu saja tahu simpan di mana.
Kali terakhir Syed Saddiq buka peti tersebut adalah pada 13 atau 14 Mac 2020.
31 MAC 2020 Syed Saddiq mendakwa wang tersebut adalah milik peribadi beliau dan ibu bapanya, ia selepas timbul kontroversi berhubung bagaimana sejumlah wang sebanyak itu disimpan di dalam rumahnya.
Syed Saddiq berkata, mereka membuat laporan polis berkenaan kehilangan wang itu yang mana RM90,000 adalah miliknya; RM50,000 (ibunya) dan RM70,000 (bapanya).
“Majoriti wang itu dikeluarkan bagi tujuan pengubahsuaian rumah yang kami miliki bersama dan juga untuk tujuan peribadi.
“Sampai sekarang saya tidak memiliki sebuah rumah. Dengan itu saya Abuyah (bapa) dan Mama mengambil keputusan membeli rumah bersama,” katanya menurut laporan portal Berita Harian.
7 JUN 2020 Beberapa bulan selepas siasatan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas wang tunai RM600,000 dari rumah dua ahli Armada, ia dipercayai milik parti berkenaan.
Selain itu, SPRM turut merampas sebuah kereta bernilai RM100,000 milik pihak ketiga.
Pengarah Siasatan SPRM Datuk Norazlan Mohd Razali berkata, kedua-dua ahli Armada itu disoal siasat pada 5 Jun lalu berhubung laporan dibuat oleh Syed Saddiq berhubung kehilangan RM250,000 dari peti simpanan di rumahnya.
“Hasil soal siasat, kami pergi ke rumah kedua-dua ahli (Armada) berkenaan di dua lokasi berasingan di Kuala Lumpur.
“Pemeriksaan dilakukan menemui wang tunai berjumlah RM600,000 di dua lokasi terbabit,” katanya dalam kenyataan.
18 JULAI 2020 Syed Saddiq dipanggil SPRM bagi membantu siasatan kes yang sedang disiasat agensi berkenaan, ia berhubung laporan polis yang dibuatnya melibatkan kehilangan wang berjumlah RM250,000 yang disimpan di kediamannya, Petaling Jaya pada 28 Mac lalu.
Syed Saddiq ketika itu berkata tiada apa-apa untuk disembunyikan dan berterima kasih atas komitmen pegawai SPRM sepanjang diambil keterangan.
“Terima kasih para pegawai SPRM yang bertugas lebih masa hari ini (semalam) atas layanan yang baik dan profesional (sepanjang siasatan).
“Sekali lagi, saya tak ada nak sembunyikan apa apa. Berani kerana benar,” katanya dipetik media.
22 JULAI 2021 Syed Saddiq Syed Abdul Rahman didakwa atas dua pertuduhan melibatkan wang sejumlah RM1 juta dan RM120,000 milik sayap pemuda Bersatu, Armada yang dikeluarkan tanpa mendapat kebenaran parti tersebut.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan tersebut.
Pertuduhan pertama, Syed Saddiq selaku Ketua Armada ketika itu dituduh dengan curangnya membuat pengeluaran tunai berjumlah RM1 juta melalui cek CIMB Bank Berhad tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.
Kesalahan didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB Kuala Lumpur Sentral pada 6 Mac 2020.
Atas pertuduhan itu, Syed Saddiq didakwa mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 406 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Bagi satu satu lagi pertuduhan, beliau didakwa salah guna sumbangan kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berjumlah RM120,000 pada April 2018.
Kertas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Azura Alwi.
Bagi pertuduhan itu, Syed Saddiq didakwa dengan curangnya melakukan kesalahan itu yang mana dana tersebut dikutip melalui Maybank Milik Armada Bersatu Enterprise.
Kesalahan didakwa dilakukan di Maybank Islamik Berhad, Jalan Pandan, Taman Pandan Jaya di sini, antara 8 hingga 21 April 2018.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan
Beliau dikenakan ikat jamin RM330,000 untuk kedua-dua tuduhan pecah amanah jenayah itu.
Syed Saddiq membayar RM80,000 dan perlu menyelesaikan baki RM250,000 sebelum Selasa depan
Laporan dipetik dari AgendaDaily
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.anaksungaiderhaka.com/2021/07/kronologi-kes-tuduhan-rasuah-syed.html